Bila seorang doktor tidak sihat dan dimasukkan ke wad sebagai pesakit, pasti sahaja itu perkara biasa terjadi.

​​​Pun begitu perkongsian daripada doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan, cukup berbeza.

Pengalamannya menjadi pesakit dan kini masih ditahan diwad akibat terkena jangkitan influenza cukup memberi kesan terhadapnya.

Apakah kisahnya itu, ikuti perkongsian ini dan sama-sama kita doakan agar beliau segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa.

Ini perkongsiannya.

Seumur hidup saya, ini kali ketiga saya masuk wad sebagai pesakit. Pertama, patah tangan (9 tahun). Kedua, appendicitis(17 tahun). Ketiga, influenza A(masih di wad).

Kemasukan kali ketiga ni, banyak perkara saya belajar. Mungkin kerana ini kali pertama saya jadi pesakit di wad, setelah saya jadi doktor. Ia benar beri saya perspektif yang baharu.

Kemasukan wad kali ini, saya belajar 3 perkara mustahak ini:

IKLAN

1. Sangat tidak selesa menjawab soalan sambil baring atau duduk, dan doktor pula berdiri. Terasa amat janggal dan kekok, seolah-olah kita tidak menghormati orang sedang berkomunikasi dengan kita.

Berbezaan posisi ini juga buatkan diri terasa seperti dihakimi. Ia sangat menggerunkan. Tidak hairanlah dalam mahkamah, meja hakim lebih tinggi daripada orang lain.

Mulai hari ini, akan cuba elakkan bertanya soalan ketika pesakit baring terlantar selagi mana keadaan mengizinkan. Paling tidak, bangunkan sedikit badannya atau benarkan pesakit duduk.

Selain itu, sebagai doktor, saya juga akan cuba duduk semasa bertanya berbanding berdiri agar perbezaan paras mata saya dan pesakit dapat dikurangkan untuk dapat komunikasi yang lebih selesa.

2. Pesakit sukar untuk berehat. Jika bukan doktor datang memeriksa, jururawat datang periksa. Pekerja sajian hantar makanan, kemudian datang semula untuk kutip pinggan. Pekerja sanitasi lagi.

IKLAN

Entah berapa kali orang keluar masuk bilik. Namun, saya tak salahkan mereka. Mereka semua kelaur masuk kerana jalankan tugas. Bukan suka-suka, atau dengan niat sengaja nak ganggu.

Sekarang saya benar-benar faham kenapa hospital (kerajaan) hadkan waktu melawat kepada 2 jam, 2 kali sehari sahaja. Ia sebahagian langkah untuk beri masa kepada pesakit untuk berehat.

Takkan nak kurangkan kekerapan periksa pesakit pula. Pesakit memang dimasukkan ke wad untuk dipantau dan diperhati. Apapun, saya akan minimakan kekerapan peperiksaan jika keadaan izinkan.

3. Apabila doktor tanya sama ada terdapat apa-apa soalan yang hendak ditanyakan kepadanya, automatik terus otak jadi beku, sedangkan sebelum itu ada seribu satu persoalan.

IKLAN

Ini mungkin berlaku setelah doktor tanya banyak soalan kepada kita, dan sudah terangkan bermacam-macam perkara. Otak sedang sibuk memproses hal itu dan tak mampu berfikir dah.

Nanti, lepas doktor dah beredar dan otak dah cair semula, baru muncul balik kemusykilan tu. Aduhai! Masa tu nak cari doktor, entah di mana pula. Itu yang jadi bertanya di sosial media. Kan?

Mulai sekarang, saya beri peluang untuk pesakit tanya dulu kemusykilan mereka sebelum saya bertanya, dan pesan pesakit supaya tulis soalan sebelum jumpa doktor di masa akan datang.

KESIMPULAN: ada perkara, kita kena alami dahulu baru kita faham. Kita boleh belajar, namun ia tidak setara dengan pelajaran yang kita timba melalui pengalaman.

Ikhlas,

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor di katil Pesakit

Update : Saya dah 4 kali masuk wad. Kali pertama sebenarnya adalah ketika saya dilahirkan.

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI