Berita

Gara-Gara Kerap Makan Nugget, Lelaki Ini Hidap Sakit Buah Pinggang Kronik

Share

Gara-gara tidak mementingkan kesihatan diri, seorang pemuda menderita menghidapi sakit buah pinggang kronik.

Ia berlaku akibat tidak menjaga pemakanan hariannya dengan mengamalkan tabiat makanan tidak sihat termasuk nugget.

Namun, ia bukan pengakhiran buat pemuda ini, atas kesedaran untuk kembali sihat pemudah  berjaya meningkatkan tahap kesihatannya selepas meninggalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat itu.

Memetik laporan Sinar Harian, Pemuda, Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 33, yang sebelum ini disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada Oktober 2023, kini menunjukkan pemulihan apabila buah pinggangnya beransur pulih daripada tahap lima ke tahap tiga.

Muhd Idzwan Syafiq (kiri) yang mendapat rawatan bersama Dr Ab Aziz (kanan)- Foto: Sinar Harian

Lebih menyedihhkan dia juga pernah terlantar selama tiga tahun bermula 2019 akibat masalah tulang belakang kerana jatuh tangga semasa berat badan masih 150 kilogram (kg) selain berpenyakit gout dan darah beku di paru-paru.

Menurut Idzwan, tabiat pemakanannya dahulu banyak bergantung kepada makanan diproses yang tinggi garam, gula dan perasa tiruan hingga berat badannya pernah mencecah 190 kg.

“Dulu saya tak peduli tentang pemakanan. Saya suka makanan segera, minuman manis dan segala jenis sos.

“Tetapi apabila disahkan sakit buah pinggang tahap akhir, saya mula sedar kesilapan saya,” katanya semasa ditemui pada Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2025 di Pusat Penjagaan Kesihatan, Neo Medicare di sini pada Khamis.

ENAM SESI DIALISIS

Pada November 2023, Idzwan menjalani enam sesi dialisis, namun terpaksa berhenti kerana mengalami jangkitan kuman akibat parut gout di tangan dan badan.

Sejak itu, dia nekad untuk cuba memulihkan buah pinggang secara semula jadi dengan mengawal pemakanan dan menjalani rawatan alternatif seperti bekam, sauna, rendaman dan terapi bioelektrik di Neo Medicare.

“Saya mula makan lebih banyak sayur-sayuran seperti bayam dan timun, mengelakkan protein haiwan dan produk tenusu, serta menggantikan gula dengan madu.

“Saya juga berhenti mengambil sebarang makanan berproses seperti nuget dan makanan segera lain.”

Hasil perubahan itu, berat badannya turun kepada 55kg dalam tempoh enam bulan dan lebih mengagumkan, tahap buah pinggangnya beransur pulih membolehkannya hidup lebih bertenaga tanpa kebergantungan pada dialisis.

“Sebelum ini saya sering letih, muka dan kaki bengkak serta tidak boleh kencing selama empat bulan. “Sekarang, saya boleh bergerak aktif dan tidak lagi mengalami simptom teruk,” katanya.

Bagaimanapun, Idzwan masih berdepan cabaran kesihatan, termasuk perlu menjalani pembedahan tulang belakang kerana besi yang dipasang dalam tubuhnya mula terkeluar, namun, beliau tetap optimis dan berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada pesakit lain.

“Saya mungkin tak boleh makan seperti dulu, tapi saya masih ada nikmat lain untuk disyukuri dan akan teruskan perjuangan untuk hidup lebih sihat,” katanya yang mempunyai pendorong kuat iaitu ibu, Che Piah Che Seman, 68.

Sumber: Sinar Harian