Ibu bapa mana yang tak gembira dan bangga bila mana anak yang dididik dan dibesarkan kini sudah mencapai kejayaan. Terasa berbaloi segala pengorbanan yang dicurahkan selama ini baik tenaga, masa mahupun wang ringgit.
Manakala si anak pula bahagia melihat wajah gembira ibu bapa atas kejayaan mereka kecapi. Itulah yang ingin dikongsikan oleh saudara Aiman Hamizan di twitternya baru-baru ini.
Menceritakan kisah sebenar, Aiman berkata, video berkenaan dirakam selepas dia menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Pemasaran ketika majlis konvokesyen di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Shah Alam, Selangor,
Dia memuat naik satu video yang mengundang sebak apabila ayahnya menyuarakan hasrat untuk memakai jubah konvokesyennya. Walaupun video tersebut memperlihatkan bapanya tersenyum disamping memakai jubah serta topi konvokesyen, rata-rata warganet mengakui sebak dengan situasi itu.
“Selain ibu, abah sangat teruja untuk menghadiri majlis konvokesyen saya kerana sudah lama dia menanti saat untuk melihat saya naik ke pentas dan menerima skrol.
“Namun, abah datang sedikit lewat semalam dan selepas majlis konvokesyen selesai, kami sekeluarga berkumpul di luar dewan untuk mengambil gambar bersama.
“Ketika itulah, abah meminta izin untuk memakai jubah dan topi mortar dengan alasan tidak pernah menggayakannya.
“Kata-kata abah itu membuatkan saya tersentuh hingga terus menyarungkan jubah serta topi mortar di kepalanya.
“Saya sempat mengambil gambar dan merakam videonya memakai persalinan itu, tetapi terkejut apabila banyak komen diterima tidak lama selepas memuat naiknya di Twitter,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Aiman, rata-rata komen diterimanya positif dan dia berharap supaya perkongsian itu memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menghargai ibu bapa mereka selagi ada.
“Abah pernah menyambung pengajian di London satu ketika dulu, tetapi tidak berpeluang menghadiri majlis konvokesyen kerana masalah kewangan.
“Lagipun, abah anak sulung dalam keluarga jadi dia terpaksa lupakan hasrat untuk ke majlis konvokesyen demi keperluan adik beradik lain.
“Kini, giliran saya bergelar graduan, jadi inilah masanya saya menggembirakan abah dengan memenuhi permintaannya (memakai jubah dan topi mortar).
“Sekurang-kurangnya, saya dapat melaksanakan salah satu impiannya yang dulu tidak kesampaian,” katanya.
Aiman yang juga graduan dari kolej KDU ini telah memuat naik video tersebut petang tadi dan sehingga kini telah menjangkau lebih 12 ribu RT di laman Twitter miliknya.
Menerusi posting yang dibuat Aiman itu, ramai warganet telah menurunkan komen yang pelbagai di muat naik tersebut.
Rata-rata daripada mereka mengakui sebak melihat telatah bapa pemuda itu dan ada juga yang berkongsi situasi sama seperti dihadapi Aiman semasa bergraduasi.
Sumber: Harian Metro