Biasanya orang yang suka berkebun atau bercucuk tanam ni kalau boleh semua jenis pokok ingin ditanam.
Pun begitu bercakap tentang tanam asparagus, mungkin kedengaran asing berbanding tanam cili,kangkung,daun sup dan sebagainya.
Mungkin juga yang beranggapan tanam asparagus ini sukar dan memerlukan teknik-teknik tertentu.
Namun, melalui perkongsian daripada Cik Mae ini dapatlah kita tambah ilmu dan terasa ingin pula mencuba untuk menanamnya sebab nampak mudah sahaja.
Andai berjaya tanam sepokok dua, bolehlah tiap kali hendak makan sayur ini, dituai segar dari laman. Jadi tunggu apa lagi, jom semak perkongsian Cik Mae ini.
Ada beberapa orang yang tanya cara saya tanam dan jaga asparagus.
Disini saya kongsikan caranya.
Asparagus boleh tanam melalui biji benih atau beli “crown” atau pun pokok.
Dibawah saya kongsikan cara tanam dari biji benih. Dan sesiapa yang beli crown atau pokok boleh ikut dari step 5 dan seterusnya.
Cara semai asparagus :
1. Rendam biji asparagus dengan air bawang merah. Bawang merah kecil lagi bagus. Tujuannya sebagai perangsang pertumbuhan.
Hiris 1 biji bawang merah kecil, tambahkan air 3-5 sdb air atau sehingga biji benih terendam dan biarkan semalaman.
2. Sediakan tray dan media semai, masa tu saya guna peatmoss. Letakkan biji benih, satu biji satu lubang. Bungkus dengan plastik hitam, letak ditempat gelap selama 2 hari. Lepas dua hari, buka plastik, dan letakkan ditempat teduh.
3. Jangka masa tumbuh, bergantung pada lama mana biji benih disimpan. Semakin lama disimpan, semakin lambat akan tumbuh. Sebaiknya guna biji benih yang fresh,sebab lebih mudah tumbuh.
Biji benih asparagus akan mula bercambah seawal 2-4 minggu.
Ya, asparagus memang lambat bercambah. Harap bersabar dan jangan buang dulu bila 3 minggu belum bercambah.
4. Setelah tumbuh 3-4 batang, pindahkan dalam pasu kecil.
Media tanam boleh guna tanah campuran biasa beli dekat nursery. Guna baja tinja ayam.
Pacakkan sebatang kayu, untuk tiang. Ikat pokok asparagus, sebab asparagus sangat lembut. Mudah rebah bila terkena angin dan hujan.
5. Setelah 3-4 bulan, pindahkan lagi pada pasu agak besar.Kalau ada tanah luas, boleh tanam atas tanah terus.
Jarakkan ±1 meter setiap pokok.
6. Setelah tanam atas tanah, kena pastikan bersih dari rumpai dan baja sekurang-kurangnya 1-2 minggu sekali. Buang pokok yang dah tua.
7. Pastikan batas tinggi untuk mengelakkan akar terendam,juga pastikan kena panas matahari sekurang-kurangnya 6 jam.
Pokok saya kena panas matahari sepanjang hari.
8. Bila penjagaan cantik, Insya Allah seawal 10-12 bulan boleh tuai, walau spear tak berapa besar.
Kita yang tanam dia, besar mana pun boleh ambil untuk dimakan.
9. Asparagus dikatakan pokok matang setelah berumur 2 tahun. Masa ini, spears cukup besar.
10. Asparagus ada pokok jantan dan betina.
Pokok jantan, spears akan lebih besar tetapi sedikit setiap perdu berbanding pokok betina.
Pokok betina pula, akan berbunga dan mengeluarkan biji benih.
Spears keluar lebih banyak, tetapi saiz lebih kecil dari pokok jantan.
( Ikut pengamatan saya pada pokok yang saya tanam.)
11. Dikatakan jangka hayat pokok asparagus boleh sampai 20 tahun.
Berbaloi sekali tanam, 20 tahun boleh tuai.
Lagipun harga pasaran asparagus agak sedikit mahal berbanding sayuran lain.
12. Tanam banyak-banyak satu baris, boleh jadi landscape yang cantik.
Kalau tak tanam sekarang, bila lagi ?
Jom tanam asparagus.
Sumber : Euis Mae Via Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri