Sempena bulan Ramadan yang hampir tiba, sebagai ibu ayah yang masih mempunyai anak yang belum baligh, kita juga mahu mendidik anak-anak ini untuk meraikan bulan Ramadan dengan sama-sama melakukan ibadah puasa.
Pun begitu, bagaimana cara yang sewajarnya untuk kita biasakan anak-anak berpuasa mengikut keupayaannya?
Ini memandangkan bagi kanak-kanak menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari itu belum diwajibkan ke atas mereka.
Tidak pasti caranya, jom kita baca perkongsian cara mendidik anak berpuasa bersama ustazah Asma’ Harun.
UMI & ABI, BOLEH AJARKAN SAYA PUASA?
Assalamualaikum ustazah. Saya ingin bertanya beberapa soalan mengenai puasa bagi anak kecil. Pada umur berapakah sepatutnya anak-anak mula berpuasa? Dan bagaimana cara terbaik untuk mendidik mereka berpuasa?
JAWAPAN
Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, terima kasih atas soalan yang baik ini. Ibu ayah yang sentiasa mementingkan didikan agama kepada anak-anak pastinya tertanya-tanya jawapan bagi persoalan ini.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kemudian kedua orang tuanyalah yang akan menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
(HR Bukhari, No. Hadis 1385)
Perkataan fitrah di dalam hadis ini bermaksud anak-anak dilahirkan dalam keadaan Muslim. Berdasarkan pada hadis ini jelaslah bahawa secara fitrahnya anak-anak dilahirkan Muslim, tetapi yang mencorakkan mereka sama ada menjadi Yahudi, Majusi, atau Nasrani ialah ibu bapa.
Dalam perkara berkaitan puasa, para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh adalah tidak diwajibkan untuk berpuasa.
Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif (kewajipan) dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh.
Saidina Ali bin Abi Talib r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ
Maksudnya: “Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.”
(HR Abu Daud, No. Hadis 4402, taraf hadis: Sahih)
Namun, bilakah waktu yang sesuai seorang kanak-kanak itu perlu dididik untuk berpuasa?
Menurut Imam al-Nawawi di dalam Kitab Majmu’ yang bermaksud:
“Al-Shirazi dan ulama mazhab al-Syafie menyatakan apabila seorang anak itu mampu berpuasa, maka wali wajib menyuruhnya berpuasa ketika berusia tujuh tahun, dengan syarat dia sudah mumayyiz. Dan memukulnya sekiranya dia tidak berpuasa ketika usia 10 tahun. Anak perempuan sama seperti anak lelaki tanpa khilaf.”
Maksud tujuh tahun ialah setelah sempurna usia tujuh dan memasuki usia lapan. Juga setelah sempurna usia sepuluh tahun dan memasuki usia sebelas tahun.
Hal ini diqiyaskan dengan hadis suruhan mendidik anak-anak untuk solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).”
[HR Abu Daud, No. Hadis 494]
Walau bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga hendaklah menilai sejauh mana kemampuan kanak-kanak tersebut untuk berpuasa serta memastikan ia tidak menyebabkan kemudaratan kepada mereka.
BAGAIMANA MENDIDIK ANAK-ANAK BERPUASA?
Antara cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga untuk mendidik anak-anak berpuasa ialah:
1. Menjadi role model bagi anak-anak.
• Ibu bapa adalah watak utama dalam menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak. Jadi, pamerkanlah akhlak yang baik dengan mempraktikkan ibadah-ibadah semasa Ramadan seperti tadarus Al-Quran, berterawih dan amalan bersedekah.
• Sekiranya ibu itu tidak berpuasa (uzur syarie) elakkan makan di hadapan anak-anak.
2. Berbicara mengenai puasa.
• Menjelaskan kepada anak-anak mengenai puasa secara santai seperti berkongsi kisah nabi-nabi, cara puasa Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan kisah-kisah teladan.
• Mengajar anak-anak cara membaca niat puasa, memberitahu syarat wajib dan syarat sah puasa, rukun puasa, ganjaran bagi orang yang berpuasa dan keistimewaan berpuasa Ramadan.
• Mengucapkan kata-kata semangat kepada anak-anak supaya timbulnya perasaan teruja menunggu kehadiran Ramadan.
3. Mengajar anak-anak berpuasa secara berperingkat mengikut waktu solat.
• Fasa pertama : Puasa hingga waktu Dhuha
• Fasa kedua : Puasa hingga waktu Zohor
• Fasa ketiga : Puasa hingga waktu Asar
• Fasa terakhir : Puasa hingga waktu Maghrib
Fasa begini dilakukan supaya tubuh serta minda anak-anak bersedia dan mereka tidak rasa terbeban jika terpaksa untuk terus berpuasa sepenuh hari.
4. Memberi ganjaran kepada anak.
• Berilah dakapan dan pujian atas kejayaan usaha mereka melaksanakan puasa tanpa mengambil kira mereka berjaya berpuasa penuh atau tidak.
• Menyediakan makanan kegemaran anak-anak untuk berbuka.
• Jika perlu, berikan hadiah supaya mereka lebih bersemangat untuk meneruskan puasa sehingga ke akhir Ramadan.
5. Mendoakan anak-anak diberikan kefahaman agama:
اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
Maksudnya: “Ya Allah, berikan kefahaman agama kepadanya dan ajarkannya takwil (tafsir al-Quran).
[HR Ahmad]
RUMUSAN:
• Kanak-kanak merupakan golongan yang tidak diwajibkan untuk berpuasa. Namun, digalakkan untuk melatih mereka berpuasa sedari umur sempurna 7 tahun mengikut pendekatan-pendekatan yang dikongsikan di atas.
• Ibu bapa atau penjaga perlu mengetahui tahap kemampuan anak-anak supaya sebarang kemudaratan tidak berlaku.
Oleh itu, pentingnya bagi kita untuk menyediakan diri dengan ilmu yang mantap mengenai puasa Ramadan supaya ia dapat diwariskan pada anak-anak seterusnya generasi yang akan datang.
Sumber : Asma’ Binti Harun
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club