
Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar simbol kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga waktu untuk memperkukuh ikatan kekeluargaan.
Sempena Syawal, Majalah Keluarga bertuah diberi peluang untuk menghadiri jemputan khas dan temu bual eksklusif bersama seorang tokoh penting di Dewan Rakyat iaitu YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul.
Kesempatan istimewa ini membolehkan kami menyelami kisah peribadi serta pengalaman beliau dalam mengimbangi tanggungjawab negara dan keluarga ketika menyambut Syawal.
Menurut Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul, Aidilfitri lebih kepada nilai kebersamaan dan kesederhanaan berbanding kemewahan atau persiapan yang berlebihan. Beliau menekankan bahawa sambutan yang sederhana tetapi memberi momen kegembiraan dapat dirasai oleh semua ahli keluarga.
Namun pada masa yang sama, bergelar Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Syawal membawa makna yang lebih mendalam di antara tuntutan tugas sebagai pemimpin negara dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Cakna dengan tanggungjawab yang diamahakan, tokoh ini tetap berusaha menyeimbangkan kedua-duanya demi memastikan Hari Raya disambut dengan penuh kesyukuran dan kebersamaan.
“Sebagai seorang pemimpin, saya mempunyai tanggungjawab rasmi yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Hari pertama Aidilfitri biasanya dimulakan dengan solat sunat Hari Raya bersama pemimpin negara, diikuti dengan majlis jamuan rasmi yang diadakan.
“Saya akan mengiringi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri serta menghadiri beberapa urusan rasmi.
Meskipun jadual padat, setiap detik bersama keluarga tetap dihargai. Syawal bukan sekadar tentang perayaan, tetapi tentang menghargai mereka yang tersayang serta menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab.
“Selepas itu, saya akan meluangkan masa bersama dengan 8 orang anak-anak, 6 orang menantudan 13 orang cucu tercinta. InsyaAllah, pada Hari Raya pertama tahun ini, anakanak dan cucu-cucu akan pulang untuk bersama-sama meraikan Syawal,” ujarnya dengan senyuman mesra.
Kepulangan Anak-Anak Bukan Satu Kewajipan

Bagi Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul, kepulangan anak-anak dan cucu-cucu ke Kuala Lumpur semasa Hari Raya bukanlah sesuatu yang wajib. Anak-anaknya menetap di pelbagai negeri seperti Johor, Pahang, Kedah, Pulau Pinang, dan ada juga yang berada di luar negara. Oleh itu, kepulangan mereka bergantung kepada kelapangan dan komitmen masing-masing.
“Anak-anak saya tinggal di Johor, Pahang, Kedah, Pulau Pinang, dan ada juga yang di luar negara. Tidak mudah untuk semua dapat berkumpul sekali pada pagi raya. Bagi saya, bukan suatu kewajipan untuk semua anak-anak pulang beraya pada hari pertama. Masing-masing ada komitmen sendiri dan akan beraya bergilir antara rumah mertua dan rumah saya. Tapi pada tahun ini, kesemua anak-anak, pasangan dan cucu-cucu saya akan berada di Kuala Lumpur untuk bersama pada hari raya pertama.”
Sebagai seorang bapa, beliau memahami bahawa anak-anaknya juga sibuk dengan urusan kehidupan dan tanggungjawab sendiri. Jika mereka berkesempatan untuk pulang beraya bersama, ia dianggap sebagai satu rezeki yang amat disyukuri. Namun, jika tidak, beliau tidak pernah kecewa kerana sedar bahawa mereka juga mempunyai kehidupan masing-masing.
Sambutan Syawal Sederhana, Tiada Pakaian Sedondon Satu Keluarga
Menurut anak kelahiran Kedah ini, sambutan Aidilfitri tidak perlu berlebihan atau terlalu mewah. Lazimnya sambutan hari raya dirai secara sederhana. Malah, kuih raya biasanya dibawa oleh anak-anak, sementara hidangan utama seperti lemang dan masak lodeh tetap tersedia sebagai juadah kegemaran keluarga.
“Makanan seperti lemang dan masak lodeh, menu kegemaran saya yang dimasak oleh ibu mertua saya. Beliau pakar dalam menyediakan masakan ini, dan InsyaAllah akan beraya bersama kami di sini.”
Apabila ditanya mengenai pakaian sedondon, beliau menegaskan bahawa konsep begitu bukan satu keutamaan dalam keluarganya. Sejak dahulu, tidak pernah merancang untuk memakai pakaian tema warna yang sama.
“Dari segi pakaian pula, tiada perancangan untuk pakaian sedondon satu keluarga. Sejak dulu, keluarga kami tidak pernah merancang tema warna. Kami memakai apa sahaja yang ada ‘multi colour’,” ujar beliau yang mementingkan kesederhanaan meraikan Syawal.
Duit Raya Bukan Tradisi Wajib, Hadiah Lebih Bermakna
Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai pemberian duit raya, Tan Sri Dato’ Dr. Johari memberitahu bahawa pemberian duit raya bukan satu amalan yang wajib bagi keluarganya. Sebaliknya, beliau lebih suka memberikan hadiah kepada cucu-cucu berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang akademik, sukan, atau aktiviti lain seperti debat.
Menurutnya, pemberian hadiah berdasarkan usaha dan pencapaian lebih bermakna kerana dapat menjadi motivasi untuk mereka terus berusaha. Beliau juga berpandangan bahawa kanak kanak yang mempunyai banyak duit raya beliau nasihatkan untuk menabung dan jangan dibelanjakan untuk perkara yang kurang bermanfaat.
Pendapat saya ini agak berbeza dengan masyarakat umum. Dalam keluarga kami, duit raya bukanlah satu amalan wajib.
“Saya lebih gemar memberi hadiah kepada cucu-cucu berdasarkan pencapaian mereka dalam akademik, sukan, atau aktiviti lain seperti debat. Dengan cara ini, mereka akan lebih bermotivasi untuk berusaha.”
“Justeru, saya sering nasihatkan kepada anak cucu supaya simpan dalam bank untuk pendidikan masing-masing. Sebab itu, saya percaya ganjaran dalam bentuk hadiah lebih bermakna dan mendidik mereka tentang kepentingan usaha.”
“Asal-usul duit raya sebenarnya adalah sebagai ganjaran bagi mereka yang berjaya menunaikan ibadah puasa.” ujarnya.
Kenangan Raya & Kebersamaan Keluarga
Setiap daripada kita pasti mempunyai kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika menyambut Hari Raya. Begitu juga dirinya pernah melalui pengalaman beraya seorang diri tanpa keluarga akibat tuntutan kerja. Walaupun peristiwa itu telah berlalu puluhan tahun, namun kenangan tersebut tetap segar di ingatan hingga ke hari ini.
“Salah satu momen paling sayu ialah ketika beraya seorang diri di Los Angeles kerana isteri dan anak-anak pulang ke Malaysia. Perasaan sedih itu masih segar di ingatan, namun ia sudah menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup yang berharga selepas puluhan tahun berlalu.”
Namun, kata beliau tidak dinafikan setiap tahun juga membawa kegembiraan tersendiri. Anak-anak dan cucu-cucu sentiasa menceriakan suasana dengan pelbagai telatah mereka. Kemeriahan bertambah apabila cucu semakin ramai, menjadikan setiap Syawal berbeza tetapi tetap bermakna.
Tiada yang lebih membahagiakan selain dapat berkumpul bersama keluarga, berkongsi gelak tawa, dan menikmati suasana penuh kasih sayang.
“Dengan keluarga yang besar dan cucu yang ramai, setiap waktu makan menjadi lebih meriah penuh dengan keletah cucu yang ramai. Anak-anak akan membawa pebagai kuih raya dah macam ‘potluck’, di mana setiap anak membawa juadah masing-masing untuk dinikmati bersama,” ujarnya.
Aidilfitri Tidak Perlu Berlebihan

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau memberikan pesanan agar ibu bapa mengawasi anak-anak bermain mercun dan menjaga keselamatan keluarga ketika pulang ke kampung. Selain itu, beliau juga mengingatkan bahawa dalam kegembiraan menyambut Syawal, penting untuk mengurus kewangan dengan bijak.
“Raya tetap akan tiba setiap tahun, dan selepas Syawal, kita akan menghadapi Aidiladha pula. Jika ada rezeki lebih, lebih baik ia disimpan untuk perkara yang lebih penting, bukan dihabiskan dalam sehari,” tegasnya.
Beliau mengakhiri perbualan dengan mengucapkan Semoga Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia dan semoga Syawal kali ini membawa kebahagiaan buat semua, walau di mana pun berada.
YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul mendirikan rumah tangga bersama Ybhg. Puan Sri Datin Noraini binti Mohd dan dikurniakan lapan cahaya mata. Kehidupan mereka semakin bermakna dengan kehadiran 6 orang menantu dan 13 orang cucuyang menjadi penyeri keluarga besar Tan Sri.
Sebagai seorang bapa, beliau amat menitikberatkan pendidikan dan nilai kekeluargaan dalam membesarkan anak-anak. Usaha dan didikannya membuahkan hasil apabila enam daripada mereka berjaya dalam bidang perubatan dan bergelar doktor, manakala dua lagi memilih untuk menceburi dunia perniagaan.