Empat Beradik Serentak Jadi Tetamu Allah, 12 Tahun Menabung!

Share

Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah diibaratkan apabila empat beradik ini direzekikan menjadi tetamu Allah serentak.

Memetik laporan myMetro, empat beradik tersebut tidak menyangka dapat merealisasikan impian mereka sejak sekian lama menjadi tetamu Allah, apabila terpilih untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama pada tahun ini.

Meluahkan kesyukuran, Siti Norsaliana Abu Khalid, 35, berkata ia adalah rezekinya bersama tiga adik-beradiknya iaitu Muhammad Saffuan, 34, Siti Norkhariah, 27, dan Muhammad Syahid, 18, selepas mula menabung sejak 2008 dan mendaftar haji pada tahun yang sama.

Malah suami Siti Norsaliana iaitu Mohd Zamzuri Ali, 36, dan adik iparnya Siti Analiza Mak Tapin, 34, turut sama menyertai mereka untuk mengerjakan ibadah haji itu.

“Saya ada seorang lagi adik yang juga menerima tawaran menunaikan haji pada tahun ini, tetapi dia baru melakukan pembedahan lutut dan terpaksa menolak tawaran tersebut.

“Ibu dan ayah juga dapat tawaran tunai haji, tetapi disebabkan mereka pernah menunaikannya sebelum ini mereka menolak dan ingin memberi peluang kepada orang lain,” kata anak sulung itu kepada Bernama di sini, hari ini.

Siti Norsaliana yang menetap di Taman Kobena, Senawang berkata dia bersama adik-beradiknya berasa terkejut dan gementar, selepas menerima surat untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu pada April lalu namun mengakui teruja dengan segala persiapan sudah dilakukan sejak Aidlfitri lalu.

Jelasnya, dia pernah menolak tawaran untuk mengerjakan ibadah haji kali pertama pada 2020 namun disebabkan berfikiran masih muda ditambah Covid-19 melanda dunia ketika itu, Siti Norsaliana terpaksa menangguhkannya.

“Saya berasa amat sedih ketika tahun tersebut, mungkin niat ketika itu tidak betul jadi saya pujuk hati dan pujuk suami… mungkin ini jalannya dan Alhamdulillah rezeki datang pada tahun ini,” katanya.

Siti Norsaliana berkata mereka dijadualkan berlepas ke Tanah Suci Mekah pada tengah hari esok dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber : myMetro

Webinar Aku Tak Serik Bersalin merupakan webinar kehamilan dianjurkan untuk para ibu hamil yang menanti kelahiran cahaya mata. Membariskan ramai speaker-speaker hebat yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Antaranya Dr Maiza Tusimin, Dr Siti Sarah Aishah, Dr Tengku Puteri Zainab, Ustazah Fatimah Syarha, Encik Fhais Salim dan selebriti Ezzaty Abdullah. Jom daftar secara percuma di SINI

!

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club