Gambar terakhir yang akan dikenang sampai bila-bila buat pengubat rindu. Luahan hati, kakak mangsa, Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, 36 , mengundang sebak wargamaya.
Menurut Noryani Tamadun, 50. perjumpaan pada Syawal lalu merupakan yang terakhir. Malah katanya arwah adiknya berkelakuan agak pelik.
“Apabila adik cakap takut tak sempat makan, hati saya terdetik kenapa dia cakap macam ini? Selain itu pada pagi Aidilfitri, dia ajak kami tiga beradik bergambar, walaupun seorang lagi adik perempuan yang bekerja sebagai polis di Pahang belum sampai.
“Arwah kata kita ambil gambar bertiga dulu, nanti takut ‘seorang hilang’, nanti kakak balik (adik kerja polis) akan ganti, dia kata mungkin ini gambar terakhir kita.
“Saya rasa pelik kenapa dia cakap ‘seorang hilang’, masa nak balik pun dia cakap kita jumpa terakhir sudah ini, hari ini semuanya terjawab,” katanya yang tinggal di Kampung Tanjung di sini.
Noryani berkata, dia reda dengan pemergian adik bongsunya itu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia pada Januari dan Ogos tahun lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang bertugas sebagai pendidik dan dua orang anak perempuan berusia 10 dan enam tahun.
Noryani berkata jenazah adiknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam di sini.
Terdahulu, insiden ini dilaporkan melibatkan 10 kru maut dalam nahas dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa pagi ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi facebooknya memaklumkan turut berduka dengan berita berkenaan. Katanya akan satu lembaga siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat insiden tersebut secara menyeluruh.
Sumber: Harian Metro
MESTI TONTON: KISAH KUCING YANG CUTE HINGGA MEMBAWA KEBAHAGIAN BUAT SEBUAH KELUARGA
NAK JOINT DAFTAR DI SINI
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dai Tik Tok Keluarga @keluarga.my