Air mata penyanyi Ziana Zain gugur ketika menjayakan konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Ziana gagal menahan perasaan sebak apabila mengimbas semula pesanan dan nasihat dititipkan ibunya sebagai panduan selepas bergelar anak seni.
“Emak sering menasihatkan saya tidak mudah lupa diri dan sentiasa berpijak di bumi nyata. Apa yang dikurniakan hari ini, semuanya milik Allah,” ungkap Ziana sambil ditenangkan Anuar.
Sepanjang tiga jam beraksi, Ziana dan Anuar bukan sahaja menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu hit mereka, antaranya Ziana menyampaikan lagu Puncak Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu, Madah Berhelah dan lagu yang belum pernah dinyanyikan dalam mana-mana persembahan iaitu Terlerai Kasih.
Manakala Anuar pula menghiburkan peminat dengan lagu popularnya seperti Ketulusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.
Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu menyaksikan kehadiran ramai rakan selebriti. Antaranya, Noryn Aziz, Misha Omar, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Shuib Sepahtu, Datuk Ziela Jalil, Datuk A Aida, Ernie Zakri, Syamel, Rozita Che Wan, Fara Fauzana dan Dafi.
Bahkan lebih bermakna apabila konsert terbabit turut dihadiri oleh ibu bapa selebriti itu iaitu Zin Abdullah dan Robiah Abdul serta anak-anak Ziana iaitu Muhammad Amar Armin Zaharin dan Muhammad Aiman.
Memetik perkongsian di portal Remaja, Ziana dan Anuar menyifatkan tiada apa yang lebih membanggakan mereka melainkan melihat rasa bangga pada raut wajah ibu bapanya yang hadir di konsert tersebut.
“Dulu abah datang semasa konsert Unplugged (1996) dan konsert Ziana Zain In The Park (2001). Dan selepas itu, sudah jarang. Sokongannya terhadap anak-anaknya amat kuat. Walaupun sekarang usianya sudah 84 tahun manakala ibu kami sudah berusia 71 tahun, kami ingin sangat mereka datang.
“Tanya beliau, ‘Boleh ke abah datang? Takut abah sudah tak terdaya.’ Kata saya, tak mengapa insyaAllah ada abah, semangat kami lebih kuat. Jadi, abah gagahkan diri untuk datang juga bersama dua orang anak saya, Muhammad Ammar dan Muhammad Aiman.
“Saya meminta mereka temani atuk mereka ke konsert. Ammar bertanya, ‘Nak tengok Mama dan Pak Ngah nyanyi ke?’. Mereka belum pernah menonton kami berdua berkerjasama. Mereka setuju, dengan pesanan usah panggil nama saya dari atas pentas (ketawa). Tapi anak kan, perlulah panggil,” seloroh Ziana.
Tidak menafikan dirinya dilanda arus sebak sewaktu berbicara mengenai sokongan ibu bapanya di hadapan ribuan penonton yang hadir, Ziana bersyukur segalanya berjalan dengan lancar.
Di penghujung konsert, mereka turut mengumumkan konsert itu bakal dibawa ke Singapura pada 24 September depan.
Sumber : Berita Harian & Remaja
ARTIKEL MENARIK : Selepas Balik Haji, Rico Rinaldi Tolak Tempahan Baju Seksi. Ramai Puji & Doakan Istiqomah!
Baca Ini Juga :“Bagus Didikan Suaminya..”- Minah Salleh Lebih Melayu, Tabah Diuji Suami Stroke!
Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA dan join keluargagader club