Penyediaan hidangan secara selamat adalah penting untuk memastikan keluarga tidak terdedah dengan bahaya bakteria yang boleh mengakibatkan keracunan makanan.
Begitu juga kepada yang selesa memasak pada kuantiti yang banyak untuk dijadikan stok dan dibekukan. Ada teknik dan cara yang disarankan oleh doktor ini untuk kekal selamat.
Ini perkongsiannya.
“Saya sibuk doktor, jadi saya beli barang mentah sebulan sekali. Saya rasa sebab tu saya selalu kena sakit perut”
Sebenarnya, jika caranya betul, tak salah pun nak simpan barang mentah basah seperti daging, ayam, udang, sotong selama sebulan dalam freezer.
Bahan mentah yang nak simpan di dalam freezer kena dibersihkan, lepas tu dipotong dan disimpan dalam bekas kedap udara, ikut catuan sekali masak. Nak masak nanti, tinggal keluarkan satu bekas. Mudah.
Tapi, jangan curi-curi pakai Tupperware kesayangan mak kalian, nanti mengamuk orang tua tu, dah tak jadi mudah kalau gitu. Jadi makin susah pula. Hehe.
Selain mudah, simpan ikut catuan kecil dapat elak beku dan cairkan bahan mentah berulangkali. Ini dapat elakkan kontaminasi. Lagi-lagi kalau kau nyahbeku dengan cara rendam dalam bekas berisi air.
Habis, cara nyahbeku bahan mentah yang betul macam mana? Camni:
◾Meletak bahan mentah di bawah air mengalir. Tak usah rendam dan tinggal.
◾Pindahkan bahan mentah dari ruang sejuk beku ke ruang chiller semalaman.
◾ Gunakan fungsi “defrost” pada microwave. Cara ini paling mudah dan cepat.
Kalau tak nyahbeku dengan betul, ais pada bahan mentah tidak cair sepenuhnya. Nanti bila kalian masak, bahagian yang ada ais tu, hidup balik. Hahaha. Tak lah! Nanti dekat situ bakteria membiak, dan boleh jadi punca keracunan makanan.
Jika boleh, makanlah makanan masak segar. Jika tak boleh, pastikan cara beku dan nyahbeku adalah selamat! Semoga bermanfaat!
Sumber : Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan