Sebelum ini umum tahu bahawa pelakon jelita, Fasha Sandha berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah bersama suaminya. Di sana, antara doa yang dipohon adalah supaya dia dikurniakan cahaya mata lelaki.
Ujar Fasha, 39, keinginan untuk menimang cahaya mata lelaki itu juga merupakan hasrat yang diidamkan oleh suaminya, Aidil Aziz selepas dikurniakan anak perempuan, Aisha Amaira yang kini berusia dua tahun enam bulan.
“Ketika mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini, salah satu doa yang saya pohon adalah untuk mendapatkan zuriat lelaki. Sebab itu adalah permintaan suami untuk melengkapkan keluarga kami.
“Kalau ikutkan, suami sudah menyuarakan hasrat untuk anak kedua sejak tahun lalu lagi. Tapi saya terlalu sibuk dengan penggambaran drama.
“Insya-Allah, kami akan berusaha untuk anak kedua pada tahun ini dan berharap dikurniakan seorang bayi lelaki,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan turut melahirkan rasa syukur apabila dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah selepas beberapa kali tertangguh.
“Alhamdulillah, saya berada di sana selama sembilan hari. Empat hari di Mekah dan lima hari di Madinah. Saya bersyukur dapat mendoakan yang baik-baik untuk semua orang.
“Saya sangat teruja dan bersyukur apabila hasrat mengerjakan umrah buat kali pertama akhirnya terlaksana lebih-lebih lagi ditemani suami,” katanya gembira.
Kongsi Fasha, sebelum ini dia sudah lama menyatakan hasrat mengerjakan umrah, namun tidak boleh melakukannya kerana syarat pada ketika itu memerlukan dia membawa seorang mahram.
“Ketika itu saya belum berkahwin lagi. Jadi antara syaratnya saya perlu diiringi dengan mahram untuk buat umrah. Selepas saya berkahwin, seluruh dunia diserang Covid-19 pula,” jelasnya.
Untuk rekod, Fasha mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama Aidil pada 28 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Aisha Amaira.
Sebelum itu, menerusi perkahwinan pertama Fasha bersama bekas suami, dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram dan Putri Raysha Jemaima Rizal Ashram.
Sumber : KOSMO!
https://youtu.be/dUpt50y0xaQ