Berita

Gadis Dihempap Kayu Balak, Kembali Jalani Hidup Seperti Biasa, “Saya Rasa Bagaikan Mati, Hidup Semula”

Share

Gadis dihempap kayu balak, kembali jalani hidup seperti biasa, “Saya rasa bagaikan mati, hidup semula.” Mangsa yang dihempap kayu balak terjatuh dari lori di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, pada 9 Julai lalu telah sembuh dan keluar dari hospital selepas hampir sebulan menerima rawatan dan beberapa kali terpaksa ditidurkan.

Gadis Dihempap Kayu Balak, Kembali Jalani Hidup Seperti Biasa, “Saya Rasa Bagaikan Mati, Hidup Semula”

Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, berkata, sehingga hari ini dia tidak pernah menyangka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa walaupun beberapa organ dalamannya seperti hati, paru-paru, buah pinggang hampir rosak serta mengalami patah pada lima tulang rusuk serta belakang.

“Saya rasa bagaikan mati, hidup semula.

Bayangkan pada hari kejadian sehingga 7 Ogos lalu saya keluar dari HRPZII (Hospital Raja Perempuan Zainab II) ramai yang menyangka sudah meninggal dunia.

“Alhamdulillah, berkat doa ahli keluarga, semua rakyat Malaysia serta tunang, ALLAH masih memberi peluang kepada saya untuk menikmati kehidupan,” katanya.

Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, mengimbau kembali kejadian tersebut katanya, dia dalam perjalanan ke tempat kerja dan berhenti di lampu isyarat sebelum terdengar bunyi yang sangat kuat.

Ujarnya, dia melihat bagaimana kayu balak bergolek menerpa ke arahnya sehinggalah merasa kesakitan yang amat sangat namun masih sedarkan diri.

“Saya sedar apa yang berlaku walaupun tidak respon kepada orang sekeliling.

Saya hanya mampu menahan sakit dan mendengar orang sekeliling bercakap sehinggalah dibawa ke hospital.

“Sepanjang menerima rawatan juga saya sedar apa yang diborakkan oleh ahli keluarga serta doktor dan jururawat tetapi hanya mampu memberi tindak balas dengan menggerakkan anggota badan.

Setiap hari saya bercakap dengan diri sendiri, kena kuat, jangan lemah semangat, kena bangun berjalan semula,” katanya.

Siti Norelyana memberitahu, sehingga ke hari ini dia masih tidak percaya dapat berjalan serta pulang ke rumah dan menjalani kehidupan bersama ahli keluarga seperti sebelumnya.

Dia sangat bersyukur malah berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang menerima rawatan di HRPZII.

 

 

Menurutnya, tunang, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, sanggup menunggu di hospital setiap hari walaupun dia dalam keadaan ditidurkan.

“Kami sepatutnya disatukan pada Disember ini, namun melihat keadaan saya begini ia mungkin terpaksa ditanggungkan ke tahun hadapan.

“Ini kerana sehingga sekarang saya masih berada dalam keadaan trauma terutama bila melihat lori balak, mendengar bunyi yang kuat serta masih bermimpi tentang kejadian tersebut.

Disebabkan itulah saya terpaksa tinggal di rumah kakak di sini (Paloh 3) kerana rumah ibu di Simpang Aring, Ciku 4 terletak di tepi jalan raya,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Miskalsom Domea, 59, memberitahu, bersyukur sehingga sukar untuk digambarkan keajaiban yang ALLAH berikan kepada anak perempuannya itu.

“Setiap hari hanya perkataan ‘kritikal’ yang keluar dari mulut doktor, sebagai ibu hanya doa yang mampu saya panjatkan lebih-lebih lagi ramai yang menyangka umur Siti Norelyana tidak panjang.

Alhamdulillah, dia sembuh dan boleh meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan trauma,” ujarnya.

Ibu kepada tujuh orang anak itu berkata, trauma melihat anaknya dimasukkan lima pek darah dalam sejam serta ditidurkan masih tidak dapat dilupakan.

Namun katanya, fokus sekarang adalah meneruskan rawatan di HRPZII dua kali sebulan dan sama-sama berusaha menghilangkan trauma mereka sekeluarga.

Sinar Harian pada 9 Julai lalu melaporkan seorang wanita hampir maut apabila motosikal yang ditunggangnya dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada Selasa.

Kejadian jam 11.23 pagi itu berlaku apabila lori membawa muatan kayu balak terbabit terbalik ketika mengambil selekoh.

Difahamkan semasa kejadian mangsa, Siti Norelyana dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang.

Mangsa yang mengalami kecederaan telah dirawat di Hospital Gua Musang.

Sumber: Sinar Harian 

Baca artikel lain juga: Percutian Bertukar Jadi Kemalangan, Dayana Roza Cedera, Darah Meleleh Non Stop,Lega Dapat Selamatkan Anak

Terus Minta Nasi Air.& Syukur, Mangsa Kemalangan Dirempuh Kayu Balak Mulai Sedar

Racun Bukan Perlu Letak Di Tempat Umum, Ini Garis Panduan Selamat Hindari Kemalangan!

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my