“Dulu Besarkan Kami 8 Orang, Tak Ada Duit Nak Buat Rumah.” Hargai Pengorbanan, Ajak Buat Rumah Untuk Ayah!

Share

Pengorbanan ibu bapa dalam membesar dan mendidik anak-anak hingga dewasa tidak mampu dibalas dengan wang ringgit. Justeru, sebagai anak kena selalu ingat dan menghargai setiap keringat dan penat lelah orang tua mereka.

Bagi pelakon dan pelawak terkenal, Ajak berkongsi rasa teruja apabila hasratnya untuk menghadiahkan rumah buat bapanya hampir menjadi kenyataan.

Dalam satu perkongsian, Ajak memuat naik gambar dia melawat ke tapak pembinaan rumah baharu bapanya, Razak Pakon di Kluang, Johor.

Dalam perkongsian tersebut, Ajak memberitahu rumah tersebut dibina khas demi untuk bapanya yang ingin memiliki kediaman sendiri selepas berpencen.

Biarpun rumah setingkat yang memiliki tiga bilik tidur itu masih dalam pembinaan namun, ianya sudah hampir siap.

“Alhamdulillah dah nak siap dah rumah. Dah lama dah abah saya ni nak ada rumah sendiri. Kesian dia, dulu nak besarkan kiteorang lapan orang, tak ada duit nak buat rumah.

“Dah pencen baru ada duit…Allah hai…Sekarang ni kita tunggu rumah pencen siap,” katanya terharu.

Lebih menarik lagi, menerusi video tersebut Ajak turut membuat ‘tour’ sekeliling rumah yang berlatar belakangkan pemandangan indah dari Gunung Lambak.

“Tak tergambar dengan kata-kata, happy rasanya. Kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan Abah dan emak membesarkan kami lapan beradik memang tak ada.

“Semoga Abah gembira ada rumah sendiri,” katanya kepada Gempak.

Tambah Ajak lagi, dia berharap agar kediaman tersebut dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini.

“Insya-Allah kalau tak ada aral melintang saya harap Abah dapat duduk di rumah baru sebelum tahun hadapan.

“Apa pun saya berterima kasih kepada tukang rumah yang bertungkus lumus menyiapkan kerja mereka dengan baik dan kemas,” katanya.

Ramai yang memberi reaksi pada perkongsian tersebut. Menurut mereka, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat ibu dan bapa sendiri gembira.

Malah ramai mengharapkan semoga segalanya berjalan lancar selain  mendoakan ayah Ajak diberikan  kesihatan yang baik.

Sumber: Astro Gempak