Doa Ibu Tiada Hijabnya. Salah Doa Boleh Sebab Anak Tak Dengar Kata. Ini Nasihat Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood

Share

Syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Pastinya setiap ibu bapa inginkan anak yang mendengar kata. Namun tahukah ibu bapa bahawa jika salah doa ia akan memberi kesan kepada tingkahlaku anak.

Namun sebagai ibu kita perlu ingat, anak-anak adalah amanah Tuhan kepada kita untuk dijaga dan diasuh dengan baik. Bagaimana sukar sekalipun atau besar cabarannya namun kita harus pikul tanggungjawab ini dengan baik. Perlu prihatin dan sedari setiap sudut agar kita tidak menyesal di kemudian hari.

Justeru, Dato’Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood ada menyentuh mengenai kesilapan setengah ibu-ibu dalam berdoa.

“Sebenarnya Ustazah tak nak sentuh mengenai kesilapan ibu-ibu kerana jasa ibu-ibu ini besar pengorbanannya. Namun semoga  kesilapan ini kita diberi peluang oleh Allah SWT untuk terus perbaiki diri dalam mendidik anak-anak”.


Kurang berdoa

Ustazah Siti Noor Bahyah memberitahu bahawa, “adakah kita sebagai ibu ini berdoa sepenuh hati dan kasih sayang. Ini kerana kasih sayang seorang ibu tiada sempadan dan tiada noktah.

“Dalam hal ini, adakah kita berdoa kepada Allah dengan sepenuh jiwa kita dan membayangkan muka anak kala berdoa”,jelasnya ketika ditemui baru-baru di sebuah majlis ilmu di Shah Alam,Selangor.

Beliau turut berkongsi pengalaman cara terbaik mendoakan untuk anak-anaknya, “Ya Allah jadikan anak ku Wan Muhammd Saifullah, seorang anak yang mudah mendengar, anak yang baik, anak daripada kecil tidak meninggalkan solat”.

“Apabila menyebut nama anak secara khusus kita boleh bayangkan muka anak dan fokus untuk anak itu sahaja.

“Begitu juga dengan anak seterusnya. Seperti mana kita sedia ketahui bahawasanya doa ibu ini ajaib. Perkataan ibu adalah merupakan doa. Doa ibu tiada hijabnya di sisi Allah.”

Moga cara doa yang khusus ini kepada anak, menjadi panduan buat kita semua untuk memperolehi anak yang mendengar kata, soleh soleheh dan anak-anak cemerlang dunia akhirat.