“Dulu Jual Kek Niat Untuk Cari Duit Kahwin.” Dari Pondok Rehat Kini Ben Ali & Isteri Bangga Miliki Kilang Sendiri!

Share

Bermula dengan operasi kecil-kecilan di gerai jualan hinggalah ke tahap menyewa premis kedai dua tingkat di Cheras, Ben dan rakan kongsi yang juga isterinya, Nadiyah Shahab boleh tersenyum bangga kerana usaha mereka membuahkan hasil hingga menjadi terkenal.

Bak kata pepatah kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Demikian perumpamaan yang boleh diungkapkan pada kegigihan pasangan suami isteri ini dalam membina empayar bisnes mereka bersama.

Tak pernah salah bermimpi dan bercita cita besar kerana setiap kepayahan serta ujian pasti ada pengakhiran yang indah. Hanya bermula dari pondok rehat yang terletak di perumahan awam Sri Sabah, Cheras dan kini perniagaan Absolut Chocolat mampu memiliki kilang sendiri.

“Bisnes ini semuanya bermula sebab kami nak cari duit lebih untuk berkahwin. Daripada suka-suka nak cari duit tambahan, siapa sangka minat kami terus bercambah untuk lebih serius dalam dunia perniagaan. Saya sendiri tak yakin dengan perniagaan kek ini tetapi diyakinkan isteri.

“Saya ni lelaki kot takkan nak jual kek pula kan, tapi Nadiyah yakinkan dan ‘paksa’. Jadi nak tak nak saya turutkan sahaja. Dari A-Z kami lakukan sendiri termasuk editing, ambil gambar dan sebagainya. Sebab itu modal permulaan kami hanya RM50 sehinggakan ada yang tak percaya dan anggap kami tipu. Padahal duit itu kami guna untuk beli barang keperluan untuk buat video.

Menurut bekas pelakon, Ben Ali yang juga Pengarah Urusan syarikat berkenaan, bukan mudah untuk berada di tahap sekarang.

 

“Kami berdua  melalui suka duka, turun naik. Tapi semua itu jadi kenangan dan pengalaman berharga.

“Bayangkan di pondok rehat perumahan awam itu segala operasi dan urusan dilaksanakan. Di situlah kami membungkus kek ke dalam kotak beserta sos. Sukar dibayangkan memori itu, namun rezeki tak pernah salah alamat.

“Pendek kata macam macam lagilah segala kerja saya dan isteri buat. Malah kami pada awalan pernah melakukan khidmat penghantaran kepada pelanggan,” katanya

Menurut Ben atau nama sebenarnya, Nurali Nadzwan, 30, selepas dua tiga hari ‘menumpang’ pondok berkenaan, mereka kemudiannya berpindah ke khemah menjual air kelapa juga di cheras

“Selepas dua tiga minggu menumpang di khemah itu, kami menyewa pula suku lot berdekatan LRT Cheras.

“Dalam tahun 2018, memang kami kerap ‘berpindah randah’ dari satu tempat ke tempat lain. Kami menyewa satu lot premis yang dibahagi dua bahagian

“Bahagian depan dijadikan pejabat, manakala belakang pula sebagai tempat pembungkusan kek dan penghantaran. Apabila perniagaan semakin berkembang kami menyewa pula satu lagi lot di bahagian bawah bangunan sama. Ketika itu lot atas dijadikan ruang pejabat dan bawah pula urusan kerja,” kata Ben.

 

Menurut Ben, dia bersyukur perniagaan mereka yang berasaskan F&B (Food and Beverages) dan dalam talian masih ‘bernafas’ ketika pandemik COVID-19 melanda sejak Mac tahun lalu.

“Kami hantar ke rumah dan masyarakat hanya menempah dalam talian untuk menikmati apa yang ditawarkan. Macam harga kek kami dengan pelbagai perisa juga kekal dengan harga mampu milik.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu kami menambah lagi tiga lot kedai. Ia menjadikan kesemuanya kini lima lot. Kilang ketika ini hanya menempatkan bahagian pengurusan.

“Dengan izin Allah, kami juga dapat membeli van pertama pada tahun 2019. Baru baru ini kami membeli lori pula,” katanya.

18 Februari depan genap tiga tahun jenama itu. Tanggal 22 Januari (hari ini) jenama itu berpindah ke kilang yang kini tersergam indah.

“Kami juga terbuka dan mencabar diri untuk bereksprimen dengan benda baru.  Susah sebenarnya nak kekal relevan dan mengeluarkan produk unik dan lain daripada yang lain. Macam idea pertama kami membuat kek telur masin yang pertama di Malaysia juga awalnya menimbulkan reaksi negatif.

“Ada yang tak boleh menerimanya dan menganggap sebagai pelik kerana selalu telur masin dimakan dengan nasi. Tapi kita melawan arus dengan menghadirkan kek perisa berkenaan.

Memang kena kecam teruk juga pada awalnya. Tapi sekarang orang sudah mula menerimanya dan wujud aliran sama di kalangan pesaing,” katanya

Ben menambah, dia berharap tahun 2021 penuh mencabar ini akan terus memberi sinar kepada jenama perniagaannya.

 Sumber: bena1i

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club