Namanya mula meniti dibibir peminat usai lakonannya dalam drama adaptasi Titian Cinta bersama aktor kacak, Zul Ariffin. Populariti mendadak itu membuatkan dia cuba untuk seimbangkan antara kerjaya, keluarga dan juga rakan-rakan.
Jujur mengakui ‘perhatian’ yang diperoleh itu sedikit sebanyak membuatkan kehidupannya sedikit ‘berubah rentak’. Namun pemilik nama Farah Nabilah, 26 menerima rezeki dengan penuh kesyukuran.
“Saya anak sulung dari enam beradik. Sejak dahulu ke mana sahaja famili pergi, pasti saya ketinggalan untuk turut serta. Kami selalu bersama baik bercuti atau keluar jalan-jalan. Namun, apabila saya terbabit dalam bidang ini, kehidupan keluarga yang sebelum ini ‘low profil’ turut menerima tempias.
“Tetapi saya selalu cakap itu adalah asam garam yang perlu kami lalui memandangkan saya sudah berada dalam bidang ini. Famili memahami dan tidak mempunyai sebarang bantahan. Sebaliknya mereka memberi sokongan sepenuhnya. Setakat ini, saya masih boleh handle situasi dan selalu cakap pada famili hati-hati dalam apa jua yang kami lakukan pasti ada mata yang memandang.
“Kalau diikutkan minat saya bukanlah dalam bidang lakonan kerana saya lihat sendiri betapa susahnya pelakon terpaksa berjaga shooting habis lewat pagi. Rumah saya pernah dijadikan lokasi shooting jadi daripada situ saya tahu betapa susahnya nak jadi pelakon. Saya lebih suka buat commercial, namun krew waktu itu selalu juga offer, dan saya pun cubalah watak sampingan untuk drama di bawah arahan Rashid Sibir iaitu tanah kubur.
“Namun, saya kemudiannya mengambil keputusan untuk berhenti dan fokus pada pengajian Ijazah dalam bidang Psikologi. Selepas tamat pengajian, saya mendapat tawaran berlakon dan membawa watak utama tetapi tidak mendapat tempat di hati peminat. Sehinggalah drama Titian Cinta mengubah segalanya. Selepas itu, alhamdulillah tawaran tidak putus-putus,” Ujar Farah yang memulakan langkah dalam bidang pengiklanan sejak berumur 16 tahun lagi dan antara iklan yang dilakukannya termasuklah Safi, Proton, Pizza Hut dan banyak lagi.
Kursus jangka pendek
Demi memastikan lakonannya mendapat tempat dihati peminat, Farah sanggup mengambil kursus jangka pendek. Sementelah dia pernah ‘direject’ dengan alasan perlu lebih banyak belajar lagi dalam bidang tersebut.
“Waktu itu, saya hanya membawa watak sampingan namun tidak berputus asa jauh sekali terasa dengan kritikan tersebut. sebaliknya, setiap kritikan buat saya bertambah semangat untuk perbaiki segala kekurangan. Kerana itu, saya mengambil keputusan untuk mengambil kursus singkat selama tiga hari di bawah selian Fauziah Nawi demi Titian Cinta. Waktu itu saya mahu siapkan diri memandangkan cerita ini ‘heavy’ ditambah pula berlakon dengan pelakon terkenal Zul Ariffin dan pelakon lain.
“Selain aktif dalam bidang seni, saya juga ingin membuka bisnes sendiri dalam bidang skincare. Walaupun saya tahu persaingan sengit, namun saya tahu semuanya bergantung pada rezeki seseorang. Sejak dahulu lagi sudah terdedah pada bisnes memandangkan keluarga saya berada dalam bidang yang sama. jadi, daripada situ timbul idea untuk buat bisnes bersama,”ujar Farah yang menolak anggapan kononnya dia memilih membuka bisnes semata-mata kerana populariti dan kesempatan ketika nama di atas.
Suka memasak
Status anak sulung yang disandang membuatkan dia selalu ‘dipaksa’ ibunya untuk masuk dapur. Daripada situlah timbul hobi memasak. Farah selalu mencuba resipi baru dan keluarga dan rakan-rakan menjadi ‘mangsa’ untuk merasa.
“Saya suka memasak dan kalau boleh mahu ada program sendiri dalam bidang ini. Tetapi setakat ini hanya masih dalam angan-angan belum tahu bila akan direalisasikan. Sebelum berlakon, saya bercita-cita menjadi psikitris. Kerana itu saya memilih bidang Psikologi berkenaan ketika di universiti. Bahkan, bidang ini banyak bantu saya dalam lakonan.
“Bidang ini seronok sebenarnya dan saya mahu didik orang tentang klinikal psikologi ini. Kalau di luar negara, kerjaya dalam bidang ini dibayar gaji lumayan tetapi di negara kita benda ini masih baru dan tidak ramai yang mahu terbabit dalam bidang ini,”jelas Farah yang tidak menolak andai suatu hari nanti bidang Psikologi menjadi pilihan kerjayanya.
Sumber: majalah Keluarga Jan-Mac 2018