Garis Panduan Buka Semula Sekolah Bakal Diedar Esok- Menteri Pendidikan

Share

Sesi persekolahan bakal beroperasi semula selepas Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah diedarkan bermula esok (Khamis). Memetik laporan Bernama, Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pihak KPM belum menetapkan tarikh pembukaan namun menjelaskan garis panduan terbabit sebagai persediaan awal pihak sekolah sebelum memulakan operasi persekolahan.
Jelasnya, pembukaan semula sekolah hanya akan melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam sahaja dengan hampir 3,000 sekolah menengah.
Ujarnya, garis panduan berkenaan dihasilkan secara terperinci dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan itu, katanya ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan berharap ibu bapa memainkan peranan mendisiplinkan anak mereka supaya membiasakan diri dengan penjarakkan sosial.
“Kita keluarkan garis panduan ini bagi melihat kaedah yang perlu dilakukan dalam konteks pembukaan sekolah dan persiapan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak sekolah bagi memastikan bila sahaja kita umumkan pembukaan, maka setiap sekolah telah bersedia.

“Kementerian sentiasa berbincang dengan pihak sekolah iaitu ruang yang boleh ditambah baik dalam garis panduan itu akan kita lakukan.

“Apa yang penting semua pihak mainkan peranan iaitu pengurusan sekolah, guru termasuk ibu bapa. Misalnya, jika anak bergejala, tidak perlu hantar ke sekolah,” katanya seperti dipetik dari Bernama.

Tambahnya, pematuhan Garis Panduan tersebut akan dipantau oleh jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah.
“Saya juga akan singgah di sekolah-sekolah untuk melihat pelaksanaan garis panduan yang telah diadakan dan kita yakin pihak pengurusan sekolah dan juga guru akan bantu kementerian agar garis panduan ini akan dipatuhi.

“Apabila Kementerian Kesihatan dan MKN merasakan sudah sampai masanya sekolah dibuka, maka kita akan umumkan dua minggu sebelum ia dibuka. Kami belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembukaan sekolah,” katanya ketika ditanya tarikh pembukaan sesi persekolahan.

Sementara itu, menerusi facebooknya, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah memuat naik beberapa keping gambar sempena lawatan kerja bersama Menteri Pendidikan di sebuah sekolah.
Pada petang semalam, saya telah berpeluang untuk turut serta lawatan kerja YB Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Kanan Pendidikan ke SMK Engku Husain, Semenyih, Selangor bagi tujuan persediaan pembukaan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Turut hadir sama adalah pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan wakil Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM.
Kami telah diberi taklimat oleh Pengetua sekolah mengenai simulasi pengoperasian pengurusan sekolah pasca Perintah Kawalan Pergerakan. Langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 yang akan diamalkan adalah berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan.
Garis panduan yang disediakan pihak KPM adalah hasil kerjasama dengan MKN dan KKM serta membabitkan prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, susunan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain

Seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan sebelum ini, tarikh pembukaan sekolah akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka berdasarkan nasihat daripada KKM dan situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Keutamaan akan diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM.
KKM amat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh barisan tenaga pengajar dan pengurusan sekolah dalam memastikan pematuhan kepada garis panduan yang disediakan.

Terima kasih kepada semua guru di atas dedikasi dan pengorbanan anda dalam mendidik anak-anak kita semua yang merupakan aset berharga negara.