Disebabkan kes yang kian meningkat minggu lalu, kerajaan telah memutuskan untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai satu usaha untuk membendung kes COVID-19 ini dari terus berleluasa.
Meskipun sudah 5 bulan berlalu sejak PKP dilaksanakan, namun sampai hari ini masih ada lagi yang ragu-ragu atau keliru tentang pemakaian pelitup muka. Jadi, yang mana keliru tu jom rajinkan diri baca perkongsian dari Dr Ahmad Samhan ini!
Hari ini 1 Ogos semua WAJIB pakai pelitup muka di tempat awam jika tak mahu didenda RM1000!
Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan baru ini.
Pemakaian pelitup muka itu diwajibkan di kawasan tumpuan ramai dan sesak seperti pasar, pasar tani dan pasar raya serta stesen pengangkutan awam seperti LRT, MRT serta bas.
Ada beberapa jenis pelitup muka:
1. Pelitup muka N95
Ini adalah pelitup muka paling baik kerana dapat menghalang virus 95% dan bakteria 100% tetapi harganya agak mahal. Kebiasaan digunakan staff kesihatan bagi menghalang jangkitan melalui udara(airborne).
2. Pelitup muka 3 lapis(surgical mask)
Disarankan untuk memakai pelitup muka jenis ini. Harga lebih murah,RM1-1.50 per unit malah dapat menapis virus pada kadar 95 peratus.
3. Pelitup muka kain(fabrik)/ Span
Tidak sesuai digunakan kerana kadar tapisan bagi menghalang virus dan debu adalah sifar peratus.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan garis panduan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), “Hanya pelitup fabrik tiga lapisan yang disarankan bagi mengekang penularan COVID-19. Kalau satu lapisan memang tidak berkesan”
Walaupun pelitup muka kain 1 lapis tidak mampu menghalang virus,ia mampu untuk menghalang titisan pernafasan dari tersebar ketika batuk dan bersin jika dibandingkan dengan individu yang langsung tidak memakai pelitup muka.
Orang ramai boleh memakai pelitup muka yang dijahit sendiri, tetapi perlu mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu jenis tiga lapisan fabrik bersifat menyerap air di bahagian dalam, bahan yang mampu menghindar penyerapan air di lapisan luar dan kain yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair di tengah.
Berapa lama pelitup muka boleh dipakai?
Pelitup muka efektif digunakan dalam tempoh enam jam sahaja atau telahpun kotor dan selepas itu, pelitup muka baru perlu digunakan. Pelitup muka lama perlu dibuang dengan cara yang betul. Pelitup muka kain hendaklah kerap dibasuh.
Adakah bayi perlu pakai pelitup muka?
Bayi kurang 2 tahun tidak perlu pakai topeng muka kerana salur pernafasan yang lebih sempit dan risiko lemas sangat tinggi. Ibubapa disarankan amalkan penjarakkan sosial,menutup ‘stroller’ dengan kain semasa keluar dan duduk dirumah jika tiada sebab kukuh untuk keluar.
Adakah perlu memakai pelitup muka ketika jogging dan aktiviti riadah?
Tak perlu kerana ada kes di China meninggal dunia ketika melakukan aktiviti di gimnasium. Pastikan semasa joging kalau boleh ada penjarakkan, kalau dua meter dan tiga meter lagi bagus.
Oleh yang demikian, pelitup muka yang terbaik adalah pelitup muka tiga lapis(surgical mask) dan tidak menggalakkan penggunaan pelitup muka fabrik yang dikatakan satu atau dua lapisan saja.
Pemakain pelitup muka dapat mengelakkan kira-kira 60 peratus penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus termasuk COVID-19.