Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dalam usianya yang masih muda dia sudah diuji dengan dugaan yang cukup hebat. Akibat serangan penyakit misteri, Muhammad Azwar Mohd Ariff, 11 tahun yang sebelum ini merupakan johan tilawah al-Quran peringkat Negeri Kedah kini tidak mampu untuk membaca kitab suci tersebut.
Menurut ibunya, Azwar hanya mampu memegang dan meriba sambil membuka helaian kitab suci tersebut sambil menangis berikutan keadaannya yang semakin lemah dan penglihatannya kian kabur.
Bukan itu sahaja, Che Anisah, 42 memberitahu anaknya kerap muntah setelah dibacakan ayat Ruqyah sebagai salah satu usaha merawat penyakit misteri yang ditimpa sejak pulang dari Majlis Tadarus al-Quran Sekolah Peringkat Kebangsaan di Johor, 29 Julai lalu.
Che Anisah yang tinggal di Madrasah Ar Rahmaniah, Seberang Pekan Sik, dan bekerja sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Manakala suaminya pula hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak menentu.
Tambah Che Anisah lagi, Azwar kini tidak lagi mampu ke sekolah berikutan keadaannya yang lemah.
“Azwar hanya mampu berdiri pada rakaat pertama ketika solat, rakaat seterusnya dia akan duduk dan dia juga menghadapi masalah untuk sujud kerana sakit belakang, namun dia tetap tidak tinggalkan solat.
“Minggu lalu saya membawanya ke hospital swasta di Sungai Petani bagi membuat pemeriksaan, tetapi doktor mengesahkan dia sihat.
“Saya juga membawa Azwar menjalani rawatan Islam dan setiap kali ayat al-Quran dibacakan, dia akan muntah dan berasa lega untuk seketika,” katanya.
Kekangan kewangan menyebabkan keluarga Azwar sukar untuk membawanya mendapatkan rawatan yang dicadangkan.
“Saya juga berharap pengamal perubatan di luar sana dapat membantu Azwar agar dia kembali sihat seperti sedia kala untuk terus mempelajari al-Quran dan bercita-cita untuk menjadi johan di peringkat kebangsaan pada tahun depan,” katanya.
Jika anda ingin menyalurkan bantuan untuk meringankan beban Azwar dan keluarganya, boleh hubungi bapanya, Mohd Ariff Ismail menerusi nombor di bawah:
Nombor telefon: 017 551 7084
Akaun Maybank Che Anisah: 1520 4039 2473
Sumber: Harian Metro