
Entri terbaharu Pencetus Ummah (PU) Azman di laman sosial Instagram beliau hari ini berhubungan dengan larangan mengigit kuku dan sapu waktu maghrib.
Beliau menjelaskan kekeliruan yang sering melanda orang ramai mengenai dua hal itu.
Menerusi entri di Instagram (IG), PU Azman menjelaskan tentang hal itu.
“Sebenarnya, tiada larangan daripada Al Quran dan Sunnah pun tentang dua perbuatan ini.
“Cuma mungkin ia pantang larang orang lama yang bertujuan untuk menjaga dan memudahkan kita.
GIGIT KUKU
“Gigit kuku itu mungkin bahaya kerana kuman/bakteria banyak berkumpul di kuku.
SAPU WAKTU MAGHRIB
“Sapu waktu maghrib/malam tidak sesuai kerana zaman dahulu tiada lampu terang macam sekarang maka menyukarkan untuk menyempurnakan proses penyapuan. Barangkali ada sampah yang kita tak nampak.
“Jadi, zaman sekarang lampu terang benderang, kalau ada housemate korang yang suka sapu pada waktu malam tu, dia adalah kawan yang baik. Yang bahaya, housemate yang suka sapu duit member.
View this post on InstagramA post shared by Azman Syah (@pu_azman) on
Menerusi ruangan komen, rata-rata mengucapkan terima kasih kepada PU Azman diatas penjelasan yang diberikan olehnya itu. Dan bersetuju malah menyukai penjelasan yang disertai dengan lawak jenaka.
Sememangnya PU Azman terkenal dengan penjelasan yang mudah difahami dan dinyatakan secara santai.
Kredit: Instagram pu_azman
Nostalgia Cinta Monyet Pada ‘Reunion’ Sekolah. Adakah Tergugat Rumah Tangga?

Boleh kata musim cuti raya yang panjang ramai antara kita akan ambil kesempatan untuk mengadakan majlis reunion kawan-kawan sekolah. Maklumlah ketika raya inilah semua orang akan balik ke kampung dan mudahlah untuk menjayakan majlis reunion yang julung-julung kalinya dapat diadakan.
Terasa teruja sungguh untuk bertemu kawan lama bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Pun begitu tidak dinafikan ramai juga yang mengatakan majlis reunion sekolah ni banyak juga mengundang musibahnya.
Untuk itu, apa kata kita baca salah satu petikan teks yang telah disiarkan di dalam majalah Keluarga yang ditulis oleh Datuk Abd Jalil Ali. Memang menarik perkongsiannya!
SAYA percaya ‘reunion’ boleh membangkitkan kenangan silam. Tetapi saya tidak bersetuju bahawa pertemuan teman-teman lama itu boleh meruntuhkan rumah tangga.
Memang menghairankan apabila ada tanggapan kononnya pertemuan semula teman sekolah, atau teman sekampus, boleh merenggangkan hubungan suami-isteri.
Harap-harap ada kajian ilmiah dilakukan dalam waktu terdekat ini untuk menolak tanggapan seperti ini. Kalau tidak mungkin ramai tidak berani menghadirkan diri pada majlis ‘reunion’, bimbang rumah tangga berantakan.
Ada yang bertanya saya, salah siapa sekiranya hubungan suami-isteri menjadi semakin dingin setelah pulang dari pertemuan dengan teman-teman lama.
Salah lelaki atau salah perempuan? Apakah lelaki yang terlalu emo? Atau, apakah perempuan yang terlebih jiwa-jiwang?
Lebih baik jangan menyalahkan sesiapa. Tidak kira lelaki atau perempuan, apabila terlalu terbawa-bawa dengan kisah-kisah indah zaman sekolah, memang boleh angau dibuatnya.
Almaklumlah, zaman persekolahan memang penuh seribu keindahan. Kalaulah jarum jam boleh diputar ke belakang, rasanya saya hendak kembali semula ke zaman itu!
Menoleh ke belakang, menelusuri lorong-lorong kenangan, tempoh lima atau enam tahun di sekolah menengah, memang semuanya indah. Hatta, kena rotan guru disiplin pun kini terasa amat nostalgik.
Kalau kena rotan pun satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, inikan pula kisah cinta-cintan sepanjang berada di tingkatan empat atau lima.
Maka teringat seorang gadis bertocang ekor kuda yang mula saya kenali ketika di tingkatan lima. Dia pelajar baharu, berpindah dari sekolah lain.
Sejak hari pertama terserempak dia di kantin, tertarik betul saya pada ekor kudanya yang diikat dengan reben biru. Tidak ada kata-kata, hanya senyuman ketika sama-sama meninggalkan kantin sebab loceng sudah berbunyi.
Dan, malam itu saya tidak dapat menumpukan perhatian pada buku teks geografi, sebab setiap halaman yang saya buka, yang terlihat hanyalah senyuman manisnya di kantin siang tadi.
Saya terlentang di katil, terkebil-kebil dalam gelap, sebelum akhirnya terlena, dengan satu soalan yang belum dijawab: Siapakah gadis itu?
Pagi-pagi esoknya, di kantin sekolah, saya bertemu dengannya, saling berbalas senyum, dan tanpa malu-malu terus saya tanyakan namanya.
Namanya S. Sengaja saya rahsiakan nama sebenarnya, bimbang akan menimbulkan syak kepada suaminya, juga kepada isteri saya sendiri.
Bermula di kantin, kerap pula saya bertemunya di perpustakaan, di padang ketika latihan sukan. Malah, sesakali pada hujung minggu, kami makan ais kacang di pekan.
Walaupun tidak pernah dinyatakan dengan perkataan, saya sedar telah terperangkap dalam cinta. Saya pasti – dari gerak geri dan reaksinya – dia juga telah terjerat dalam babak filem Hindustan yang mengasyikkan ini.
Cinta monyet itu amat indah. Kami tidak berselindung-selindung lagi. Ke mana-mana bersama. Kalau sehari tidak berjumpa, saya tidak boleh belajar.
Satu sekolah heboh orang bergossip mengenai kami. Ada aku kisah? Kami berjanji ingin bersama, sehidup semati. Engkaulah gunung, engkaulah intan, engkaulah payung, fullamak.
Tetapi, namapun cinta monyet. Sumpah dan janji monyet tidak boleh dipegang. Lepas keputusan SPM, dia disambar oleh monyet lain.
Ketika berkelana di KL, membawa sebuah kedukaan, saya menerima perkhabaran dari kampung S akan berkahwin dengan jejaka pilihan keluarga.
Mula-mula menangis juga. Sampai hati kau mengkhianati cinta ku. Rasa hendak terjun lombong, atau minum racun tikus, lebih-lebih lagi setiap kali mendengar lagu ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ oleh A. Ramlie yang amat populat ketika itu.
Tetapi, lama-lama monyet desa itu hilang dari ingatan. Rupanya di kota pun ada sekian banyak monyet…
Sejak habis sekolah, saya tidak pernah bertemu dengan S. Setiap kali pulang beraya dan bertemu dengan geng-geng sekolah, selalu juga kita bercerita tengang cinta-cintan zaman remaja.
Secara kebetulan rumah saya betul-betul sebelah Sekolah Menangan Kebangsaan Bukit Gambir. Setiap kali balik Kampung Sungai Jaya, Muar, saya melintasi sekolah, dan terasa kelakar pula teringat zaman monyet-monyetan
Walaupun selalu bertemu geng ketika pulang kampung, sampai sekarang saya belum berkesempatan ber‘reunion’ dengan kawan-kawan lama sekolah.
Saya tidak pasti jika bertemu ramai-ramai dengan geng sekolah apakah cinta boleh bersemi semula? Tidak dapat dipastikan apakah reunion boleh menjejaskan hubungan saya dengan isteri.
Hatta, tidak juga dapat saya pastikan apakah S, si tocang ekor kuda itu masih mengenang detik jeling-menjeling di kantin, juga keseronokan berlatih sukan di padang sekolah.
Hanya satu perkara yang pasti: semuanya tidak seperti dulu-dulu. Hakikatnya ialah kenangan bermonyet-monyetan yang indah itu terjadi kira-kira setengah abad lalu.
Melihat diri dan wajah sendiri dalam cermin, saya tidak lagi sekiut (cute) zaman awal remaja. Waktu itu saya baru 18, kini sudah 63 tahun!
Dulu zaman teruna sunti, rambut hitam lebat, disisir rapi dengan ‘suak’ terjuntai di dahi. Sekarang rambut sudah semakin jarang, tidak ada lagi yang hitam, semua putih macam bunga lalang.
Rambut semakin jarang, gigi banyak bergoyang, jalan pun sudah terhuyung-hayang. Perut gendut semacam, pandangan tidak lagi tajam, hatta suara pun semakin kedam. Dulu saya sentiasa bertenaga untuk lari 100 meter, sebab saya tahu dia ada di tepi padang memberi tepukan dan sokongan. Kini, jangankan 100 meter, berjalan sepuluh langkah pun saya sudah separuh mati.
Saya sudah tua!
Maka saya tidak fikir dia masih secantik dulu-dulu. Tocang ekor kuda agaknya sudah tidak ada; kalau ada pun pasti telah disembunyikan di dalam tudung kepala, hanya untuk tontonan suami.
Mungkin juga rambutnya tidak hitam lagi, sudah berubah warna matelic perak. sama seperti rambut saya. Dia bukan lagi gadis pingatan dengan keayuan dan kesucian kesucian desa seperti zaman sekolah dulu.
Tidak lagi saya bayangkan senyuman semanis dulu. Tidak juga pipinya yang gebu, atau jari-jemarinya yang halus lembut itu. Malah, suaranya pun pasti tidak semanja masa silam.
Dia pun sudah seperti saya, sudah meninggalkan usia remaja. Sudah beranak-pinak, bercucu-cicit. Pasti orang panggil dia opah atau tok wan.
Maka, kalau ditakdirkan saya dipertemukan dengannya dalam reunion musim raya nanti – biasanya reunion sekolah dibuat semasa cuti raya – saya tidak fikir suaminya, juga isteri saya, akan cemburu.
Memang, kita akan bercerita mengenai zaman sekolah. Dia pasti akan menceritakan kenakalan saya mengorat dia. Saya pula akan mengungkit kisah dia didenda kerana lewat memulangkan buku perpustakaan.
Memang, cerita-cerita seperti itu boleh mengembalikan nostalgia. Tetapi saya tidak fikir itu boleh mendarahkan kembali luka lama. Tidak mungkin cinta monyet akan bersemi lagi. Kelakar gila!
Sebab itu tidak masuk di akal saya apabila ada teman memberitahu hidupnya tidak tenteram setelah bertemu semula dengan kekasih lama yang ditemui semula pada satu reunion raya tahun lalu.
“Hang percaya tak, dia masih cun macam dulu!” katanya beriya-iya, dan menambah: “Dia pun kata aku masih maco macam zaman tingkatan lima. Ni yang aku tak boleh tidur!”
Sudah sama-sama tua, sama-sama ada keluarga, tiba-tiba keduanya dilanda angau zaman lampau, gara-gara bertemu pada reunion sekolah. Sudah setahun mereka bercinta di maya.
Tentu sekali saya menyokong cinta silam itu dihangatkan semula, jika keduanya sudah kematian atau kehilangan pasangan hidup. Tetapi, yang satu masih isteri, yang seorang lagi masih suami. Sebab itu saya menentang zaman monyet itu dihidupkan kembali.
Kesimpulannya, tidak salah – malah digalakkan – mengadakan reunion sekolah Aidilfitri ini. Tidak salah juga mengimbau kembali zaman remaja di bilik darjah, atau di kantin.
Tetapi, jangan terlalu terbawa-bawa dengan jiwang dan emo lampau hingga merenggangkan keintiman suami-istri.
Selamat Hari Raya, maaf zahir & batin.
Memasak Dan Kemas Rumah Tak Jatuh Pun Martabat Suami. Bantu Isteri Itu Yang Terbaik!

Betapanya gembiranya seorang wanita bergelar isteri apabila suami membantu isteri tanpa berkira.
Tidak jatuhnya martabat lelaki jika mengemas rumah atau memasak. Sebagaimana perkongsian ini. Kisah yang boleh jadi manfaat untuk membina keluarga bahagia.
______________________________
Malam hari tu, saya dobi baju. Agak lewat jugak. Dekat-dekat pukul 12. Saya sorang tapi saya tak risau sebab port tu meriah, ramai orang.
Then, masuk sorang pak cik bawak bakul.
Setel mesin baju saya lepak luar dobi tu. Ambil angin.
Tiba-tiba pak cik tadi tu datang duduk sebelah saya. Mai nak sembang. Cerita punya cerita, dia bagitau dah dekat 40 tahun kawen dia dah kawen. Dia tanya saya, dah kawen belum, bila saya kata dah, dia jawab ‘muka muda lagi ingatkan tak kawen lagi!’. Berbunga jugak dalam hati bila dapat pujian tu (dimuntah). Dia siap puji: ‘bagus ye dik malam-malam dobi baju. Tolong bini..’
Lepas tu dia cerita sebelum ni dia tak pernah pun tolong buat kerja rumah ni. Bini dia jadi ‘one-woman-show’ buat kerja rumah sorang-sorang. Dia kata dia dibesarkan macam tu.
Tapi entah macamana ada satu hari tu dia tengok facebook Ustaz Ebit Lew. Dia tengok Ustaz Ebit baru balik buat kerja kebajikan penat-penat tapi sampai rumah Ustaz terus tolong bini dia masak. Start masa tu dia terfikir penat sebenarnya jadi isteri ni dan bermula dari hari tu dia start cuba tolong bini dia. Mula-mula memang nampak pelik tapi lepas tu jadi biasa.
Pak cik tu bagitau tolong bini ni bukanlah maksudnya suami ni nak kena ambil semua tanggungjawab kerja rumah yang bini kena buat, bukan macam tu.
Dia bagitau, kalau isteri dah tolong basuh dan bilas baju, suami pi lah tolong dobi ke jemur ke,
Kalau isteri tengah masak, suami tolonglah bancuh kopi ke, buat air sirap ke apa ke.
Kalau isteri dah masak tolonglah makan sampai habis sebab bini ni bila dia dah masak dia kenyang dah.(ramai isteri ada habit macam ni kot).
Pendek kata, kalau isteri buat kerja, suami bantulah sama. PERMUDAHKAN KERJA ISTERI. Kalau tak nak tolong pun takpe sebab sekarang ni banyak jugak alat canggih boleh buat kerja rumah jadi senang. Beli je kat bini.(banyak sangat wishlist kaum perempuan ni kan?
Last sekali, pak cik tu bagi nasihat yang buat saya sayu:
‘Dik, takkan jatuh martabat seorang lelaki kalau dia tolong bini dia dik. Janganlah malu tolong bini. Nanti bila kita susah, kita sakit, bini jugak yang tolong jaga kita masa tu..’
Betul jugak apa yang pak cik ni cakap. Terima kasih pak cik atas nasihat yang berharga malam tu.
Saya sekadar nak kongsi cerita ni buat semua pasangan suami dan isteri yang nak cari kebahagiaan bersama.
p/s: sharelah kalau isteri-isteri rasa nasihat pak cik ni bermanfaat buat pasangan masing-masing. Boleh juga follow Muhammad Yusof yang suka tulis santai-santai pasal kisah suami isteri.
Kredit: Muhammad Yusof
Norlia Ghani Buat ‘Live’ TikTok Kali Pertama Dapat Sejuta Tontonan

Norlia Ghani buat ‘live’ TikTok kali pertama dapat sejuta tontonan. Pelakon veteran, Norlia Ghani yang kini berusia 77 tahun, semakin aktif di platform TikTok dan berjaya meraih lebih 129,000 pengikut. Beliau juga kerap membuat siaran langsung sebagai satu cara untuk berinteraksi dengan peminat.
Norlia Ghani Buat ‘Live’ TikTok Kali Pertama Dapat Sejuta Tontonan
Menariknya, siaran langsung pertama yang dilakukan oleh Norlia di TikTok mencatat tontonan yang luar biasa, iaitu sebanyak satu juta tontonan.
“Anak dan cucu saya yang ajar cara nak buat siaran langsung. Saya perhatikan bagaimana mereka lakukan dan dari situ saya belajar. Saya cuma berbual santai saja dengan peminat supaya hubungan lebih rapat. Generasi muda pun kenal saya sekarang,” katanya.
Tambah beliau, tujuan asal beliau bersiaran langsung bukanlah untuk meraih hadiah atau ‘gift’ daripada penonton kerana beliau sendiri tidak begitu arif tentang hal tersebut.
“SAYA CUMA BUAT SEBAB RAMAI YANG KATA LAMA TAK NAMPAK SAYA. BILA SAYA CUBA BUAT SIARAN LANGSUNG KALI PERTAMA, TAK SANGKA PULA DAPAT SEJUTA TONTONAN,” KATANYA.
Norlia turut mengakui ada menerima ‘gift’ daripada penonton ketika bersiaran langsung, namun perkara itu bukan keutamaannya.
“Kalau orang nak bagi, saya terima dengan terbuka. Kalau tak ada pun tak mengapa. Saya pun tak ada jadual tetap, cuma kalau ada masa lapang, terutama ketika menunggu di lokasi penggambaran, saya akan buat siaran langsung sekejap. Bukan setiap hari pun,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga menerima tawaran untuk membuat ulasan produk dan kini menjadi duta kepada jenama susu.
“Sekarang saya buat review produk untuk satu jenama susu sebab saya dilantik sebagai duta. Banyak juga produk lain yang ajak saya buat ulasan,” katanya lagi.
Ibu kepada pelakon Rusdi Ramli itu turut mengakui dia tidak dapat lari daripada komen-komen nista daripada netizen yang mengaitkan usia emasnya dengan aplikasi yang dimonopoli oleh Gen Z itu.
“Biarpun ada komen-komen sinis yang mengatakan dah tua-tua pun nak main Tik Tok. Pada mama tak ada masalah.
“Kalau mama nampak komen-komen toksik sebegitu lalu depan mata, mama buat-buat tak nampak sahaja. Tak perlu balas komen mereka.
“Lagipun mama main Tik Tok bukan untuk kejar glamor. Semua orang dah kenal siapa. Norlia Ghani sejak tahun 1969 lagi,” kata yang belajar menggunakan Tik Tok daripada cucunya.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Norlia Ghani Tak Ambil Hati, Warga Maya Kecam Dah Tua-tua Main TikTok Pernah Sehari Dapat RM800
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my