Dulu Baju Raya Isteri Pun Ibu Beli. Pemuda Ini Nekad Tebus Semua Emas Yang Pernah Ibu Gadai, Bangkit Dari Kegagalan

Share

Naluri seorang ibu terhadap anaknya sememangnya sangat kuat. Soroklah macam mana sekali pun, ibu pasti akan dapat menghidu lebih-lebih lagi jika anak dalam kesusahan. 

Sesukar apa pun, seorang ibu pasti akan berusaha untuk membantu anaknya. Takkan pernah membiarkan anaknya menanggung kesusahan seorang diri. 

Tular di laman TikTok, seorang pemuda telah berkongsikan kisahnya yang diduga akibat perniagaan yang jatuh menjunam. Namun berkat pertolongan serta doa daripada ibunya membuatkan beliau bangkit dari kegagalan lalu. 

Berkongsi kisah kejayaannya di laman TikTok, pemuda ini mengakui pernah menjadi anak yang paling menyusahkan ibunya.

“Tahun lepas aku jadi anak lelaki yang paling menyusahkan mak aku.

“Aku paling banyak pinjam duit sampaikan mak gadai semua emas dia untuk tolong aku.

“Aku janji nak bayar sikit-sikit tapi sampai sekarang tak bayar langsung,” luahnya.

“Bukan itu sahaja, baju raya untuk isterinya juga diberikan oleh si ibu meskipun dia tidak menceritakan kesusahan.

“Tahun lepas nak beli baju raya bini pun mak aku yang hulur duit. 

“Betullah naluri seorang ibu, kalau kita susah macam manapun dia boleh tahu… sembunyilah macam mana pun, mak mesti tahu kau tengah susah,” katanya lagi.

Namun tidak disangka, berkat doa ibunya, pemuda yang bernama Hanif ini, kini berjaya bangkit dalam perniagaan sehingga mampu menebus semula setiap barang kemas ibunya yang pernah digadaikan.

“Tahun ni Alhamdulillah, atas kurniaan rezeki. Hidup aku ni dah tak ada lagi kejayaan yang palsu, semuanya berkat doa seorang ibu.

“Hari ini aku nak hadiahkan semula emas yang pernah tergadai sebelum ni.

Ada rantai tangan besar ni, rantai tangan kedua… dua bentuk cincin, sepasang subang dan rantai tangan yang ketiga.

“Walaupun bagi mak aku nilai ni kecil saja, tapi bagi aku nilai dia sangat besar sebab aku berjaya bayar balik hutang. Ramai sangat orang berani berhutang tapi tak pandai bayar,” tambahnya.

Menerusi video berdurasi 3.31 saat itu juga, Hanif mengambil kesempatan memulangkan semula barang kemas berkenaan kepada ibunya sekali gus membuatkan suasana hari raya bertukar pilu.

Ibunya yang kelihatan terkejut kemudian memeluk dan menciumnya semula sambil memberi kata-kata semangat dan perangsang untuknya lebih berjaya.

 

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club