Untitled design (60)

Dapat memiliki kabinet dapur yang lengkap di rumah adalah antara satu kegembiraan besar buat semua wanita bergelar isteri.

Apa lagi kabinet ini dipasang sebaik memasuki rumah baru. Rasa hari lebih lengkap dan sempurna. Satu kejayaan besar buat diri sendiri.

Maklum sahaja hendak memasangnya bukan hanya perlukan keinginan semata-mata tetapi memerlukan kos yang tinggi.


Kabinet dengan material biasa-biasa sahaja paling kurang menelan belanja 5 ribu dan ke atas, inikan pula lengkap dengan segala fungsi serta menggunakan material yang tahan lasak. Tidak hairanlah ada kabinet yang dipasang dengan harga berpuluh ribu.

Kalau begini harganya, dapur pastinya menjadi ruang yang cukup disayangi. Perlu dijaga sebaiknya supaya ia kekal lebih lama. Soalnya bagaimana?

Sebenarnya tidak sukar menjaga permukaan kayu kabinet dapur kita. Anda patut cuba dua cara ini. Mudah sahaja!


Cuka + Air
Guna dua bahan ini yang cukup murah dan mudah untuk jaga kabinet kita. Campurkan sedikit cuka ke dalam air dan kacau hingga sebati. Kemudian ambil kain atau tuala pengelap dan mulakan menyental seluruh permukaan kayu kabinet dapur. Sental lebih sikit pada permukaan yang kehitaman. Biarkan kering. Lakukan cara ini setiap kali kabinet nampak kotor.


Sapu Minyak Zaitun
Selain menyental dengan cuka, cara lain untuk memastikan kabinet terjaga dengan cantik adalah dengan cara menyapukan minyak zaitun pada permukaan kayu kabinet dapur.

Selepas pembersihan menggunakan cuka dan air, biarkan kering sebentar kemudian sapukan sedikit minyak zaitun di seluruh permukaannya. Hasilnya kayu akan lebih berkilat dan terlindung daripada dimamah usia. Insyaallah kayu kabinet akan tahan lama. Lakukan proses ini setiap 6 bulan sekali.


Tip Lindungi Kabinet Dapur

1. Apabila terdapat kesan resapan air di ruang kabinet terutama bahagian sinki, ini menandakan silikon yang digunakan sebagai penebat air sudah terbuka atau rosak. Cepat-cepat perbaiki sebelum merebak permukaan hadapan kabinet.


2. Cahaya matahari yang berlebih-lebihan pada kabinet kayu juga kurang sesuai. Sifat kayu yang bertindak balas dengan kepanasan buat kabinet akan terjejas. Jadi perlu langsir dan kesan cahaya yang minima, kabinet pasti tahan lama.

3. Kesan minyak tumisan daripada proses memasak juga sangat meninggalkan kesan pada kabinet dapur. Jika tak pasang hud perangkap minyak, sentiasalah bersihkan permukaan kayu yang terkena minyak. Kesan minyak yang melekat lama kelamaan akan menebal dan meninggalkan kesan pada tekstur kayu.

4. Suhu dan kelembapan juga banyak mainkan peranan pada kabinet dapur kayu. Keadaan kering dan kepanasan suhu akan menyebabkan kayu mengecut kerana kekurangan kelembapan. Sebaliknya jika terlebih lembap, kayu akan mengembang, retak dan merekah.