Doktor Ini Kongsi Kisah Pilu, Kes Seorang Ibu Anak Dua Yang Mengidap Kanser Payudara.

Share

Menerusi laman facebook Dr. Zubaidi Hj Ahmad telah dikongsikan kisah seorang ibu yang juga merupakan seorang peguam dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil,  bertarung dengan penyakit kanser payudara. Pelbagai jenis rawatan telah dijalaninya dan akhirnya dikatil hospital itu jualah wanita cekal tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ikuti perkongsian doktor ini, menceritakan situasinya berdepan dengan keluarga pesakit.


KISAH PESAKIT KANSER PAYUDARA

Semasa saya bertugas di Palliative Care Unit, iaitu tempat di mana kebanyakan pesakit kanser yang telah disahkan mengalami metastasis (kanser merebak) ke bahagian lain (seperti paru2 dan hati), saya sangat komitted dengan kerja saya.

Ini kerana saya diminta memngaturkan wad (selepas kursus selama lima hari di Palliative Care Unit, Hospital Queen E, KK). Saya berseorangan doktor di wad itu, bersama 5 orang jururawat yang bergilir-gilir bekerja secara syif.

Sesekali doktor pakar akan datang melihat keadaan wad. Bukan pesakit. Sebab mereka tahu pesakit tiada lagi rawatan yang aktif dari mereka. Pesakit dibenarkan pulang jika mahu, atau tinggal di wad ini sehingga tiba masanya.

Di wad ini saya akan pastikan pesakit berada dalam keadaan lebih selesa jika dibanding mereka tinggal di rumah kerana ada kemudahan perubatan (seperti alat nebulizer, bekalan oksigen dan beberapa ubat-ubatan lain) dan penjagaan oleh jururawat yang baik.

Lebih dari itu (janji untuk sembuh) memang kami tak dapat berikan sebab kebanyakannya doktor mengesahkan kanser mereka sudah terlalu advanced.

Saya masih ingat satu kisah di mana seorang peguam anak dua berbangsa Cina berusia 30an mengalami penyakit kanser payudara. Beliau sudah menjalani rawatan kimoterapi, radioterapi dan pembedahan di Singapura. Malangnya kanser payudara yang beliau alami ini adalah jenis yang sangat agresif. Walaupun telah diberikan rawatan yang lengkap, kanser-kanser itu datang semula. Kali ini ia berlaku dengan terlalu cepat sehingga dada beliau (yang telah dibuang payudara) mengalami bengkakan dan sel-sel kanse masuk menyerang paru-paru pula.

Ketika masuk di wad ini, beliau berada dalam susah bernafas dan mengalami rasa sakit.

Ya Allah kesiannya. Bila anak dia datang melawat (bersama ayah mereka), beliau akan mengalirkan air mata. Sambil mengusapkan kepala anak-anaknya, air mata beliau mencurah jatuh.

Anak pertama berusia 5 tahun dan anak kedua berusia 2 tahun. Beliau seolah-olah tahu beliau akan meninggalkan anak-anak beliau buat selama-lamanya, tidak berapa lama lagi.

Saya menjaga beliau selama tiga minggu. Oleh kerana beliau mengalami rasa sukar bernafas, saya tidak dapat banyak berinterasi dengan beliau.

Beliau hanya duduk di atas katil, tidak mampu berbaring kerana dengan posisi berbaring, ia akan menyebabkan beliau lebih sukar bernafas. Jadi saya pastikan bekalan oksigen secukupnya untuk beliau.

Badan semakin kurus kerana tiada selera hendak makan. Semakin lemah.

Pada suatu malam, ketika saya sudah pulang ke rumah, mengajar anak saya mengaji, ada panggilan telefon dari wad.

“Doktor, pesakit di katil lima tu dalam keadaan nazak. Saya sudah beritahu ahli keluarga yang lain..”

Jururawat telah faham apa yang perlu dilakukan. Beritahu ahli keluarga agar mereka maklum keadaan pesakit. Mungkin ada yang ingin bedoa dan mengajarkan syahadah. Tiada larangan.

Saya datang selepas 20 minit sebab rumah saya agak jauh dan jalanraya di bandar JB agak sesak.

Saya berjumpa suami beliau. Saya membisikkan “Mungkin ini masanya”

Suami beliau mengangguk dan agak sedih. Tetapi faham. Tugas saya bukan menyelamatkan nyawa, tetapi memberikan keselesaan bagi pesakit melalui fasa kematiannya.

Selepas sejam, saya mengesahkan beliau sudah meninggal dunia. Suasana senyap. Sunyi. Semua menahan pilu. Hanya anak beliau yang memanggil, “mummy,mummy” kerana tiada lagi usapan di kepala mereka.

Mereka tidak menyedari ibu mereka telah pergi selamanya…

sumber :  Dr. Zubaidi Hj Ahmad