EPF logo at EPF building in Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The Star
Berbanding tahun-tahun sebelum ini, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan menerima kadar dividen KWSP 2024 melebihi 5.8% tahun ini.
Difahamkan ia juga merupakan nilai paling tinggi dalam tempoh tiga tahun untuk simpanan konvensional.
Kadar bagi simpanan syariah pula dianggarkan antara 5.4 peratus hingga 5.6 peratus, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.
Jumlah keseluruhan bayaran dividen bagi akaun konvensional pada 2023 adalah RM50.33 bilion, manakala bagi simpanan syariah pula sebanyak RM7.48 bilion.
Bagi sembilan bulan pertama tahun lalu, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM57.57 bilion, meningkat 20 peratus daripada RM47.86 bilion dalam tempoh sama pada 2023.
Walau bagaimanapun, pencarum tidak seharusnya mengharapkan kadar dividen terlalu tinggi kerana KWSP antara segelintir dana persaraan di dunia yang mengagihkan dividen berdasarkan pulangan yang direalisasikan, iaitu keuntungan sebenar selepas pelaburan dijual.
“Ini bermaksud keuntungan atau kerugian yang diperoleh selepas sesuatu pelaburan dijual, berbeza dengan pulangan tidak direalisasikan, iaitu keuntungan atau kerugian atas pelaburan yang masih dipegang. Ini diklasifikasikan sebagai jumlah pulangan.
“KWSP tidak mengira dividen berdasarkan jumlah pulangan, yang termasuk keuntungan atas kertas yang masih bergantung kepada prestasi pasaran,” jelas sumber.
Sehingga kini, KWSP mempunyai sekitar 16 juta ahli dengan lebih 8.5 juta aktif mencarum.
Sumber: Harian Metro