Pagi tadi kita dikejutkan dengan kes kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di Kampung Simpang Tiga, Gombak. Kebakaran itu sememangnya begitu menyedihkan apabila dua kanak-kanak yang juga adik beradik rentung dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi.
Difahamkan mangsa terperangkap di dalam rumah sewa itu selepas jeriji rumah mereka berkunci kerana ibu dan bapa keluar kira-kira jam 3.00 pagi.
Terakhir jumpa minggu lalu sebelum kejadian
Memetik laporan dari Harian Metro, datuk mangsa, Lokman Marni, 53 memaklumkan yang sambutan hari lahirnya pada minggu lalu adalah pertemuan terakhir bersama dua orang cucunya iaitu Syaza Alfisya Muhammad Fauzan, 10 dan adiknya Muhammad Al Qayyum Muhammad Fauzan, 7.
Ujarnya, mangsa dan keluarga telah pulang ke kampung di Sungai Besar pada 26 Disember yang lalu dan ternyata ia adalah pertemuan terakhir mereka.
“Saya jumpa cucu sulung dan adiknya minggu lalu, ketika mereka sekeluarga balik ke kampung meraikan hari lahir ke-53 saya dan tak sangka itu kali terakhir bertemu,” katanya.
Menurut Lokman lagi, dia hanya mengetahui berkenaan kebakaran tersebut apabila mendapati dua panggilan tidak berangkat kira-kira jam 4 pagi.
“Saya difahamkan anak dan menantu saya keluar makan sekitar 3 pagi kerana kelaparan.
“Anak saya dihubungi jiran yang memaklumkan rumah mereka terbakar. Sejurus itu, anak saya tiba tetapi kawasan rumah tidak dapat didekati berikutan bomba sedang memadamkan sisa kebakaran,”katanya.
Anak hamil 8 bulan dibawa ke hospital
Dalam pada itu, pemandu agensi kerajaan itu menyatakan yang anaknya yang hamil 8 bulan telah berada di lokasi kejadian namun pihak bomba tidak membenarkan untuk mendekati.
Dia juga telah dibawa ke Hospital Selayang dengan segera selepas terpijak kaca bagi merawat luka dan pemeriksaan kandungan.
“Menurut anak saya, arwah kakak berdekatan almari baju dan adiknya di sebelah katil dalam bilik utama,” katanya.
Lokman juga dilihat tidak dapat menahan tangis apabila kehilangan kedua-dua orang cucunya sewaktu mereka semua menanti kehadiran orang baru sekitar sebulan lagi.
Jiran tak tahu ada orang di rumah
Jiran mangsa dikenali sebagai Rahmat Razali, 33, mengatakan yang dia tidak mengetahui ada orang di dalam rumah terbabit selepas menyedari kebakaran yang berlaku.
Dia dan beberapa jiran telah mengalihkan kenderaan dan benar-benar tidak tahu ada mangsa di dalam rumah sebelum diberitahu bahawa ibu dan bapa kanak-kanak tersebut tiada di rumah sewaktu kejadian.
“Pada ketika itu, api sedang marak dan kami jiran-jiran dan anggota bomba bantu padamkan kebakaran.
“Saya cuba memanggil orang yang ada dalam rumah tetapi tiada sahutan, pintu depan pula bermangga. Saya ingatkan tiada orang, tetapi kemudian ada jiran maklumkan ada dua kanak-kanak dan ibu bapa mereka tiada,” katanya.
Sumber: Harian Metro