Dulu Diejek Sumbing, Senget & Sengau, Kini Nora Mahu Beri Inspirasi Pada Kanak-Kanak Alami Lelangit Rekah & Mulut Sumbing

Share

Ketika kecil dia sering diejek sumbing, senget dan sengau. Semuanya kerana dia dilahirkan sebegitu. Hasnoradiah Abu Hassan yang mengalami masalah lelangit rekah dan mulut sumbing.

Tidak mahu nasib yang sama dialami oleh pesakit lelangit rekah dan mulut sumbing membuatkan wanita berusia 55 tahun ini menghasilkan sebuah buku bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan masalah kecacatan muka tersebut.

“Segelintir masyarakat tahu perkara yang dipanggil cleft lip and palate ini (lelangit rekah dan mulut sumbing). Tetapi mungkin tidak ada sebarang kesedaran terhadapnya.

“Niat saya bercerita mengenai kisah hidup dalam buku yang dihasilkan ini adalah untuk memberi inspirasi kepada mereka yang mengalami masalah yang sama seperti saya. Saya mahu masyarakat peka terhadap masalah sumbing mulut ini, ” terangnya yang mesra disapa dengan panggilan Nora.

Pembedahan pertama usia 3 bulan
Bagi memastikan mulut dan hidungnya seperti sekarang, Nora perlu melakukan hampir 10 pembedahan.

“Seawal usia tiga bulan saya telah melakukan pembedahan pertama. Bagi kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan sebegini, bukan satu pembedahan sahaja sudah cukup. Masih banyak lagi proses pembedahan yang perlu dilakukan. Tidak mudah untuk membetulkan hidung dan mulut saya.

“Bila dilahirkan dengan lelangit rekah, ia memberi kesan pada muka. Hidung dan mulut saya tidak dilahirkan sempurna. Ia memberi kesan pada percakapan kerana lelangit pecah. Jadi sebelum pembedahan berlaku apabila bercakap, suara saya akan nyata sengau,” kata Nora tentang dirinya.

Sejak kecil diejek

Dilahirkan sebegini rupa, banyak perkara telah mengusik jiwanya. Sejak kecil dia sering diejek.

“Saya merana dalaman. Saya memang telah menjangkakan perkara sebegitu akan berlaku pada diri saya. Sering diejek dan dibuli ketika saya sekolah rendah sehinggalah saya berumur 17 tahun. Di sekolah, mereka akan panggil nama-nama tidak elok pada saya. Sumbing, senget dan sengau. Itulah nama saya yang mereka panggil. Diejek juga telah menyebabkan saya hilang keyakinan dalam diri.

“Ketika umur 30-an, saya berhenti melakukan pembedahan. Saya langsung tidak bercerita tentang masalah sumbing saya ini kerana terlalu malu. Kenapa saya malu?Sebab masa kecil kita telah diejek dengan pelbagai nama. Saya tiada keyakinan diri.

“Pada mulanya saya sendiri tidak boleh terima keadaan ini pada diri saya. Saya tertanya-tanya kenapa diri saya dilahirkan begini. Hanya beberapa tahun yang lepas barulah saya terima kenyataan bahawa inilah Allah hendak beri pada saya. Saya terima dengan hati yang terbuka.

“Setelah saya menerima keadaan diri ini, barulah saya terfikir, apa yang saya boleh lakukan? Saya mula berfikir-fikir untuk bercerita dan menulis buku tentang diri saya. Salah satu sebab sya ingin menulis buku kerana merasakan dalam masyarakat Malaysia ini tidak ada orang yang bercerita mengenai struggle dan accept mereka yang dilahirkan dengan kecacatan muka ini,” ujarnya lagi dan hasil peratusan jualan buku bertajuk Born To Smile itu akan disumbangkan kepada Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) serta Kiwanis Malaysia.

Mahu beri inspirasi
Bersandarkan kepada pengalaman hidup sebagai pesakit lelangit rekah dan mulut sumbing, mantan Presiden Kelab Kiwanis Ampang Jaya, Selangor ini mahu memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah yang sama.

“Saya tahu bagaimana keadaan mereka apabila diejek. Saya tahu sebab saya merasa. Insya Allah dengan keizinan Allah, saya harap cerita saya akan memberi semangat kepada kanak-kanak yang dilahirkan begini dan kepada kanak-kanak yang ada perasaan rendah diri.

“Banyak orang dalam dunia ini ada perasaan rendah diri. Saya hendak beritahu bahawa kita tidak perlu rasa rendah diri kerana kita ada cara-cara untuk overcome perasaan rendah diri itu. Perasaan rendah diri itu adalah masalah utama untuk kita pergi ke hadapan.

“Jadi sekarang ini saya tidak mahu bersembunyi lagi. Saya tidak mahu menyorok di belakang kejadian saya dilahirkan begini. Tetapi saya mahu menggunakan kisah saya untuk memberi inspirasi,” kataya dengan penuh semangat.

Beban bahu ringan
Setelah tidak menyorok mengenai keadaan dirinya, Nora merasakan seperti beban di bahunya telah ringan.

“Mungkin apabila saya berjumpa dengan orang mereka lihat wajah saya setelah disolek. Apabila solekan dibuang mereka akan nampak wajah asal saya. Apa perasaan mereka setelah melihat wajah asal saya?

“Saya juga mahu orang suka saya sebab apa ada dalam hati bukannya sebab apa yang saya tunjukkan di luar. Saya sedar masyarakat sekarang ini akan lihat luaran. Jika kita cantik, apa yang boleh kita berikan kepada mereka? Apa status dan kedudukan kita? Saya tidak mahu ada perasaan sebegitu lagi.

“Kalau ada orang nak kata kenapa muka saya begini. Saya tidak mahu ada tanda tanya. Jika kamu suka pada saya, ini adalah saya. Saya tidak malu untuk menyatakan sekarang bahawa saya dilahirkan begini.

“Tetapi saya mahu menggunakan cerita saya sebagai satu harapan dan inspirasi kepada kanak-kanak yang dilahirkan begini. Kadang-kadang kita tidak tahu mengapa Allah berikan cabaran. Tetapi setiap cabaran ada hikmah di sebaliknya. Ini cabaran saya,” ujar nenek kepada seorang cucu ini mengakhiri perbualan.