Garam & Gula Juga Termasuk Dalam Pusaka? Rupanya Ramai Tak Tahu

Share

Selalunya kalau sebut tentang harta pusaka ni, orang hanya tahu benda yang asas sahaja. Misalnya seperti tanah, kereta, rumah, pakaian dan sebagainya. Tetapi ada yang tak sedar sekecil barangan seperti garam dan gula juga merupakan barangan yang termasuk dalam harta pusaka tau!

Kiranya kalau kita tersalah guna, buruk padanya! Sebab tu lah kita perlu menuntut ilmu agama supaya kesilapan begini tidak berulang lagi selepas ini.

Untuk info lebih lanjut, jom ikuti perkongsian dari Puan Umi Yusuf yang memberi ulasan dan perincian tentang harta pusaka ini. Semoga beri manfaat buat semua.

Garam gula pun pusaka. Bukan sekadar tudung dan baju. Apatah lagi barang berharga arwah. Jangan ambil mudah bila pakai pusaka arwah. Waris-waris faraid arwah redha ke? Ada minta izin dari mereka?

Ini tidak, bila berlaku kematian sibuklah nak buat kenduri arwah. Segala garam gula kunyit beras arwah digunakan untuk kenduri tanpa bertanya kepada waris-waris faraid yang ada.

Ala, gula garam je. Tak kan itu pun nak berkira?

Semalam semasa arwah masa hidup memang garam gula itu miliknya. Tetapi hari ini apabila beliau meninggal dunia, gula dan garam telah bertukar menjadi milik waris faraid yang berhak.

Kalau ada seorang waris yang tidak redha, apa hukumnya?

Jadi sebagai orang-orang yang masih hidup, berhati-hatilah semasa mengambil barang orang yang telah mati. Minta izin, minta izin, minta izin walaupun si mati itu kakak atau adik yang paling rapat dengan kita.

Ini tidak, semasa si mati dibawa ke masjid semasa proses pengkebumian, sibuklah sedara-mara ambil barang-barang arwah. Habis baju-baju arwah dalam almari dibahagi-bahagikan tanpa minta izin waris-waris faraid yang berhak.

Jangan Ambil Enteng, Hukum Allah Jangan Buat Main!

Inilah masalahnya kalau ada sikap tak ambil kisah.

Lepas itu, waris faraid arwah pun tak kenal. Arwah ada anak lelaki tetapi adik-beradik arwah sibuk juga nak kain baju, barang kemas dengan alasan, kami dulu rapat.

Dosa makan harta bathil ni bukan dosa kecil. Lagi kena berhati-hati jika si mati tinggalkan anak-anak yatim. Jadi kalau tak ada ilmu mengenai faraid, belajarlah. Sekurang-kurangnya kenal siapa waris faraid kita.

Puan Umi Yusof, Guru Agih Harta.

©Penulisan hak cipta terpelihara PUAN UMI.

Sumber: Facebook Umi Khlsom – Wasiat, Hibah, Faraid

Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, dengan menggunakan  kod KELGST5 di sini