Melihat derita yang dilalui oleh pesakit kanser, memang sukar untuk diungkapkan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Pun begitu, bila dilihat dari sisi semangat yang mereka ada, jujur terbukti mereka ini cukup luar biasa. Hakikatnya, bukan calang-calang orang mampu diuji sedemikian.
Menyentuh tentang makna sembuh sepenuhnya bagi pesakit kanser, ayuh kita fahami perkongsian yang diberikan oleh Dr. Rushdan Noor ini melalui akaun fbnya. Jom semak
MAKSUD “KANSER SEMBUH SEPENUHNYA”
Semua pesakit kanser mahu penyakit kanser mereka disahkan SEMBUH SEPENUHnya. Begitu juga pakar kanser yang tentu akan merasa satu kepuasan jika berjaya merawat pesakit kanser sehingga sembuh. Walau bagaimanapun perkataan sembuh sepenuhnya daripada penyakit kanser tidak sama dengan penyakit bukan kanser.
Penyakit ketumbuhan fibroid (bukan kanser) yang dikesan pada rahim seorang wanita boleh dianggap sembuh sepenuhnya jika pembedahan mengeluarkan rahim dilakukan. Begitu juga ketumbuhan-ketumbuhan bukan kanser yang lain akan dianggap sembuh sepenuhnya jika ketumbuhan itu dikeluarkan.
Penyakit kanser BELUM boleh dianggap sembuh sepenuhnya walaupun kanser sudah tidak dapat dikesan (melalui semua jenis ujian) selepas rawatan ataupun pakar bedah sudah mengeluarkan kanser tersebut daripada badan. Pakar kanser hanya akan nengatakan bahawa buat masa ini ujian-ujian yang dijalankan menunjukkan tidak ada kanser yang wujud dalam diri pesakit. Dalam istilah perubatan, kami gunakan perkataan “no evidences of disease” (NED) ataupun “disease free”. Ini bukan bermaksud pesakit kanser sudah sembuh sepenuhnya.
Boleh Datang Semula
Kanser berbeza dengan penyakit bukan kanser kerana kanser masih boleh datang kembali selepas rawatan walaupun ujian-ujian pengesanan yang dilakukan tidak menunjukkan adanya kanser. Ada beberapa sebab mengapa keadaan ini berlaku di antaranya adalah:
1. Kanser adalah penyakit yang asalnya disebabkan berlaku kelainan genetik yang bertanggungjawab mengawal pembiakan sel. Walau pun kanser sudah dihapuskan sepenuhnya, kelainan genetik itu masih wujud.
2. Pendedahan kepada punca terjadinya kanser itu masih terus berlaku samada disedari ataupun tidak disedari oleh pesakit. Banyak jenis kanser yang tidak diketahui puncanya, jadi pesakit tidak tahu apa yang perlu dielakkan.
3. Ujian-ujian mengesan kanser yang ada pada hari ini tidak 100% tepat. Setiap ujian samada ujian darah ataupun pengimejan diagnostik seperti CT scan, MRI dan PET scan mempunyai kelemahan dan tidak 100% tepat. Jadi jika PET scan melapurkan tidak ada “hot spots” bukan bermaksud 100% tidak ada sel kanser di dalam badan.
4. Sel-sel kanser boleh berubah menjadi kebal kepada rawatan dan walaupun pembedahan serta rawatan kemoterapi/radioterapi dijalankan telah berjaya menghapuskan hampir kesemua sel kanser, sel kanser yg terselamat boleh berubah menjadi kebal dan lambat laun boleh membiak semula selepas beberapa lama mendiamkan diri. Sel-sel kanser ini selalunya daripada kanser jenis yang ganas ataupun kanser peringkat lewat.
5. Kaedah rawatan kanser yang ada pada hari ini walaupun terbaik setakat ini, namun bukan 100% berkesan. Banyak faktor yang mempengaruhi keberkesanan rawatan termasuk jenis kanser, peringkat kanser, jenis rawatan, dos rawatan, jangkamasa rawatan dan lain-lain lagi. Faktor sistem di dalam badan pesakit juga memainkan peranan, contohnya pesakit yang mempunyai kelemahan sistem pertahanan lebih sukar dirawat. Rawatan dianggap kurang berkesan jika tempoh “disease free” yang dialami oleh pesakit adalah singkat.
Negatif Selama 10 Tahun
Walau bagaimanapun memang ada pesakit yang akan sembuh sepenuhnya tetapi pakar kanser tidak dapat mengesahkannya dalam jangkamasa yang singkat. Peluang untuk sembuh sepenuhnya bergantung kepada jenis kanser, peringkat kanser dan banyak lagi faktor. Kanser di peringkat awal mempunyai kadar penyembuhan yang paling tinggi.
Umumnya seseorang pesakit kanser itu dianggap sembuh sepenuhnya jika semua kaedah ujian pengesanan kanser melapurkan keputusan negatif selama 10 TAHUN. Maksudnya pesakit kanser perlu menjalani rawatan susulan selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum boleh dianggap SEMBUH SEPENUHNYA (ada juga kes terpencil di mana kanser datang kembali selepas 10 tahun).
Jangan Terpedaya
Pesanan saya kepada orang awam adalah amalkan gayahidup sihat dan lakukan saringan kanser kerana mencegah lebih baik daripada berubat. Manakala pesanan saya kepada pesakit kanser pula adalah jangan berhenti menghadiri klinik kanser untuk pemeriksaan susulan walaupun anda sudah tamat menjalani rawatan dan pakar kanser sudah memaklumkan yang anda sudah tidak memerlukan rawatan lanjut. Hampir 80% kes-kes kanser berulang dikesan pada 2 tahun pertama dan 20% lagi pada tahun-tahun berikutnya.
Jangan mudah terpedaya dengan dakwaan pengamal rawatan alternatif ataupun penjual produk suplemen/herba yang mendakwa pesakit mereka sudah SEMBUH SEPENUHnya selepas rawatan yang mereka berikan. Malahan kajian menunjukkan pesakit yang dirawat dengan kaedah alternatif mempunyai kadar penyembuhan dan jangkahayat yang lebih rendah daripada pesakit yang dirawat dengan kaedah rawatan kanser konvensional.
Di samping itu saya dapati ada juga pesakit-pesakit kanser yang sudah menjadi “jurucakap pakar kanser” memberi testimoni menceritakan amalan-amalan mereka termasuk mengambil produk-produk tertentu untuk kekal bebas daripada kanser sedangkan mereka baru sahaja beberapa bulan selesai menjalani rawatan kanser.
Seorang pesakit kanser berbeza dengan pesakit-pesakit yang lain walaupun menghidap kanser yang sama. Dapatkan maklumat daripada pakar kanser yang merawat anda. Saya bimbang jika anda mengelak daripada sesuatu yang tidak perlu dielakkan dan mengamal sesuatu yang boleh memudaratkan.
sumber : Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi