Masih terpahat ingatan mengenai tragedi pada 13 Julai tahun lepas apabila seorang kanak-kanak, Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari, ketika itu berusia lima tahun cedera parah setelah dihempap peti sejuk. Kisahnya telah mendapat simpati dan doa agar dirinya kembali sembuh agar kembali menjadi kanak-kanak yang ceria.
Namun hari ini khabaran duka dikongsikan oleh bapanya, Mohd Bukhari Zainal Annuar menerusi facebook bahawa anak kesayangannya telah menemui sang pencipta setelah 14 bulan terlantar sakit akibat tragedi itu.
Allahyarham Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari,6, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.30 petang tadi di sebuah hotel di Melaka ketika sedang menjalani rawatan saraf.
“Saya dan isteri membawa Muhammad Fawwaz ke sana sebagai ikhtiar rawatan untuk kesembuhannya. Tapi ALLAH lebih sayangkannya dan dia meninggal dunia di samping saya dan isteri.”
Terdahulu, Mohd Bukhari melalui perkongsiannya memaklumkan anaknya menunjukkan perkembangan positif seperti menggerakkan kaki dan tangan dan semakin aktif.
Namun, Allah lebih sayang kepadanya. Anak syurga ini pergi jua meninggalkan orang tersayang. Laporan Sinar Harian, jenazah dibawa pulang ke rumah mentuanya di Kampung Gedung Lalang Ampangan dan dijangka dikebumikan jam 8 pagi esok.
Sumber : Sinar Harian, Mohd Bukhari Zainal Anuar