Menjalinkan hubungan sejak dua tahun lagi, pasangan sama cantik sama padan, Haqiem Rusli sah bergelar suami kepada ahli perniagaan, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri dengan dua kali lafaz.
Pasangan ini disatukan di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah yang lebih dikenali sebagai Masjid Cyberjaya petang tadi.Pasangan ini dinikahkan Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Zamzuri Ruslan sambil disaksikan bapa pengantin wanita, Wan Zamzuri Wan Muhammad.
Dalam majlis serba ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu dihadiri 20 orang tetamu di kalangan keluarga terdekat mempelai, Haqiem atau nama sebenarnya,
Ridzuan Haqiem Rusli, 23, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 selain wang hantaran, RM100,000.
Bintang Paling Popular, ABPBH 33, kacak mengenakan persalinan berwarna kelabu rekaan Razman Razmi menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama oleh pihak pengantin perempuan.
“Saat yang saya tunggu selama ini untuk menghalalkan hubungan kami akhirnya terpateri.
“Selepas mengumumkan berita nak menamatkan zaman bujang beberapa bulan lalu, saya bersyukur kerana keinginan itu tidak hanya direstui keluarga, namun penyokong saya termasuk kelab peminat Qiemilio.
“Biarpun akur, detik bersejarah ini berlangsung di era pandemik COVID-19 yang segala gala serbi terbatas… saya harap fasa baru ini akan dirahmati. Saya berjanji akan menjalankan tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya usai majlis nikah selesai.
Bercerita mengenai detik perkenalan mereka, semuanya bermula selepas isterinya ketika itu mencari duta untuk mempromosikan perniagaan restoran miliknya di Setapak.“Kalau nak tahu restoran Santhai Village yang saya usahakan selama ini bersama dengan dialah (isteri). Awalnya dia memang nak tawarkan saya sebagai duta restoran makanan steamboat itu.
“Tapi saya fikir kenapa tidak menjadi rakan kongsi juga. Sambil mempromosikannya, ada juga bahagian saya. Akhirnya persetujuan dicapai, kami jadi rakan kongsi. Sekarang sudah kongsi kehidupan bersama pula.
“Jadi dipendekkan cerita, kerap berjumpa dan tanpa diduga juga hati mula terpaut sayang,” katanya.
Kata Haqiem yang turut melancarkan single baru Hitam Saksi Putih hari ini buat suri hatinya, dia melihat gadis berusia 19 tahun namun bercita cita besar dari Kelantan itu sebagai pelengkap diri dan hati.
“Secara ringkas, dia melengkapi saya. Dia menyempurnakan kekurangan diri.
“Saya abadikan kisah kami dalam single baharu itu. Hitam itu jadi simbolik kejahatan dan kehadirannya saya rumuskan sebagai warna putih yang banyak menyebar sisi positif dalam diri saya,” katanya yang mula dikenali menerusi lagu Tergantung Sepi.
Mengenai perancangan memiliki cahaya mata, baik Haqiem dan isterinya tidak menolak rezeki jika dikurniakan cepat.
“Soal anak, rezeki yang saya dan isteri menerima dengan lapang dada. Cuma seboleh bolehnya kami nak ‘enjoy’ dulu momen berdua.
“Tapi kalau datang juga anak secara ‘mengejut’, saya okey saja,” selorohnya.
Penyanyi kelahiran Hulu Langat itu memilih destinasi dalam negara saat ditanya lokasi berbulan madu.
“Ikutkan saya nak bawa isteri berbulan madu ke luar negara. Tambah pula pintu sempadan negara luar sudah banyak dibuka. Cuma saya terikat dengan komitmen menjadi juri Suara Viral 2.0 setiap Sabtu dan Ahad.
“Jadi memang tak boleh nak pergi jauh. Untuk sementara waktu, kami nak ke Sabah,” kata artis naungan FMC Music itu.Terdahulu, penyanyi lagu Tergantung Sepi dan Mimpi ini membuat kejutan dengan mengumumkan tarikh mendirikan rumah tangga ketika berucap selepas kemenangannya pada malam kemuncak ABPBH 34.
Pasangan berkenaan turut akan diraikan malam ini dalam majlis resepsi bertemakan Seputih Salju di sebuah lokasi di pinggir ibu kota dipanggil Sky Glass dengan mengenakan persalinan rekaan Rizman Ruzaini.
Primadona Events dan Ben Signatures Event menjadi perancang majlis dalam masa tiga bulan secara privasi.
Perginya pelakon veteren Abu Bakar Omar pada tanggal 16 April yang lalu ke negeri abadi, merupakan berita mendukacitakan buat semua. Pelakon yang popular menerusi drama dan filem pecah panggung antaranya Fenomena, Cinta Kolestrol dan Hingga Hujung Nyawa ini begitu disanjungi bakatnya. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, amin.
Turut berkongsi rasa kesedihan dengan pemergian insan tercinta, Mohd Zainuddin Abu Bakar yang juga merupakan anak sulung arwah telah menitipkan apa terbuku di hati. Luahan rasa betapa rasa cemburu di hati turut membuatkan warganet berasa pilu dan sama-sama mendoakan agar arwah berbahagia di sana.
Bapak..
Aku rasa akulah orang yang paling kenal bapak ..
Rupanya aku salah…banyak rahsia bapak yang hanya timbul selepas bapak kembali ke dakapan rahmat Allah…
Aku kenal bapak aku dari sisi bukan seorang bapak..sama seperti kalian kenal…
Anak wayang yang mengisi ceritera nusa dan bangsa..dipuji, dicerca, dimarah, disayangi kesan watak yang diberikan…antagonis watak yang terlalu sinonim zaman mudanya..
Anak pasar borong yang dipenuhi dengan pelbagai ragam dan rasa…hingga beliau digelar Bakaq Bolong..mengambil tanggungjawab menjaga keluarga seawal usia darjah tiga..membantu tok wan di pasar borong…
Namun hakikat bapak jauh dari itu…
Allah kurniakan pengakhiran hayatnya dengan segala keindahan…
Allah jemput di penghulu segala hari dalam penghulu segala bulan…Jumaat pertama Ramdhan..dalam fasa Rahmat Allah..
Bapak dimandi dan dikafankan oleh kami semua anak2nya…malah lebih dari itu..anak2 yang menumpang kasih beliau sebagai bapa…
Sangat mudah diuruskan…jenazah yang sangat lembut…tenang bapak persis tidur…tiada kotoran yang keluar dari badan bapak tika istinjak dan dimandikan..
Bapak seolah tahu masanya telah tiba…
Diminta cucu sulong untuk rapikan dirinya beberapa hari sebelum itu..
Di pesan kepada adikku mencari pasangan..buat peneman bonda…itulah pesannya berulang kali hingga hari terakhir..
Bapak tunggu sehingga semua kami adik beradik sampai…barulah bapak meninggalkan kami dalam keadaan sangat tenang..persis tidur gayanya…
Jenazah diuruskan dengan teratur dan lancar sekali….ribuan doa pengampunan dan kebaikan dibacakan untuk bapak dari khalayak yang tidak pernah bapak kenali mereka..tak kurang juga ramai yang mengatakan bahawa ia adalah kematian yang dicemburi…
Sungguh bapak…
Aku cemburu…lihat bapak disayangi orang luar…
Luar biasa sayangnya itu bapak…
Ramai yang menghubungiku secara peribadi menceritakan baiknya bapak dalam membantu mereka…yang aku tak pernah tahu pun..dari masjid hingga marhaen biasa menceritakan kepadaku apa yang dikau bantu mereka…
Aku cemburu bapak…
Seorang ibu kematian dua orang anak yang tak pernah dikau kenali…dengan hati yang sangat tulus tanpa sebarang kepentingan sekadar memaklumkan kepadaku bahawa beliau membaca setiap hari hampir ratusan kali Surah Al Fatihah dan Al Ikhlas didoakan khusus untuk anak2nya…dan bermula dari saat kematianmu…secara khusus ibu ini memasukkan sekali namamu bapak…akan dilakukan sepanjang hayatnya…itulah bicara janjinya dengan ku…
Aku cemburu bapak…
Ratusan yang hadir solat jenazahmu…sebahagian besarnya bukan dari orang yang kami kenali..bukan juga teman2 lakonanmu…tapi jelata yang sangat menyayangimu…
Aku cemburu bapak…
Tanah kubur kelompok keluarga kita yang lazimnya sangat berselut umpama sawah bergenang air dalamnya…tapi Allah takdirkan untuk persemadianmu itu tanahnya merah lembut tanpa setitis air.. yang sangat sempurna liangnya..
Aku cemburu bapak…
Usai ziarah pusaramu pada hari berikutnya…aku terserempak dengan satu keluarga yang teresak nangisnya..bertanyakan di mana kuburmu…tanpa kenali siapa aku…mereka menceritakan betapa bapak telah sangat membantu hidup mereka…hinggakan mereka mangaku bahawa bapak adalah ayah angkat mereka…sungguh aku tidak pernah kenal mereka…
Aku cemburu bapak…
Aku cemburu..
Aku masih menyelongkar rahsia hidupmu…
Rahsia hidup yang dikau sembunyikan dari kami…
Hingga mulianya dikau dipenghujung hari…
Bapak…
Damailah di sisi Ilahi..
Kami menjadi saksi…
Dikau bapa yang sangat disayangi…
Mohon sudi doakan Ayahanda kami..
Almarhum Tuan Haji Abu Bakar Omar..
Umpama mimpi ngeri, Puan Nur Jalilah Leyla berkongsi kisah nyawa anaknya yang hampir melayang akibat terhidu gas monoksida di dalam kereta.
Mereka sekeluarga ketika itu salam perjalanan pulang ke Tanjung Karang, Selangor dari Kuantan. Dalam kegembiraan berbual dan bergurau senda, tanpa mereka sangka, saat itu masing-masing sudah keracunan gas.
Pengalaman yang tak akan pernah Umi lupa. Saat kami semua termasuk (mak ayah mentua) opah dan atok keracunan gas monoksida dalam kereta.
Pada 19 May 2022, Umi dan anak-anak mengikut mak ayah mentua untuk balik ke Tanjung Karang, Selangor sebagai peneman balik dalam tempoh 3-4 hari saja.
Dalam perjalanan dari Kuantan, semuanya ok tak ada apa-apa. Anak-anak pula seronok dengan berbual dan teman atok dan opak mereka. Kami sempat singgah makan tengah hari di Temerloh dan selepas itu teruskan perjalanan.
Sempat lagi Umi hantar gambar pada suami untuk tengok anak-anak tengah tidur. Rupanya, suami ada tegur muka Eijaz nampak pucat dan kasihan. Dia tanya anak-anak ok ke. Umi balas ok, mungkin sebab kepenatan agaknya. Tak sangka, sebenarnya mereka dah lain masa ini. Deeja pula senyap, tidur dan tak ceria. Fikir Umi, mungkin sebab cuaca panas.
Pada sekitar jam 1.00 tengah hari, selepas dari hentian Bentong, tiba-tiba, Deeja terjaga dan merengek tapi mata tak terbuka. Umi pujuk dan tiba-tiba badannya lembik. Namuri seorang ibu, rasa sesuatu tidak kena. Umi cuba kejutkan Deeja untuk bangun tapi tiada respon.
Umi terus jadi panik, anak selebih-lembiknya. Terus Umi menjerit pada mertua beritahu Deeja tak sedar diri tanpa sebab. Buka baju dan seluar, tepuk-tepuk dan sapukan air pada muka untuk kejutkan dia. Tapi tetap tiada respons.
Pernafasannya pun makin lemah. Kami berhenti tepi highway dan tahan kereta lain sammbil mendukung anak. Umi hanya fikir, Ya Allah, jangan ambil nyawa anakku.
Sementara itu, Zara dan Eijaz meraung dalam kereta sebab takut tengok kami panik dan riuh untuk kejutkan Deeja. Masa itu, ada satu kereta, keluarga Chinese (Mr Richard berhenti dan tanyakan keadaan. Dia meminta kali ikut mereka dan terus ke hospital berdekatan.Msa itu, Mr Richard syak ada masalah gas ke apa dan berpesan supaya buka tingkap.
Semasa perjalanan ke hospital, Deeja masih tiada respon, luruh rasa jantung Umi sebab tak tahu punca. Tiba-tiba Zara dan Eijaz diam, mereka pula tidak sedar. Eijaz tertiarap di bahagian bawah kaki dengan muka ke bawah karpet. Manakala Zara separuh badan atas kerusi kaki ke bawah dan meniarap. Ya Allah dugaan apakah pada kami.
Ayah mentua teruskan pemanduan dan ikut kereta Mr Richard. Mak mentua pula bantu kejutkan Eijaz dan Zara. Alhamdulillah mereka cepat sedar semula dan menangis. Eijaz nampak sangat pucat dan lesu. Umi pula dah mula rasa nak muntah, pening dan nak pitam. Tapi sebabkan anak-anak tak sedarkan diri, Umi gagahkan diri bertahan sambil muntah-muntah dan kejutkan mereka.
Sampai di hospital Orang Asli Gombak terus ke bahagian Kecemasan dan Deeja diberi terus bantuan oksigen.
Umi sesak nafas dan masih muntah-muntah angin. Mak mentua pengsan selepas sampai di hospital dan ayah mentua serta Zara, Eijaz diberi bantuan oksigen. Selepas semua diberi bantuan oksigen, mereka kembali stabil tapi masih dalam keadaan lema. Suami pula dah bersiap datang dari Kuantan.
Kes kami di rujuk ke hospital Selayang. jam 8 malam kami semua dihantar ke Hospital Selayang menaiki ambulance. Kereta kena tinggal sebab doktor tidak mahu ambil risiko.
Dari situ, doktor mengesahkan kami keracunan gas monoksida yang berpunca daripada kebocoran pada bahagian ekzos. Kami dipantau sehingga betul-betul stabil.
Doktor ada beritahu, kalau Umi tak tahu anak tak sedar itu dan berangapan anak-anak tidur lena, kemungkinan akan mengancam ntawa anak-anak. Sebab ia menterang pada orang yang tidur dan terus idak sedarkan diri sampailah kekurangan oksigen pada otak.
Syukur, Allah berikan naluri yang tepat pada Umi dan pantas sedar bila Deeja lain macam lembik dan tak sedar masa tu. Jam 3 pg barulah doktor lepaskan kami balik.
Ibarat mimpi ngeri semua tu. Keracunan gas monoxide ini tak bermakna masa kita berhenti kereta dan tidur di hentian saja. Ia juga boleh berlaku dalam keadaan kereta tengah bergerak. Tapi ia boleh bahayakan pada penumpang yang tidur.
Allah jentikkan kami ikut sekali, kalau la mentua berdua saja balik tak tahu apa akan jadi pada mereka. Lagi bahaya sebab berdua dan tak sedar kebocoran gas itu.
Patutlah pada hari Sabtu sebelum ini, mak mentua masa perjalan ke Kuantan, dia dah pengsan dan muntah sekali dalam kereta tanpa sedar. Itulah permulaan kebocoran gas monoksida dalam kereta.
Sebelum perjalanan yang jauh, periksa semua keadaan kenderaan, baik kereta lama mahupun kereta baru. Pantau sama penumpang yang tidur. Berhentilah seketika setiap 2 jam perjalanan atau buka tingkap sekejap.
Ingatlah, perkara nak jadi tanpa tanda dan diduga. Kita kena sentias peka dengan keadaan keliling terutamanya anak-anak.
Kepada Mr Richard sekeluarga, kami ucapkan jutaan terima kasih dan ibarat terhutang budi. Kalau tak kerana Mr Richard berhenti dan tenangkan kami serta bawa kami ke hospital.
Walau berlainan agama tapi Mr Richard yang terawal berhenti dan bagi bantuan. Umi pun tak tahu Mr Richard ni asal mana dan tinggal di mana. . Seandainya posting ni sampai kepada Mr Richard sekeluarga, kami sangat-sangat hargai dan terhutang budi.