“Gadai Barang Kemas Untuk Rawat Kanser Rahim.” 6 Bulan Kemurungan, Mak Jah Bangkit Semula Selepas Motivasi Seorang Ustaz.

Share

Bagi yang meminati drama melayu, pasti sering melihat kelibatnya di kaca tv. Gelagatnya yang kepoh dan suka melatah membuatkan penonton sukakannya walaupun sering diberikan watak antagonis. Itulah dia Maimunah Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Mak Jah.

Namun akhir-akhir ini, jarang kelihatan lakonan Mak jah di kaca tv. rupa-rupanya dia mempunyai masalah kesihatan.

 

Jual barang kemas tampung kos rawatan

Ketiadaan Mak Jah adalah disebabkan wanita berusia 71 tahun itu telah disahkan menghidap kanser rahim tahap satu sejak tiga tahun lalu. Kini, dia masih berusaha mendapatkan rawatan.

Dalam usaha untuk sembuh, dramatis itu berkata dia telah menjual barang kemas miliknya hanya untuk menampung kos rawatan penyakit kansernya, baginya kesihatan lebih diutamakan berbanding harta.

“Barang kemas boleh dicari, tetapi nyawa tiada galang ganti. Selagi boleh berusaha, saya tidak mengalah untuk bebaskan diri daripada penyakit itu.

“Sehingga hari ini, saya tidak mampu menebus barang kemas yang dibeli dengan hasil titik peluh bekerja sebagai anak seni.

“Tidak mengapa kerana saya baru bangkit dan mula bekerja selepas dua tahun kurang mendapat tawaran berlakon. Alhamdulillah, saya sudah sihat sepenuhnya dan boleh bekerja seperti dahulu,” katanya.

 

6 bulan alami kemurungan

Menceritakan semula detik awal disahkan kanser, Mak Jah mengakui sukar buatnya untuk menerima kenyataan itu sehingga mengalami kemurungan hampir enam bulan.

Namun, berkat usaha dan doa yang tidak pernah putus, kini tahap kesihatannya sudah semakin beransur pulih dan sudah mahu kembali semula dalam dunia lakonan.

Dia berkurung dan menjauhkan diri daripada rakan-rakan. Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga mengakui, dia bagaikan patah semangat dan hilang kekuatan untuk meneruskan hidup kerana membayangkan maut yang menanti.

Namun, selepas lebih tiga tahun menderita, pelakon filem Mami Jarum, Lady Boss dan Hingga Hujung Nyawa itu disahkan bebas kanser, April lalu.

“Ketika sakit, saya tolak tawaran berlakon kerana memikirkan tiada guna lagi saya terus mengejar duniawi. Doktor yang merawat marah kerana saya terlalu melayan emosi.

“Saya hanya kembali bangkit, tahun lalu selepas mendapat motivasi daripada seorang ustaz. Ketika itu, saya bersolat setiap waktu di masjid hingga ustaz pelik melihat saya menangis seorang diri setiap hari,” katanya.

Mula berlakon secara serius menerusi drama Sri Panggung terbitan Serangkai Filem pada 1987 , Mak Jah berkata, ustaz itu turut menasihatkannya bersabar dengan ujian Allah.

“Ustaz memaklumkan, saya beruntung dan terpilih kerana diuji dengan penyakit. Saya tahu akan mati, sudah tentu membuat persediaan untuk kembali ke pangkuan-Nya.

“Mendengar nasihatnya, saya bersemangat untuk bangkit semula. Saya menjalani kehidupan seperti biasa, tidak lagi menjauhkan diri daripada rakan, tanpa mensia-siakan ibadat saya,” katanya.

Mak Jah yang membintangi lebih 100 drama dan menjayakan berpuluh-puluh filem berkata, penyakitnya pulih berkat doanya ketika menunaikan umrah di Makkah pada 2017.

“Saya ke Tanah Suci untuk menjalani penggambaran drama Kisah Dari Makkah. Ketika itu, saya tidak kuat sangat, tetapi saya tidak putus asa berdoa di depan Kaabah setiap hari,” katanya.

Pasti ramai yang menantikan kehadiran Mak Jah di kaca tv, semoga pelakon kita ini  bertambah sihat dan terus menyinari industri lakonan..

Sumber : Berita Harian