Takut nak buat sebarang kesalahan walau di rumah sendiri sebab nanti ‘berbekas’ tangan kena cubit. Tak campur lagi dengan leteran ibu yang tak habis-habis. Mau kebas telinga ni. Dulu, memang rasakan ibulah, insan paling garang di dunia.
Tapi, disebabkan kegarangan ibulah, kami adik-beradik sering dipuji bila bertandang ke rumah sedara-mara mahupun jiran kerana berdisiplin.
Manakan tidak, baru je nak sentuh barang atas meja, ibu sudah jegilkan mata kasi warning ‘Jangan SENTUH’.
Kalau sentuh juga, siap lah balik nanti.
Memang duduk diam aje kami di situ dan terbawa-bawa hingga sekarang. Memang tak berani nak sentuh barang milik tuan rumah tanpa izin.
Namun , masih ada ke ibu yang garang di era sekarang?
Perubahan masa menyaksikan anak-anak zaman sekarang membesar dalam suasana yang sangat berbeza. Terlalu manja dan angkuh hinggakan jika ditegur, terus melenting sampai bersikap kurang ajar tidak kira pada sesiapa sahaja.
Ads
Siapa harus dipersalahkan bila anak spoilt?
Sekali-sekala ibu perlu garang untuk mendisiplinkan anak-anak agar mereka tahu tanggungjawab mereka sebagai anak bukan sahaja pada ibu bapa malah pada orang sekeliling.
CARA MENJADI IBU PENYAYANG
Jadi, bagaimana cara menjadi ibu yang garang di mata anak-anak? Apakah tip dan ciri-ciri menjadi ibu penyayang?
Ads
Tetapkan Waktu Tidur
Tidur yang cukup sangat penting. Disiplinkan anak supaya masuk ke bilik tidur pada waktu yang ditetapkan meskipun adakalanya mereka memberontak terpaksa tidur awal. Apabila dapat tidur yang mencukupi, anak mudah bangun pagi untuk mengerjakan solat Subuh. Anak yang bersolat lembut hatinya dan mendengar kata.
Beli Dengan Duit Sendiri
Ajar mereka menabung. Jika anak meminta membeli barang yang mereka inginkan, suruh mereka mengumpul duit sendiri hingga dapat membeli barang berkenaan. Jangan sesekali mengalah dengan pujukan mereka. Dengan cara ini, mereka akan belajar menghargai barang yang dibeli.
Guna Selagi Boleh
Berjimat cermat. Elak manjakan anak dengan membeli apa sahaja kemahuan mereka walhal barang yang ingin dibeli sudah melambak di rumah. Beli apa yang perlu sahaja atau gantikan dengan yang baru hanya apabila barang lama sudah habis diguna.
Tanggung Kesilapan Sendiri
Berdiri dengan kaki sendiri. Jika anak terlibat dalam masalah, pastikan mereka mencari jalan penyelesaian. Dengan ini ,anak akan lebih bertanggungjawab atas setiap perbuatan yang dilakukan.
Pantau Pergerakan Dan Perbuatan
Lihat tingkah laku anak juga. Kawal pergerakan anak supaya tidak terdedah dengan perkara tidak elok lebih-lebih lagi dalam melayari Internet yang lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Ads
Galak Buat Kerja Dengan Sukarela
Ajar mereka berdikari. Jangan lekakan anak dengan hadiah setiap kali mereka melakukan sesuatu. Ajar mereka lakukannya tanpa mengh4rapkan balasan. Dengan ini mereka akan belajar lebih ikhlas dalam membuat satu-satu perkara tanpa dipaksa.
Mengaku Kesalahan
Tanamkan sifat pemaaf dalam diri mereka. Didik anak supaya mudah meminta maaf setiap kali membuat salah. Jadi, anak akan berfikir sebelum melakukan sesuatu yang anda tidak suka.
Jadi, biarlah anda digelar ibu yang garang oleh anak-anak kerana apa yang anda lakukan adalah untuk masa depan mereka. Nanti apabila mereka dewasa, mereka akan menghargainya.
Pertama kali bersua muka dengan tokoh ini jelas terpancar semangat yang luar biasa. Tidak dinafikan sukar mengatur janji dengannya lantaran padat mengemudi tanggungjawab besar sebagai antara pemimpin negara tercinta.
Namun kesederhanaan peribadinya menjadi mudah untuk menjayakan sesi fotografi ini. Ternyata, Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik, 44, punya aura yang tersendiri. Anak kelahiran Johor ini bijak mengatur masa menggalas pentadbiran dan pada masa yang sama tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Biarpun radar hidupnya berubah, suami kepada Dr Hamidah Mat, 42, pensyarah di Kluster Pendidikan dan Sains Sosial Open University Malaysia (OUM) dan bapa buat empat orang anak, Nusaybah, 18, Sumayyah, 16, Rufaydah, 14 dan Mujaddid, 9, tetap meluangkan masa demi kesantunan dan kebahagian keluarganya.
“Saya akui memang ada perubahan yang besar. Dulu kehidupan untuk keluarga dan diri, sekarang kepada rakyat. Memang saya rindu momen untuk hantar anak ke sekolah setiap pagi. Waktu dalam perjalanan nilah, saya akan berbual-bual dengan anak. Kini, waktu ini diganti waktu sarapan pagi. Saya akan pastikan waktu ini ada untuk kami jumpa dan berbual.
“Selain itu, hobi saya menulis dan membaca semakin kurang akibat kekangan masa. Jika dulu boleh dikatakan, satu hari satu buku. Tetapi saya tetap mencari masa untuk minat saya ini. Kini, saya lebih memberi tumpuan membaca laporan kerja untuk negara dan rakyat. Saya bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak memahami dengan amanah ini.
“Ayah bukan milik mereka lagi, sebaliknya milik negara. Saya tidak terkilan korban masa keluarga dan hobi untuk negara. Inilah pergorbanan saya sebagai rakyat Malaysia dalam memperkasakan pendidikan negara,” jelasnya dengan komited ketika ditemui dikediaman rasminya di Putrajaya baru-baru ini.
Cakna membaca
Mengulas lanjut tentang cara didikan yang telah diterapkan dalam membentuk sahsiah diri anak-anaknya, beliau yang digelar sebagai Abati oleh anak-anak menyifatkan amalan membaca adalah asas kecemerlangan.
“Perkara yang saya selalu titipkan kepada anak-anak adalah membaca. Daripada kecil bekalkan buku. Di rumah kami ada mini perpustakaan. Masing-masing ada koleksi buku sendiri dan perpustakaan sendiri. Dulu ketika anak masih kecil saya atau isteri akan bacakan sebelum tidur. Anak-anak sering diberi penekanan supaya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutama bidang bahasa.
“Walaupun saya turut terapkan dalam diri anak tentang nilai-nilai lain seperti bercakap benar, kerjasama dan amanah. Bagaimanapun, anak-anak tetap kena banyak membaca. Itu keutamaan saya. Banyak kajian membuktikan dengan membaca akan membentuk karektor dan sikap individu itu.
“Tidak lupa juga lengkapkan anak-anak dengan ilmu agama sebagai bekalan di dunia dan akhirat. Tambahan pula anak-anak menuntut di sekolah aliran agama. Sedikit sebanyak memberi impak kepada pembentukan sahsiah diri. Di rumah pula, kepentingan agama sebagai panduan hidup sentiasa diperingatkan.
“Misalnya solat berjemaah yang menjadi kemestian kami sekeluarga. Biasanya solat Subuh, Maghrib dan Isyak yang amat penting untuk kesamaan dan disiplin. Dan waktu ni saya ambil peluang untuk memberi tazkirah kepada keluarga mengenai kehidupan seharian.”
Dalam pada itu, mencanai karakter anak-anak hidup berdikari, beliau mendedahkan anak-anak untuk membuat kerja rumah walaupun mempunyai pembantu rumah.
“Menerapkan nilai-nilai positif dalam diri supaya boleh mempersiapkan diri dihari muka, berdikari dan menjadi manusia yang berguna. Anak-anak didik untuk berdikari dengan membasuh pinggan, baju, mengasingkan barang kitar semula. Saya latih semua anak-anak. Saya sendiri pun basuh pinggan. Tidak perlu tunggu orang lain untuk lakukan. Masing-masing ada tanggungjawab. Semoga apa yang mereka pelajari akan memberi manfaat kepada orang lain.
Apabila ditanya bagaimana cara didikan anak lelaki dan anak perempuan, beliau lebih selesa memilih konsep anak sebagai kawan.
“Anak perempuan dan anak lelaki menjadi kawan kepada saya. Mereka manja dengan saya, cuma ada waktunya saya tegas dengan mereka. Biasanya kami akan berbual dan berkongsi cerita walaupun dalam masa yang terhad. Namun pendekatan adalah berbeza mengikut situasi dan keadaan.”
Didik anak buat keputusan sendiri
Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan dirinya seorang yang tidak garang dalam mendidik anak, mendedahkan anak-anaknya dalam membuat keputusan. Baginya cara demikian membantu dalam merangsang minda anak berfikir.
“Saya seorang ayah yang tak garang demi memastikan tidak wujud jurang. Sentiasa memberi anak peluang untuk membuat keputusan sendiri. Ia latih anak menjadi seorang yang berani. Misalnya anak ingin mengikuti perkhemahan sekolah. Saya tak paksa atau menghalang. Saya memang cakap terus atau berkata jangan. Perkataan ‘jangan’ jarang digunakan.
“Saya mendidik mereka untuk membuat penilaian. Apakah keuntungan dan apa kelebihan. Biasanya saya akan beri peluang untuknya berfikir apakah kesan, apa kelebihan, keuntungan atau kerugian. Cara ini latih anak untuk buat keputusan. Jika kata terus , ‘jangan’ kita tidak latih anak untuk berfikir. Kesannya akan membuatkan anak tidak berani membuat keputusan dan menjadi seorang yang tidak kreatif dalam membuat keputusan.
“Selain itu, budaya mesyuarat diwujudkan dalam keluarga kami. Jika hendak pergi bercuti, kami akan mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai lokasi percutian dan sebagainya. Cara ini juga latih anak buat keputusan dan memberi idea sejak kecil.”
Dalam pada itu, kesibukan menguruskan urusan sepanjang hari termasuk perlu ke luar negara, sudah tentu Dr Maszlee memerlukan sokongan daripada keluarganya.
“Secara jujurnya, saya bersyukur mempunyai isteri yang memainkan peranan untuk menguruskan dan mendidik anak. Isteri begitu memahami kesibukan tugas rasmi saya. Paling inspirasi, isteri saya seorang yang penyabar, tidak merungut dan serba boleh dalam menguruskan anak-anak,” ujarnya yang turut dibantu ibunya sendiri dalam pengurusan anak di rumah.
13 tahun sudah berdikari
Mempunyai perwatakan yang tegas dalam melemparkan kata-kata hujahannya, ternyata anak kelima daripada enam beradik ini, merupakan seorang yang telah berdikari sejak usia 13 tahun lagi.
Tidak hairanlah beliau dari keturunan Cina Hakka dan Melayu ini mempunyai keperibadian yang kaya dengan sikap disiplin dan yakin diri. Berkongsi kisah hidupnya, beliau tidak lokek untuk menceritakan kembali nostalgianya sebelum berjaya kini.
“Saya dulu tinggal dengan nenek di Johor Bahru. Apabila arwah atuk dan nenek meninggal saya mula hidup sendiri seawal 13 tahun. Arwah nenek garang dan didik saya disiplin sejak lahir. Arwah nenek meninggal ketika umur saya 12 tahun dan selepas enam bulan arwah atuk pula meninggal.
“Arwah nenek banyak mendidik cara, yes atau no. Banyak bagi arahan tentang boleh dan tidak boleh. Memang bagus caranya, tetapi dari sudut lain, saya takut untuk membuat keputusan. Sejak arwah meninggal, saya mula terdedah membuat keputusan sendiri. Sehinggalah ketika umur 16 tahun saya telah membuat keputusan terbesar dalam hidup bagi memilih jurusan akademik.
“Ketika itu saya menguruskan sendiri termasuk hal kemasukkan sekolah dan kehidupan. Semuanya saya buat keputusan sendiri. Balik kampung, rumah mak ketika cuti sekolah. Ibu bapa saya tidak menghalang keputusan untuk berdikari. Ketika itu saya tumpang tinggal rumah emak saudara dan sempat tinggal di asrama.
“Seterusnya, ketika usia 17 tahun saya dah mula sewa rumah sendiri. Masa nak menduduki SPM, pagi saya berniaga, petang saya belajar. Mak ayah yakin dengan keputusan saya. Setelah mendapat keputusan SPM saya mendapat tajaan biasiswa melanjutkan pelajaran jurusan agama di Jordan. Kehidupan mendapat biasiswa tidak perit semasa usia belasan,” ujarnya mengimbau kenangan zaman persekolahannya.
Beri peluang lebih cemerlang
Terdahulu beliau pernah bergelar pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan di media dikenali sebagai moderator debat dan wacana politik serta pemikir politik Islam sekali gus menjadikan dirinya sebagai figura inspirasi mencakna minda.
Apabila diminta menyentuh mengenai peluang kedua bagi pelajar yang kurang cemerlang terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau menyifatkan kecemerlangan bukan diukur dengan akademik semata namun dengan pelbagai aspek kehidupan yang disulami nilai-nilai murni.
“Jangan menghukum anak dengan keputusan peperiksaan. Mereka tidak sepatutnya dinilai dengan A,B atau 1,2,3. Setiap anak mempunyai kemampuan yang berbeza. Kecemerlangan akademik tidak semestinya menjamin kehidupan sejahtera. Yang paling penting setiap anak dilengkapi dengan nilai-nilai murni dan akhlak yang mulia.
“Mungkin ada anak yang tidak cemerlang akademik tetapi cemerlang dengan kesenian, pertukangan, sukan dan kemahiran lain. Justeru, sebagai ibu bapa jangan sandarkan kepada peperiksaan sahaja. Tetapi hargailah bakat yang mereka ada. Beri peluang untuk mereka asah bakat supaya dapat mengorak langah dengan lebih baik.
“Apa pun, bagi saya dua perkara penting adalah setiap anak mesti ada impian. Melalui pembacaan dapat memberi pendedahan kepada mereka tentang impian mereka. Dan kedua, beri anak peluang untuk mereka berjaya sama ada sekolah sukan atau kemahiran tertentu.
“Saya juga sebagai bapa, sering titipkan kepada anak-anak supaya lakukan yang terbaik dalam apa yang dilakukan dan kecemerlangan tidak semestinya dalam peperiksaan. Kecemerlangan adalah sejauh mana melakukan dengan terbaik,”jelasnya penuh dengan motivasi.
Harapan
Penuh inspirasi, Dr Maszlee inginkan tahap pendidikan negara dinamik,“Harapan saya agarpendidikan negara ini lebih berkualiti dalam melahirkan generasi yang berdisplin, bernilai tinggi, rajin bekerja dan mempunyai kemampuan melahirkan daya potensi semaksimum mungkin.
“Begitu juga, membentuk lebih ramai masyarakat malaysia yang suka membaca. Lantaran itu, tahun 2019 akan dilancarkan kempen Dekat Membaca Malaysia sehingga tahun 2030 yang mensasarkan masyarakat Malaysia membaca bertaraf dunia. Serta dengan harapan universiti di Malaysia diikhtiraf peringkat antarabangsa dan menjadi pilihan dunia untuk melanjutkan pelajaran di sini.”
Apa kata anak sulung
“Ayah seorang yang tidak garang tetapi tegas. Ayah juga seorang yang sporting dan fun! Selalu menyokong bidang yang kami minat. Kami sekeluarga juga selalunya akan berbincang sebelum sesuatu membuat sebarang keputusan.
“Kini, ayah sibuk dengan kerjanya dan kami adik memahami akan komitmennya. Namun, ayah tetap spend time dengan kami misalnya pergi berjogging bersama.”- Nusaybah Maszlee, 18 tahun
Daripada kaca mata isteri
“Dr Maszlee seorang yang mempunyai visi. Sebelum bergelar suami, beliau telah memberitahu saya apa tujuan hidupnya dan kenapa memilih saya sebagai isterinya. Sejak itu, saya rasakan beliau seorang yang ada visi dan berpandangan jauh. Dengan ini, selain memberi sokongan kepadanya, saya menjadi pelengkap apa yang ingin capainya. Saya dan suami mempunyai inspiration direction. Kami rancang dan tempuh dengan penuh hikmah sepanjang perjalanan sebagai suami isteri. Kini, beliau bukan bertanggungjawab kepada keluarga tetapi negara. Kami tidak menerima jawatan itu untuk dimegahkan atau kemewahan. Tetapi dilihat sebagai amanah, tanggungjawab dan kepercayaan.” – Dr Hamidah Mat
5 perkara kena tahu tentang Dr Maszlee
Suka melukis gambar pemandangan dan animasi kartun.
Boleh masak Nasi Arab dan capati.
Baca 700 kali istighfar jika ketandusan idea
Meminati penyanyi Cat Stevens
Satu hari satu buku sebelum menjadi menteri
Sumber: Majalah Keluarga Isu Jan & Feb 2019
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Melalui kehidupan seharian sebagai seorang isteri dan ibu yang berkerjaya diakui bukanlah mudah dan cukup memenatkan.
Biasanya bermula awal pagi bergegas uruskan anak-anak sebelum pergi ke tempat kerja, kemudian sebelum jam 7 petang bertungkus lumus pula sediakan hidangan malam. Manakala sebelum tidur, bukan boleh betehat tapi terpaksa pula melayan karenah anak-anak.
Jika seorang anak, bolehlah kita kata masih mudah diurus, tapi cuba bayangkan anak sudah 5. Si kecil merengek, yang besar bergaduh dan macam-macm hal lagi.
Tapi jangan kita jadikan alasan sibuk mengurus rumah, tak sempat merangsang perkembangan anak dan sekali gus boleh menjadi penyebab anak tidak pandai berdikari.
Sebenarnya, semua aktiviti mengurus rumah juga boleh dikaitkan dengan merangsang perkembangan anak.
Hal ini puan Maryam Jamadi, Occupational Therapist telah berkongsi beberapa tips mengurus rumah sambil merangsang perkembangan anak. Sila hadam tip ini!
SEMASA MEMASAK
1. Basuh beras ?
Masa sebelum basuh beras, boleh bagi anak umur 6 bulan keatas (sudah boleh duduk) untuk ramas-ramas tangan dalam periuk nasi sambil beralaskan surat khabar. 5 minit duduk bersama pun dah cukup dalam sehari. Aktiviti ini bagus untuk merangsang deria sentuhan dan motor halus.
2. Potong sayur dan buah ???
Sambil potong atau basuh sayur dan buah boleh perkenalkan nama sayur pada anak, beri anak rasa bentuk dan tekstur sayur sekali. Bagus untuk meningkatkan kosa kata anak sambil merangsang deria sentuhan. Boleh juga bagi anak rasa dan bau jenis sayur yang boleh dimakan tanpa masak. Contohnya lobak merah, beri anak main sekejap tapi kena perhatikan takut anak tercekik.
3. Basuh ayam atau ikan ?
Tunjukkan ikan yang belum dimasak pada anak sambil sebut nama ikan. Boleh juga beri anak sentuh ikan mentah untuk deria sentuhan. Tapi jangan lupa basuh tangan!
4. Jika anak berminat dengan proses didapur, mak ayah bolehlah masak sambil bercerita. Buat macam chef dalam tv. ?
5. Jika anak ada menunjukkan minat memasak, belikan set dapur mainan untuk anak. Sambil kita memasak, sambil anak memasak juga. Tak kira anak lelaki atau perempuan. ?
MENGURUSKAN PAKAIAN
1. Semasa membasuh baju
Minta tolong anak untuk asingkan baju gelap dan cerah. Selepas itu boleh minta anak tolong masukkan dan keluarkan baju dari mesin basuh. (Mesin basuh jenis “front load”).
2. Semasa menyidai baju dan mengangkat baju
Minta tolong anak untuk sepit-sepit bajunya sendiri di penyidai. Sangkut penyidai sepit di pagar dahulu, sama tinggi dengan anak. Sama juga bila mengangkat baju. Boleh latih bila anak sudah pandai menerima arahan. Bagus untuk deria sendi. Boleh juga tolak bakul bersama-sama anak.
SEMASA MENGEMAS
1. Menyapu
Latih anak untuk mengemas mainan sendiri, kutip segala sampah yang boleh dikutip.
Mak cuma perlu memantau sahaja ala-ala “queen”. Nampak macam buli anak, tapi aktiviti ini bagus untuk skil motor halus. Belikan penyapu kecil, latih anak untuk menyapu sampah.
2. Menyusun barang
Sambil susun barang, sambil latih dimana barang-barang sepatutnya diletak. Boleh juga, mak jadi ala-ala “queen”, hanya tanya mana barang sekian-sekian dan minta anak cari untuk anak bawah 2 tahun. Bagus untuk merangsang deria penglihatan dan fokus anak. Jadikan aktiviti ini seperti “game” walaupun dalam hati “senang kerja aku tak payah mengutip”. ?
Banyak sebenarnya yang kita boleh kaitkan mengurus rumah sambil melatih anak berdikari. Ikut kreativiti kita sahaja. Anak gembira sebab dapat ikut mak buat kerja, mak pun senang hati bila lama-lama kerja jadi mudah. Dalam melatih anak pula, bukan sehari dua tangan mereka sudah cekap. Perlukan kesabaran yang tinggi, sentiasa beri semangat supaya mereka tak putus asa.
Selamat mengemas sambil bermain dengan anak. Semoga bermanfaat, terima kasih.
sumber : Maryam Jamadi
Occupational Therapist / Terapis Cara Kerja
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Setiap pasangan yang berkahwin tentunya inginkan kehidupan yang bahagia. Malah jika pasangan saling bantu membantu, pasti lebih bahagia.
Isteri nak membebel atau merungut pun susah kan. Begitulah perkongsian oleh Muhammad Hassan mengenai pentingnya sikap saling kerjasama dalam rumahtangga.
saya kata jarang sangatlah. Dalam tahun ini boleh kira berapa patah dia bebel.
Lalu kawan saya ini minta nasihat bagaimana untuk kurangkan wife dia membebel dan merungut.
Saya bagi 2 tips:
1. Bagi dia tidur kau jaga anak-anak. Bila dia tidur,mulut dia akan tertutup.
2. Ajak dia pergi makan kau jaga anak. Apabila dia sedang mengunyah dia takkan membebel.
Ada tambahan lagi tak matt? kawan saya tanya.
Ada…Jawab saya.
Ini kau kena buat betul betul.(Muka saya serius)
Kau jangan buat kepala otak dia berserabut. Biasanya wife bebel ini sebab rumah bersepah,pinggan mangkuk penuh singki,kau suka melepak sehingga larut malam,kau tak kemas tempat tidur dan kau biarkan isteri kau buat rutin yang sama setiap hari.
Dan paling teruk,jika kau ada di rumah, isteri dan anak anak tidak merasa keberadaan kau.
Saya berhenti sekejap hirup kopi panas. Dan sambung semula.
Dua tips diatas nampak agak kelakar,tapi cukup besar bagi mereka yang perlu masa untuk rehat,perlu masa untuk makan dan minum dengan tenang.
Jadi keluarkan sekejap isteri kau dari toksik keserabutan itu.Tunaikan nafakah semampu mungkin,jadi imam solat fardhu dan solat sunat. Bawa pergi cuti walaupun ke rumah mentua,bagi dia layan me time silang panggung.
Buat kerja rumah bersama,kemas tempat tidur kau,kemas apa yang patut kat rumah,sebelum tidur sental tandas,susun pinggan di rak.
Nanti kau akan tengok hasilnya nanti sebagaimana aku dapat kira berapa patah perkataan dalam setahun jika wife membebel atau merungut.
Dan bukan mulutnya membebel lagi,bahkan ucap terima kasih yang dah lama kau tak dengar.
Fikir fikirkan semoga dapat beramal.
-EncikMatt-
#LelakiBurQa
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Gelagat anak-anak yang sedang membesar sememangnya cukup menghiburkan dalam apa jua perkara. Malah ketika di dalam solat pun, gelagat anak-anak memang menghiburkan.