“Dulu Mungkin Boleh Main Sama-sama. Sekarang Dah Besar Jangan Dibuat Main.” Kena Jaga Aurat!

Share

Sedar atau tidak, sebenarnya bab aurat antara sepupu sepapat tetap perlu dijaga. Namun ada juga yang ambil mudah, konon katanya sudah seperti adik beradik.

Bahkan ada sesetengah pasangan buat endah tak endah tentang aurat bila bersama ipar duai. Mungkin juga dek kerana tidak faham tentang batas-batas aurat.

Lantaran itu, jom kita baca perkongsian daripada Ustaz Farid Rashidi untuk menambah ilmu pengetahuan agama berkaitan aurat.


Selalu perasan, ada pasangan yang buat endah tak endah tentang aurat bila bersama ipar duai, atau dengan sepupu.

Sedangkan ipar duai atau sepupu itu auratnya tetap sama sebagaimana orang luar lain. Yelah, tahulah dulu main tuju tin, pondok-pondok, batu selambut, main sorok sama-sama.

 

Walaupun kenal sejak zaman kanak-kanak lagi, bila baligh hukumnya tetaplah haram dedahkan aurat.

Dulu mungkin boleh main sama-sama. Sekarang dah besar jangan dibuat main. Lain jadinya nanti.

Ada hadis menyebutkan:

إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَرَأَيْتَ الْحَمْوَ . قَالَ الْحَمْوُ الْمَوْتُ

Dari Uqbah bin Amir katanya: Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: “Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita”.

Lalu seorang sahabat Ansar bertanya: “Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?”

Rasulullah SAW menjawab: “Ipar itu maut”. [Hadis Riwayat Bukhari no. 5232 dan Muslim no. 2172]

Apa yang dimaksudkan dengan ipar itu ‘maut’?

Maksudnya, kena lebih berhati-hati bila bersama ipar duai sebab kita selalu berjumpa, bergaul, berbual dan dibimbangi yang biasa itu jadi luar biasa. Nah, itu juga jalan menuju zina jika tak dipelihara betul-betul.

Jadi, berpesan-pesanlah pada mereka yang tak tahu, atau yang buat-buat tak tahu atau lupa. Ingatkan, semoga tak terpalit dosa ya.

Sumber :  Ustaz Farid Rashidi