kebelakangan ini sering kita dengar berita tentang kemalangan tragis yang berlaku di negara kita ini. Ada sesetengah kes sehingga meragut nyawa orang yang tersayang!
Namun, lain pula bagi lelaki ini yang berpantang maut sebelum ajal. Seorang penunggang motosikal nyaris maut dihempap sebuah lori simen yang dipercayai terbabas dalam satu kejadian di Persiaran Pulau Lumut, Alam Budiman, Seksyen U10, pagi semalam.
Dalam kejadian 9.33 pagi itu, dia yang menunggang motosikal seorang diri bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.
Menerusi video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial itu, mangsa sempat mengelak dan hanya terkena sipi bahagian belakang lori terbabit.
Video terbabit turut dikongsi oleh seorang pemilik akaun Facebook dipercayai isteri mangsa yang dikenali sebagai Noor Nazrah.
“Allahuakhbar gigil satu badan dapat video ni, nangis depan suami…teresak-esak cakap Allah sayang kita..Allah bagi peluang pada kita.. Allahuakhbar maafkan saya sayang…saya selalu buat salah pada awak.
“Yang bawak motor tu suami saya, Alhamdulillah Allah Maha Baik Allah bg peluang pd kami semua..lemah semangat tengok video ni..terus panas badan mcm nak demam.
“Hargailah orang yang kat sayang, sebab cinta di dunia sekejap sangat sebenarnya..terima kasih pada Allah bagi peluang untuk kami perbaiki diri..” luahnya dalam hantaran di Facebook itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu, 11.17 pagi, semalam.
“Kejadian berlaku ketika lori membawa muatan simen (buyung) bergerak masuk susur sebelah kiri dari arah Persiaran Mokhtar Dahari hilang kawalan dan terbabas masuk ke haluan bertentangan disebabkan keadaan jalan susur yang sedikit menurun.
“Akibat kejadian ini, lori terbabit terbalik dan bahagian belakang lori terkena sebuah motosikal yang sedang bergerak lurus dari arah bertentangan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua mangsa dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan menerima rawatan di hospital terdekat.
“Kes ini disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59. Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat BSPT IPD Shah Alam, Sarjan Mohd Riduwan Hamidi di talian 011-26928229,” katanya.
Sumber : HMetro