Dora Bawa Kelainan Dari Animasi Ke Live Action

Share

Siapa di sini membesar dengan kartun Dora The Explorer? Rata-rata individu sememangnya mengenali watak Dora yang gemar mengembara Bersama Boots, Bagpack dan The Map! Tidak lupa juga watak yang sering muncul iaitu sepupunya, Diego.

Jika dulu kita hanya tonton versi animasi, kali ini Dora muncul dalam bentuk live action

yang dibintangi oleh Isabela Moner (Dora), Eugenio Derbez (Alejandro), Michael Peña (ayah Dora), Eva Longoria (ibu Dora) dan Danny Trejo (Boots)!

Dora and The Lost City of Gold mengisahkan tentang Dora dan teman-temannya mengembara ke Parapata untuk mencari ibu dan ayahnya yang dikhabarkan hilang. Dora yang merupakan seorang gadis yang membesar dengan persekitaran hutan diminta pindah ke  rumah sepupunya Diego, di bandar oleh ibu bapanya untuk didedahkan dengan dunia sebenar.

Dalam menyesuaikan diri di bandar, Dora, Diego dan rakan-rakan telah diculik tentera upahan untuk menjejaki ibu bapanya yang menuju ke Parapata. Pengembaraan Dora demi menyelamatkan ibu bapanya telah melalui pelbagai rintangan untuk menuju ke Parapata.

Filem yang berdurasi 102 minit menerapkan elemen pengembaraan, komedi, aksi dan kekeluargaan yang membolehkan filem ini ditonton oleh seisi keluarga tidak mengira peringkat umur. Penonton juga tidak kering gusi menonton filem ini dengan adanya watak yang mampu mencuit hati.

Selain menonton bersama keluarga, terdapat juga beberapa nilai murni yang boleh diambil dari filem ini untuk menjadi panduan anak-anak. Nak tahu apa pengajaran yang disampaikan? Kena la tengok! Syabas diucapkan kepada para pelakon dan juga pengarah filem Dora, iaitu James Bobin!