Doktor Sahkan Memang Kesan Dera! Bayi Jadi Mangsa Pengasuh Facebook

Share

Mimpi ngeri setiap ibu adalah mendapat tahu bahawa anak kecil mereka didera oleh seorang yang sepatutnya boleh dipercayai. Bayi kepada seorang pengguna TikTok ini mengalami trauma itu selama 3 hari.

Sejak kebelakangan ini, seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai “@tyraadnann” telah memuat naik satu video yang memaparkan kesan-kesan lebam di bahagian lengan dan telinga anaknya yang baru genap setahun.

Dikatakan bahawa ibu muda terpaksa menghantar anaknya untuk dijaga pengasuh kerana baharu sahaja mendapat tawaran pekerjaan sebagai pembantu tadbir. Sebelum ini, wanita itu merupakan suri rumah.

“Selepas berbincang dengan suami, kami ambil keputusan untuk hantar anak kepada pengasuh. Waktu kerja saya juga pendek iaitu 8 pagi sehingga 1.30 petang saja. Selepas mencari-cari dari Facebook, ada beberapa orang yang tawarkan khidmat mengasuh. Tapi wanita tersebut adalah yang terawal beri respons. Saya pun sempat berkenalan dan pergi ke rumahnya dulu sebelum hantar anak. Saya tengok orangnya baik, anak kecilnya pun siap kongsi mainan. Dia pun hanya mengasuh seorang kanak-kanak berusia enam tahun saja, tak ramai. Jadi saya pun proceed” ujar ibu muda ini.

“Namun selepas ambil anak pada hari kedua, saya ada perasan lebam dekat pipinya namun tidak bertanya lanjut kepada pengasuh.

“Hari ketiga, suami yang ambil anak. Suami beritahu ada macam luka dan kesan merah dekat telinga. Selepas balik rumah, saya tengok kedua-dua telinga anak macam luka dan ada kesan lebam dekat lengan. Saya terus WhatsApp pengasuh tu dan tanya apa yang berlaku? Dia kata lupa nak beritahu, anak saya terjatuh ketika main dengan anaknya dan terkena bucu meja, ujar ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini” kata wanita itu.

Pada hari yang sama, wanita itu dan suaminya membuat keputusan untuk tidak lagi menghantar anak mereka untuk dijaga pengasuh tersebut. Dikatakan juga bahawa pengasuh itu tidak memberi sebarang penjelasan serta tidak meminta maaf kepada ibu bapa itu.

“Itu saya cukup terkilan. Saya dan suami bawa anak buat pemeriksaan di hospital dan doktor sahkan memang ia kesan dera, bukan terjatuh. Selepas itu kami buat laporan polis kerana tak mahu anak orang lain pula jadi mangsa” jelas ibu mangsa ini. Saya jadi trauma… macam tak percaya dah nak hantar anak kepada pengasuh. Saya bersyukur majikan memahami situasi ketika ini,” katanya.

Pengguna TikTok ini berkata tujuan berkongsikan perkara ini adalah untuk menjadi sebagai pengajaran kepada ibu bapa yang lain yang mungkin menghadapi situasi yang lebih kurang sama sepertinya agar menjadi lebih berwaspada dan jangan terlalu mudah percayakan orang.

Semoga anak kecil ini baik-baik sahaja dan kami dari Keluarga mendoakan agar anda dan keluarga sentiasa dilindungi daripada perkara seperti ini. Dinasihatkan juga kepada yang bergelar pengasuh, jika anda tidak boleh mengawal kadar stres anda dan tidak mempunyai tahap kesabaran yang tinggi, janganlah jadi seorang pengasuh.

Sumber: Mstar