TRENDING

Dr Ahmad Sanusi Tegur-“Jangan Normalisasikan Maksiat”

Share

Dr Ahmad Sanusi Tegur, “Jangan normalisasikan maksiat.” Dalam dunia hari ini, kita semakin melihat perkara yang dahulunya dianggap salah, kini diterima sebagai kebiasaan. Sama ada dalam media sosial, hiburan, mahupun kehidupan seharian, batasan antara yang baik dan yang buruk semakin kabur.

Dr Ahmad Sanusi Tegur – “Jangan Normalisasikan Maksiat”

Media Sosial: Alat Normalisasi Maksiat?

Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat hari ini. Apa yang dulunya dianggap tabu kini menjadi perkara biasa, hanya kerana ia kerap dipaparkan di skrin telefon kita. Pergaulan bebas dipamerkan secara terbuka, pakaian seksi dianggap fesyen, hiburan melalaikan dijadikan norma – semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah.

Lebih membimbangkan, ramai yang berbangga dengan perbuatan maksiat. Jika dahulu orang melakukan dosa dalam sembunyi, kini ia dipamerkan untuk mendapat likes dan followers. Kita seakan-akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat, walaupun manusia tidak.

Jangan Biasa Dengan Dosa

Apabila kita terlalu kerap melihat sesuatu perkara, kita akan menjadi terbiasa dengannya. Inilah bahaya normalisasi maksiat. Apa yang pada awalnya membuat kita rasa janggal atau bersalah, lama-kelamaan kita anggap biasa sahaja. Daripada biasa, kita mula membela dan mempertahankan. Akhirnya, kita sendiri jadi sebahagian daripada budaya itu.

Sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku. Dosa tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan. Malah, orang yang menegur pula dianggap “kolot”, “bajet alim”, atau “suka jaga tepi kain orang”.

Ini bukan soal menjadi terlalu konservatif atau menghukum orang lain, tetapi tentang menjaga nilai moral dan agama yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.

Berikut perkongsian daripada Dr. Ahmad Sanusi Azmi

1. Bagi yang belum berkahwin, janganlah pula kita menormalisasikan perkara yang dilarang oleh Allah. Bertepuk tampar sesama pasangan yang belum mempunyai sebarang hubungan yang sah adalah dicegah dalam Islam.

2. Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan.

Sabda Rasulullah:

لَأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لَا تَحِلُّ لَهُ

“Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (HR al-Tabrani)

3. Apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah Allah. Sekiranya perbuatan melakukan maksiat ini diikuti oleh anak muda yang lain, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu.

Sabda Rasulullah:

وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا ، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim)

4. Bagi orang awam pula, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah.

Sabda Rasulullah:

ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ

“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)

Semoga Allah membimbing kita.

Maksiat tidak sepatutnya dinormalisasikan, walau dalam apa jua bentuk sekalipun. Islam bukan agama yang menyekat kebebasan, tetapi agama yang membimbing kita ke jalan yang benar. Jika kita benar-benar sayangkan agama, sayangkan diri, dan sayangkan masyarakat, kita harus berani berkata tidak kepada budaya normalisasi maksiat.

Kerana yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya. Dan yang benar tetap benar, walaupun hanya sedikit yang mengikutinya.

Sumber: Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Baca artikel lain juga: Makan Tengah Hari Berdua Punca Terlibat Dengan Orang Ketiga! 9 Cara Elak Terbabit Dalam ‘Skandal’ Di Pejabat

 

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my