Gara-gara Anak Bongsu Tak Tahu Dia Penyanyi, Datuk Fazley Terima Lamaran Masuk GV8!

Share

Memang tidak dinafikan kalau anak-anak ini tidak nampak depan mata, sukar mereka hendak percaya. Lagi-lagi bila kita kata kita ini adalah seorang penyanyi dan ada ramai peminat suatu masa dahulu. Memang sukar untuk diterima akal. Maklumlah kehidupan masa kini jauh berbeza seperti apa yang ingin digambarkan.

Begitulah juga lah kisahnya yang berlaku pada penyanyi dan cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob, 43, hingga menyebabkan dia sanggup menerima lamaran menyertai Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) demi anak bongsunya, Alayna Selma, 4, yang tidak pernah tahu dia seorang penyanyi.

Memetik laporan berita di kongsikan di myMetro, difahamkan Datuk Fazley telah  beberapa kali tidak dapat menerima tawaran GV sebelum ini kerana jadual kerja yang padat. Pun begitu dia akhirnya nekad bersaing untuk memenuhi impian puteri tunggalnya itu.

“Saya sebenarnya 50-50 juga untuk terima tawaran GV8 ini. Namun, apabila mendengar pertanyaan anak bongsu yang tidak tahu saya dahulunya seorang penyanyi, perasan rasa agak sebak.

“Ditambah, dia melihat pula video saya menyanyi lagu Asmara Ini sambil mendukung abang-abangnya dan dia bertanya di mana dia, kenapa tiada? Dari situ, saya rasa wajar untuk dia tahu daripada saya sendiri dan bukan orang lain,” katanya.

Rindu Buat Persembahan Pentas

Ditanya adakah dia sudah bersedia menerima kritikan juri profesional dan mungkin juga tersingkir, Fazley berkata, dia sudah memikirkan segala-galanya terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

“Sudah sembilan tahun saya menjadi juri masakan dan sering memberi kritikan dalam masakan orang lain. Jadi, sekarang saya membuka hati untuk menerima pula apa saja kritikan daripada juri mahupun netizen terhadap nyanyian saya.

“Apatah lagi, saya sangat rindu untuk membuat persembahan pentas. Sejak kehadiran Covid-19 dalam negara, sudah lama juga saya tidak berpeluang membuat persembahan nyanyian secara ‘live’ dan hanya virtual saja.

“Kalau dulu, selalu juga saya diundang menyanyi dalam majlis makan malam korporat. Apapun, dunia muzik saya tidak pernah terhenti selama ini kerana di rumah selalu juga menyanyi dengan anak-anak,” katanya.

Mengulas penerimaan isteri, Datin Azrene Ahmad, Fazley berkata, isterinya bimbang dan menyokong. Katanya, Azreen bimbang jika dia tidak cukup masa berlatih dan menyokong kerana tahu muzik adalah minat utamanya.

Fazley dan Azreen mendirikan rumah tangga pada 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 13; Ahmad Fieradz Shah, 12; Ahmad Firudz Shah, 10; dan Alayna Selma.

Sumber : myMetro