Fahamkan Anak 7 Tahun Tentang Solat. Boleh Ikut Cara Didikan Ibu Di Masjid Nabawi Ni!

Share

Mendidik hal anak-anak untuk menjadikan sempurna akhlak dan akidahnya, lain tidak bukan adalah melalui solatnya.

Kita sebagai ibu ayah perlu memainkan peranan mendidik tentang kepentingan dan pelaksanaan solat seawal 7 tahun lagi.

Pun begitu apabila ditanya tentang pendekatan dan cara bagaimana kita akan lakukan untuk memastikan anak-anak seusia itu faham dengan sebaiknya. Mungkin ada antara kita, punya kaedah tersendiri.

Dan untuk itu, ini dikongsikan satu kisah dari Masjid Nabi untuk dijadikan iktibar barsama.

[ Didikan Ibu di Masjid Nabi ]

Bismillah.
Pagi ini saya solat Subuh di sebelah seorang wanita Arab. Dari percakapannya saya yakin dia adalah wanita Arab Madinah. Lemah lembut, berbahasa arab fushah MashaAllah.

Beliau membawa seorang anak perempuan, sekitar umurnya 7 tahun. Saat iqamah dikumandangkan, saya lihat ibu ini bersungguh-sungguh mengajak anaknya solat. Dia menarik tangan anaknya untuk bangun berdiri. Subuh di Madinah jam 5.06 pagi, memang anak kecil mengantuklah time macammni kan.

Anaknya tidak mahu bangun. Keras di tempat duduknya sehinggalah solat subuh selesai. Saya paling hampir dengan mereka dan kata-kata nasihat ibu ini tepat mengena ke jantung saya. Allahu Akbar!

“Anakku, bangun solat sayang. 2 rakaat sahaja, 2 rakaat sahaja.” Anaknya masih belum mahu bangun.

“Anakku, dalam hidup kita, pertama kita kena cinta Allah. Allah yang pertama. Allah Yang Maha Agung. Dan solatlah yang paling utama kita kena lakukan sebagai hamba Allah. Bangun anakku, cakap pada syaitan, “Aku kuat! Aku kuat!” Lawan syaitan anakku,” Halus tutur ibu ini, tetapi saya dapat mendengar dengan jelas.

Tiada marah-marah, tetapi sarat dengan nasihat. Anak 7 tahun ya. Tapi dia bercakap seolah anaknya sudah besar remaja. Dia cuba fahamkan anaknya apa itu solat.

Allahu Akbar, air mata saya menitik. Sungguh rindu pada anak-anakku di Malaysia. Sungguh terkesan dengan perlakuan ibu ini.

Sudah bersungguhkah aku mendidik anakku bersolat?
Sejauh mana kentalnya hatiku mengajak anakku bersolat Subuh di kedinginan pagi?
Sudah fahamkah anakku mengapa perlu bersolat?

“Anakku, solat sayang. Solat kerana Allah, Tuhan kamu. Bukan kerana ibumu.” Sekali lagi tepat kata-kata ibu ini tembus ke hatiku. Subhanallah.

Solat kerana Allah. Kerana kita sangat perlukan cinta dan kasih sayang Allah di dalam kehidupan. Bukan kerana takutkan ibu, atau menagih pandangan manusia.

Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku dengan ibu ini. Subuh yang sangat bermakna..Subhanallah.

Ummu Muadz,
Ahad 27/10/2019.
Pintu 15 Masjid Nabawi.

Sumber : Ainun Mardhiah