Empat Orang Anak Berkongsi Tarikh Lahir, Keluarga Ni Cukup Luar Biasa!
Sesuatu yang menakjubkan! Mungkin itu yang dapat digambarkan bagi keluarga yang berasal daripada negara Singapura ini apabila dianugerahkan empat orang cahaya mata berkongsi tarikh lahir yang sama.
Pasangan suami isteri Salihin Ahmad Perbah, 49 tahun dan Khairunnisa Abdul Karim, 39 tahun ini tidak sama sekali menyangka setiap kelahiran adalah adalah pada tarikh 6 September. Malah apa yang lebih istimewa, anak pasangan ini bukannya kembar dan dilahirkan secara normal.
Ini sebagaimana memetik berita yang dikongsikan oleh mediacorp.sg. Difahamkan empat orang anaknya itu adalah Shahin Khalish 12 tahun (2011), Sairish Khaila 10 tahun (2013), Shaila Kheisha lapan tahun (2015) dan yang terbaru Shaira Khaira.
“Memang tak sangka. Tarikh lahir asal dijangka 24 September. Bila isteri ada temu janji pemeriksaan pada minggu ke-36 atau ke-37 kehamilan, Dr Jazlan ada katakan ada kemungkinan besar isteri saya akan lahirkan sama tarikh dengan anak-anak kami yang lain.
“Rasa terperanjat dan kegembiraan kerana lepas lapan tahun, Alhamdulillah tarikh pun masih sama,” cerita Encik Salihin mengenai anak keempat dengan berat 2.91 kilogram yang dilahirkan pada pukul 12.18 tengah hari.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Jazlan Joosoph, merupakan doktor yang menyambut kelahiran semua empat anak Encik Salihin dan Cik Khairunnisa di Hospital Raffles.
Sambutan Hari Lahir, Meriah
Bagi tiga anak Encik Salihin dan Cik Khairunnisa, kelahiran adik bongsu mereka ibarat hadiah hari jadi yang tiada tolok bandingnya.
Manakan tidak, mereka “memang selalu minta nak adik” dan dapat adik pula pada tarikh yang sama dengan hari lahir mereka.
“Mereka kata semua hadiah yang mereka dapat nak beri ‘baby’ baru sebab mereka sudah puas dengan semua hadiah,” kongsi Encik Salihin mengenai telatah anak-anaknya itu.
Menceritakan tentang sambutan hari jadi mereka, Encik Salihin menyifatkannya sebagai “memang meriah”.
“Setiap kali kami menyambut hari lahir memang meriah, terutama sekali (selepas anak) yang ketiga. Hadiah yang kami dapat hampir-hampir setengah bilik mereka,” cerita Encik Salihin lagi.
Dengan kehadiran anak keempat, yang sama tarikh lahir, Encik Salihin merancang untuk pergi bercuti sekeluarga pada hari lahir mereka.
“Insya-Allah (dengan anak) yang keempat ini mungkin kami nak pergi bercuti sahaja. Memang saya rancang nak bercuti untuk hari jadi anak-anak tahun ini. Tapi bila dapat tahu isteri mengandung, saya tunda tahun depan,” cerita Encik Salihin.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club