Umum maklum, untuk seseorang itu menurunkan berat badannya hatta 1kg sekali pun bukanlah perkara mudah. Tapi berbeza bagi pasangan suami isteri ini, Puan Rabiatul Adawiah Mohd Yusoff, 30 dan suaminya Encik Ahmad Jihad Ahmad Shafee, 30 yang dahulunya pernah mengalami masalah berat badan dan kini kembali kurus.
Atas sebab ini juga, kisahnya telah dikongsikan di dalam Majalah Keluarga terbitan Julai 2018 agar dapat memberi inspirasi kepada yang ingin menurunkan berat badan.
Ini Perkongsiannya
“Mula dulu saya sendiri tidak merasa saya gemuk sebab setiap kali tanya suami tentang perubahan fizikal saya, jawapannya sentiasa positif. Katanya saya cantik dan tak gemuk di matanya. Bila baju sendat untuk dipakai, suami akan belikan yang baharu. Jadi saya tidak merasa sebarang tekanan.
“Sampailah suatu hari saya beli penimbang digital, dan saya membayangkan berat saya mungkin dalam 90kg tapi selepas ditimbang berat badan saya 105kg. Melihat angkat tersebut memang saya sudah takut dan terus ajak suami untuk lakukan sesuatu untuk turunkan kembali berat badan.
“ Tidak dengan itu, sebenarnya kami berdua acap kali ditegur oleh ibu tentang berat badan yang bagai dipam-pam ni. Sebenarnya pertambahan berat badan ini bukannya mendadak. Seingat saya selepas melahirkan Ahmad Furqan empat tahun lalu, berat badan saya semakin bertambah dari tahun ke tahun.
“Manakala suami pula menampakkan perubahan berat badan selepas berkahwin lagi. Senang cakap, berat badan kami sama-sama naik. Mungkin sebab ini juga kami tidak rasa masalah dan gembira sahaja dengan keadaan itu,” ujar Rabiatul atau lebih mesra disapa Bie di awal bicaranya.
Perasaan dalam hati
Apabila diminta untuk berkongsi perasaan, nyata wanita berwajah manis ini juga punya perasaan rendah diri dan malu untuk bertemu dengan orang ramai. Apatah lagi jika terserempak dengan kawan-kawan lama.
“Pernah suatu ketika tu, saya dan suami pergi ke pusat membeli belah dan tiba-tiba saya ternampak kelibat kawan saya dari jauh. Sebelum terserempak saya cuba elakkan dari ternampak tapi terserempak juga.
“Dan sedihnya bila jumpa kawan tu boleh cakap, “Bie apasal kau gemuk sangat ni, ngerinya!” Saya dengar perkataan ngeri tu saya memang terpukul sangat,” cerita Bie lagi dengan panjang lebar.
Ubah 360 darjah
Baginya, kecantikan wanita itu selain pada raut wajah dan penampilan, berat badan juga memainkan peranan yang penting untuk tampil sempurna.
“Orang perempuan memanglah nak sentiasa cantik. Walaupun masa itu saya gemuk, saya juga teringin untuk nampak cantik. Namun apa yang saya perasan, belilah macam mana mahal sekali pun pakaian yang ada, tapi saya tetap nampak tidak menarik.
Memastikan berat badan terus dapat diturunkan, bukan sahaja aktiviti jasmani ditekankan malah dari sudut pengambilan makanan juga diubah 360 darjah. Jika dahulu tidak ambil pusing tentang pemakanan sihat, namun hari ini setiap makanan yang diambil dipastikan kalorinya terlebih dahulu.
“Kami memilih tentang makanan. Semuanya perlu makanan yang sihat, lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Tiada lagi makanan bergoreng tapi beralih kepada masakan panggang dan kukus. Boleh katakan perubahan gaya pemakanan keluarga kami memang total 100% berubah.
sumber : Majalah Keluarga isu Julai 2018
.