Bahana wabak Covid-19 yang melanda dunia telah menyebabkan kerajaan persekutuan Malaysia untuk melaksanakan PKP bermula daripada 18 Mac yang lalu sehinggalah ke hari ini.
Dalam tempoh ini ibu bapa jangan culas untuk menguruskan emosi anak-anak supaya mereka tidak merasa diabaikan. Memang kanak-kanak teruja duduk dirumah namun, jika tempoh ini, rumah dirasakan bukan lagi ‘syurga’ buat mereka apabila ibu ayah asyik bertengkar dan tiada aura harmoni tentu akan memberi kesan kepada rumahtangga itu serta anak-anak.
Bagi pasangan suami isteri yang hidup gembira ada kalanya suami yang suka berlawak dan menyakat, isteri pula sweet layan suami dan saling melengkapi, pasti keluarga itu penuh ‘warna-warni’ kegembiraan.
Begitu juga dengan kisah keluarga ini. Bagi yang mengikuti pelakon Azad Jasmin di media sosial sudah pasti mengetahui bahawa suami kepada pelakon dan penyanyi, Eira Syazira gemar bergurau dan mengusik termasuk isteri dan ahli keluarganya.
Tambahan pula, warganet gemar melihat gelagatnya bersama isteri, Eira Syazira melalui video-video yang dimuat naik di laman sosialnya. Memang buat ramai yang tak kering gusi.
Terbaharu, menerusi sesi live bersama Majalah Keluarga, Azad tetap mengundang gelak tawa netizen. Menurutnya isterinya, Eira Syazira, suaminya setiap hari akan menyakat dan mengomol anak-anaknya.
“Dalam tempoh PKP ini memang Pak Azad tiap-tiap hari gomol dan sakat anak-anak. Stres!” Gelak Eira sambil memandang suaminya.
Eira mengakui tempoh PKP adalah masa mengeratkan hubungan kekeluargaan makin rapat.
“Inilah masa untuk bonding time dengan suami dan anak-anak. Seronok anak-anak ada di rumah 24 jam.”
“Semasa PKP rutin saya adalah memasak termasuk melayan kerenah anak-anak. Pak Azad memang suka order je jika nak makan. Pak Azad memang tak masuk dapur. Bagi saya air tangan seorang isteri itu penting untuk menyediakan hidangan buat suami dan anak-anak.”
FAMILI BONDING
Disamping itu, Azad juga memberitahu inilah masa ibu ayah untuk mengeratkan hubungan dengan anak-anak.Jika sebelum ini sibuk bekerja dan anak-anak ke sekolah. Namun PKP memberi hikmah buat mereka untuk lebih rapat dengan anak-anak.
“Memang saya main anak patung dan masak-masak dengan anak saya. Bayangkan saya ada tiga orang perempuan yang berbeza umur. Jadi saya kena jadi orang yang berbeza mengikut umur mereka.
“Ibu bapa jangan buat rumah tu bosan. Ibu bapa juga perlu jadi ‘kanak-kanak’.
Ini supaya kita boleh berkomunikasi dengan mereka,” jelasnya ketika ditanya mengenai rutin sepanjang PKP melayan kerenah anak-anak di rumah.
RUMAH SEAKAN TAMAN PERMAINAN
Apabila PKP tentu anak-anak tidak boleh berada di luar. Pastinya anak-anak ingin bermain permainan seakan di taman permainan kanak-kanak. Namun itu tidak menjadi masalah buat keluarga harmoni ini.
Azad memberitahu, rumahnya seakan taman permainan apabila diruang tamu terdapat papan gelongsor untuk anaknya bermain begitu juga dibilik tidur. Namun itu tidak menjadi masalah buat mereka asalkan anak-anak tidak merasa bosan duduk di rumah. Malah ia adalah salah satu cara untuk mengawal anak-anak daripada bermain gajet dalam tempoh yang lama.
Namun, pembelajaran di rumah juga turut diberi penekanan. Eira Syazira memberitahu bahawa anak-anak turut mengikut pembelajaran sekolah dan mengaji Al-Quran secara online dalam tempoh PKP ini.
BANTU FRONTLINERS
Dalam pada itu, Azad turut berkongsi memberi sumbangan makanan kepada anggota keselamatan yang bertugas lewat malam. Beliau bekerjasama dengan sebuah restoran bagi menyediakan bungkusan makanan tersebut. Katanya inilah sumbanganya untuk menghargai frontliners yang bertugas dalam tempoh PKP.
“Jika kita tiada wang, kita sumbangkan makanan atau kita doakan agar mereka semua terus diberikan kesihatan.”
Beliau juga sempat berpesan kepada rakyat Malaysia dalam nada seakan ucapan ‘Yang Berhormat’ supaya kekal duduk dirumah supaya memudahkan urusan kerja para frontliners. Gelagatnya mengundang berdekah dikalangan netizen.
TIP BAHAGIA PKP
Pasangan suami isteri ini sempat berkongsi tip bahagia semasa PKP.
“Apabila kita tak ada masalah dengan isteri. Secara automatik tidak akan ada masalah dengan anak-anak.” Pak Azad berkongsi tip.
Ikuti video di link ini: LIVE SEMBANG KELUARGA BERSAMA PAk AZAD DAN EIRA SYAZIRA.
Sumber gambar: Instagram Eirasyaziraofficial