Tatkala kanak-kanak lain seusia mereka masih hanyut dibuai mimpi atau sibuk bersiap untuk ke sekolah, dua beradik ini sudah siap berpakaian lengkap uniform sekolah. Namun bukan sekolah yang menjadi destinasi utama.
Sebaliknya, mereka meredah suasana gelap menuju ke tempat buangan sampah. Tujuan mereka tidak lain dari mencari barangan kitar semula, bagi mendapatkan sedikit duit belanja persekolahan mereka.
Gambar dua beradik ini tular di media sosial semalam selepas ia dikongsikan oleh Mohd Shahrizad yang sempat mengambil gambar mereka sekitar jam 5:30 – 6:00 di Pasar Pelabuhan Klang, Selangor.
“Macam biasa, hari-hari 5:30-6:30 aku pergi pasar nak beli barang meniaga. keluar dari pasar masuk je dalam kereta aku perasan dua beradik ni pakai uniform sekolah,”
“Aku keluarkan telefon rakam budak-budak ni,” tulis Shahrizad.
“Dik, buat apa ni? Dia ingat aku nak marah dia pasal suara aku terkuat sikit.
“Cari barang nak jual bang nak buat duit belanja sekolah,” jawapan itu menimbulkan rasa sedih, lantas Shahrizad meninggalkan sedikit duit belanja kepada kedua beradik itu sebelum beredar.
Zaman sekolah dulu, aku pun pernah kutip tin dan surat khabar untuk dijual di tempat kitar semula. Tapi aku buat benda tu sebagai hobi, dan tak konsisten pun sekadar untuk tambah duit belanja.
Tapi dua beradik ini, kalau sampai sebelum ke sekolah pun sanggup selongkar tempat pembuangan sampah, mungkin kehidupan mereka begitu dhaif, sampai terpaksa buat begitu. Semoga Allah permudahkan rezeki mereka sekeluarga.
Berita tersebut tular sehingga mendapat perhatian daripada perhatian Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan sukarelawan Team Muafakat Klang. Selepas pemeriksaan dibuat, identiti dua kanak-kanak yang sering menyelongkar tempat pembuangan sampah tersebut merupakan warga Myanmar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, pihaknya bersama sukarelawan terbabit kemudiannya ke pasar berkenaan seawal pukul 4.30 pagi ini bagi menjejaki kanak-kanak berkenaan.
“Kami ke pasar berkenaan bagi mengesan dan mengenalpasti identiti kanak-kanak itu kerana tidak mendapat maklumat yang lengkap bagi menghulurkan sedikit bantuan dan sumbangan.
“Alhamdulillah, pihak kami dapat berjumpa dengan keluarga tersebut hasil maklumat yang diperolehi daripada pengunjung dan pekerja di pasar Pelabuhan Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pasangan ibu bapa adik-beradik tersebut merupakan pelarian Rohingya yang mendapat perlindungan daripada United Nation (UN).
Bapa kanak-kanak terbabit dikenal sebagai Nur Islam Abdul Husson, 43, dan isterinya, Nujumah Khatu Sultan Islam, 43, tinggal di negara ini sejak 20 tahun lalu.
“Nur Islam bekerja sebagai pembantu di kedai menjual sayur-sayuran di pasar berkenaan dengan upah RM50 sehari, manakala isterinya tidak bekerja.
“Pasangan ini mempunyai enam anak berumur 14 hingga setahun dan menyewa di sebuah rumah kedai berhampiran pasar berkenaan.
“Disebabkan gaji diperoleh tidak mencukupi, mereka terpaksa mencari barang-barang lusuh untuk dijual bagi menampung kehidupan lapan beranak,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, sewa dan bayaran utiliti rumah yang mereka diami sekarang dibayar oleh majikan bapa anak-anak tersebut.
“Difahamkan, dua kanak-kanak, Mohammed Jubair, 14, dan adiknya, , Sufaidah Nur Islam, 11, bersekolah di Sekolah Wesley Methodist, salah sebuah sekolah swasta di Klang,” katanya.
Tambah Azmizam, atas dasar kemanusian pihaknya akan mencari jalan membantu keluarga tersebut bagi meringankan kos perbelanjaan persekolahan dua kanak-kanak itu meskipun adalah warga asing.
“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh hubungi keluarga tersebut di talian 011-25481224,”ujarnya.
Sumber: Milosuam & Sinar Harian