Kehamilan

Elisya Sandha Kongsi Pengalaman Hamil Anak Kedua, “Rasa Tak Mampu Puasa Penuh Tapi Saya Cuba”

Share

Pelakon Elisya Sandha yang kini sedang hamil enam bulan berkongsi keadaan dirinya yang mengalami alahan teruk bagi kehamilan keduanya ini.

Tambah Elisya lagi, alahan yang dialaminya turut menjejaskan ibadah puasanya pada Ramadan kali ini.

Berbeza kandungan pertamanya, kata Elisya dia bersyukur kerana dapat berpuasa penuh.

“Sebenarnya ketika saya mengandungkan Bunga sebelum ini, saya dapat berpuasa penuh. Tak tinggal satu hari pun. Saya sangat gembira kerana itu memang sasaran saya pada waktu itu.

“Tapi pada kehamilan kali ini, jika lihat pada gaya, saya rasa tak mampu nak berpuasa penuh tapi saya akan tetap cuba.

“Kali ini, saya cepat penat dan ada alahan yang agak teruk,” katanya berkongsi cerita.

Tambah ibu kepada si comel, Bunga Elhaq ini lagi, proses kehamilan keduanya ini agak mencabar berbanding kehamilan pertamanya pada tahun 2022.

“Cuma kali ini alahan teruk juga. Perut saya agak kecil walaupun dah enam bulan tapi digantikan dengan alahan, bengkak kaki dan mudah penat.

“Kalau berjalan pun saya akan mudah penat,” ujarnya lagi.

Elisya berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media LXM Resources, yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi kisah jantina anak kedua, kata Elisya dia dan suami sepakat merahsiakan jantina anaknya itu dari pengetahuan keluarga.

“Jantina anak kita belum maklumkan lagi. Kita akan adakan majlis gender reveal selepas Hari Raya. Mak mentua saya pun belum tahu lagi. Cuma saya dan suami sahaja yang tahu.

“Buat masa ini, kami memang nak merahsiakan walaupun ibu mentua saya cuba korek,” tambahnya.

Terdahulu, Elisya dan suaminya mengumumkan bakal menimang anak kedua mereka pada penghujung tahun lalu. Pasangan ini turut dikurniakan dengan seorang cahaya mata perempuan, Bunga Elhaq.