Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah sepanjang masa. Jika sudah namanya menjadi seorang ibu atau ayah, pasti kita akan cuba untuk melakukan dan usahakan yang terbaik untuk kebahagiaan anak-anak tercinta.
Berkongsi kisah di facebook, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli berkongsi satu kiriman email yang menarik perhatiannya. Dimaklumkan kiriman email tersebut diterima daripada seorang ayah yang mahu anaknya didoakan agar diterima belajar di institusi pengajian tinggi awam setelah mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM.
Namun apa yang lebih menyentuh hati adalah di mana anak tersebut kini sedang menghidapi penyakit ‘nephrotic syndrom’ (penapis buah pinggang gagal serap protien).
Ini perkongsian Dr Zulkifli di akaun fbnya.
KASIH SEORANG AYAH
Masih di pejabat, menyelesaikan beberapa tugasan, mesyuarat dan menyemak timbunan dokumen.
Saya banyak menerima emel daripada orang ramai, namun emel ini menarik perhatian saya. Seorang ayah mengirimkan emel kepada saya dan meminta saya mendoakan anakandanya disembuhkan daripada penyakit “nephrotic syndrome” dan diterima masuk ke UiTM Shah Alam.
Beliau juga ada mengepilkan keputusan SPM anakanda beliau. Subhanallah. Bijak orangnya.
Moga Allah SWT mengabulkan semua hasrat En. Raja Azman. Seorang ayah, pasti sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya.
Biasanya lelaki yang bergelar ayah tidak semahir ibu dalam menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak. Tapi percayalah, dia sentiasa berusaha semampu mungkin untuk kebahagiaan anak-anaknya. Riak wajahnya mungkin tegas, tetapi siapa tahu berapa kali hatinya “menangis” untuk memastikan anak-anaknya berjaya. Emel ini membuktikan kasih seorang ayah.
Pakcik sentiasa doakan anakanda Raja Muhammad Ameir Nabil. Jangan lepaskan genggaman tangan ibu dan ayah, walaupun anakanda sudah jauh di puncak suatu hari nanti.
Sumber : Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club