Empat Beradik Dapat Tunai Haji Serentak, Berkat Ibu Ayah Daftarkan Haji & Menabung Sejak Anak Masih Kecil!

Share

Sungguh benarlah rezeki Allah tidak pernah salah alamat, jika sudah itu janjinya maka kenikmatan dan rahmat Allah pasti sampai tepat pada masanya. Inilah yang dapat digambarkan dengan anugerah Allah berikan kepada 4 adik beradik ini iaitu Muhammad Hasif, 26, Imran Harith, 25, Nur Hanisah, 23, dan Ahmad Hazim, 19 apabila mereka berempat  menjadi antara  jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Simpan Duit Sejak Kecil

Menurut Dr Noor Hassan Yahaya, 53, keempat-empat anaknya mula menabung sejak kecil lagi. Dan setiap kali dapat duit raya akan masukkan ke dalam akaun TH selain duit yang diperuntukkan olehnya untuk anak-anaknya menabung di TH.

“Sejak mereka berusia setahun, saya dan isteri Norlida Hassanal Bashry, 54, sudah membuka akaun simpanan TH masing-masing sebagai persediaan awal ke Tanah Suci.

“Duit raya yang mereka dapat sejak zaman kanak-kanak akan kami simpan dalam TH selain duit yang saya simpan untuk mereka,” katanya ketika ditemui di Kompleks TH di Sepang, hari ini.

Keluarga berkenaan dari Bandar Baru Uda (BBU), Johor Bahru, pertama kali mengerjakan ibadah haji manakala ibu bapanya sudah menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada 2009.

Dr Noor Hassan yang juga pakar bius di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, berkata hati mereka amat berat melepaskan keempat-empat anaknya, namun tuntutan agama sangat penting sebagai Muslim.

Amanah Digalas Abang Sulung 

Sementara itu, Muhammad Hasif berkata, sebagai abang sulung, dia akan menjaga adik beradik seperti diamanahkan mak dan ayah.

“Apa yang berlaku adalah tanggungjawab saya sebagai abang sulung. Insya-Allah, saya tidak akan mensia-siakan amanah diberikan.

“Kami sudah membuat persediaan awal termasuk mengikuti kursus haji sejak beberapa bulan lalu termasuk Kursus Perdana Haji di Johor Bahru.

“Alhamdulillah, semoga urusan kami dipermudahkan untuk menjalani ibadah dan membantu jemaah lain terutama warga emas yang uzur,” katanya.

sumber : Harian Metro