Sebagaimana yang ditunggu-tunggu oleh penggemar raja buah, musim durian kembali lagi. Boleh kata, sana sini kita lihat orang berpesta makan durian. Melihat keadaan itu, terpanggil dua orang doktor ini berkongsi info dan pengalaman untuk dimanfaatkan terutamanya buat mereka yang ‘hantu durian’. Jom semak.
Ada orang bertanya, “Boleh ke doktor makan durian banyak-banyak. Tak takut demam ke nanti?”
Pertama, makan durian tak salah. Semua kita boleh dan tak ada masalah nak makan durian. Boleh. Anak-anak kecil selalu merengek nak durian, si ibu selalu pesan tak boleh makan banyak, nanti badan panas. Demam susah. Betul ke?
Di musim-musim buah-buahan tempatan ini adalah satu kerugian jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak menggunakan peluangnya. Maka itu, makanlah selagi mampu. Persoalannya, sebanyak mana dan benarkah ia boleh mengundang pelbagai penyakit? Jangan disalahkan pengambilan durian. Ia tak pernah salah.
Setiap makanan yang kita ambil perlu berkadaran dan tidak berlebih lebihan. Lebih baik kan jika kita sahut seruan nabi, makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Kalau tak mampu, apabila rasa kenyang saja, berhenti. Mudah kan?
Makan durian pun sama, makan ikut kadaran biasa. Kalau seorang boleh makan sampai sepuluh biji itu mungkin lain cerita. Ia sangat luar biasa. Cukuplah sekadar makan, bukan berlebih lebihan. Apa pun makanan tak elok jika diambil berlebihan dari kadaran normal.
Ramai masyarakat kita dimomokkan dengan pantang larang yang tidak sepatutnya. Tak boleh itu, tak boleh ini. Masalahnya bukan dilarang tapi berpada-pada.
Boleh tuan-tuan dan puan-puan?
Sumber : Dr. Ezairy M.Sallih
Manakala perkongsian daripada Dr Khairul Faizie berkenaan ragam pesakit-pesakitnya pada musim durian ini, elok juga dibaca untuk ambil pengajaran. Jom semak.
MUSIM DURIAN
Berhati hati ya, sekarang musim durian. Bagi yang ada penyakit tertentu, sila beringat bila makan.
3 kes aku jumpa pagi ini :
1) Seorang kakak umur 47 tahun baru balik kampung hujung minggu. Sabtu Ahad makan durian di kampung. Makan banyak, pesta durian. Tak cukup durian, di buat pulak serawa. Kakak ni memang ada DIABETES. Ubat tak miss makan. Pagi ni rasa tak sedap badan. Datang check gula, bacaan berpuasa nya : 23.1 mmol/ L.
2) Kes kedua & ketiga melibatkan pesakit GOUT.
Weekend belasah makan durian. Pagi ni terhencot hencot. Seorang tak tahan sakit berdenyut nyut.. so kita injek punggung.
Ingat ya, buah buahan seperti durian, strawberry , grapes…kena dimakan dengan kuantiti yang sedikit / atau elakkan, sebab ia boleh trigger attack gout bagi mereka yang high level uric acid.