“Dulu Kami Selalu Berpindah-Randah. Ni Hadiah Buat Ibu.” Dua Tahun Simpan Duit, Bunga Isme Syukur Usia 21 Tahun Dah Beli Rumah!

Share

Tanpa angan-angan mimpi takkan bermakna. Bermula dengan impian Dan disusuli dengan kerja keras, akhirnya penyanyi Bunga Isme berjaya memiliki kediaman sendiri.

Selepas dua tahun berkecimpung dalam industri seni, Bunga atau nama sebenar Noor Ayu Fatini, 21, memberitahu rumah tersebut merupakan hadiah untuk ibunya, Siti Rohani.

“Alhamdulillah! Syukur impian pertama saya akhirnya tercapai, sejak awal bekerja memang saya nak ada rumah sendiri. Rumah ini juga merupakan hadiah untuk ibu saya.

“Dahulu kami sekeluarga hidup berpindah-randah kerana emak dan ayah selalu bertukar lokasi kerja, jadi rumah baharu yang dijangka siap beberapa tahun lagi ini akan jadi kediaman tetap kami.

“Lagi pula usia ibu pun dah lanjut, sebab itu saya nak ada rumah sendiri supaya ibu boleh duduk sekali, bolehlah saya jaga dan berbakti kepada keluarga pula,” katanya kepada mStar.

Akui Bunga, Sebelum membeli rumah, dia terlebih dahulu membuat persediaan awal. Ini termasuklah menguruskan kewangan dengan baik dan mendapatkan rujukan mereka yang lebih pakar mengenai hartanah.

“Sejak tahun lepas saya dah bertanya dengan beberapa orang mengenai pembelian rumah, saya juga ada Google info-info dan tip sebelum membeli rumah.

“Bukan senang sebenarnya nak beli rumah, kena menguruskan wang dengan baik… saya lupakan kemahuan, mula menabung dan buat potongan setiap bulan.

“Selain itu saya juga perlu menjaga keluar masuk wang di akaun bank supaya nampak cantik… memandangkan memiliki rumah memang impian saya, jadi awal-awal lagi saya dah belajar menyimpan,” ujarnya.

Sumber: mStar Online& bungaisme