Bila sebut sahaja tentang penyakit kanser tentu bukan semua antara kita mampu menerima kenyataan andai disahkan diri mengidap kanser.
Apatah lagi penyakit kanser ini semua maklum sebagai penyakit yang merbahaya dan sering dikaitkan penghujungnya akan membawa penyebab kematian kepada pesakit.
Pun begitu, perlu difahami andai kanser ini dapat dikesan diperingkat awal, seseorang itu masih ada banyak peluang untuk pulih dan akhirnya bebas sepenuhnya daripada penyakit kanser tersebut.
Ini sebagaimana perkongsian eksklusif daripada Dato’ Sri Nazir Razak yang kini disahkan telah bebas daripada kanser prostat.
“Alhamdulillah, saya berasa sangat bertuah kerana kanser prostat saya dikesan pada peringkat awal sekitar bulan Oktober 2018. Saya tidak mengalami sebarang gejala.
“Kanser ini dikesan ketika saya menjalani pemeriksaan prostat sebagai syarat awal pembelian insurans. Saya menjalankan ujian di London dan memberitahu doktor saya ketika itu untuk menjadualkan pembedahan saya selepas saya pulang dari bercuti.
“Betapa sihatlah saya rasa pada masa itu sehingga boleh bercuti dengan keluarga!
Menceritakan lanjut pengalaman ini, nyata semangat Dato’ Sri Nazir untuk kekal positif dan tabah menghadapi ujian banyak didorong oleh keluarga tercinta.
“Apabila saya mendapat tahu yang saya menghidap kanser prostat, saya serta keluarga risau kerana ia diketahui bahawa kanser mampu meragut nyawa pada bila-bila masa, dah saya juga khuatir jika sesuatu tidak baik berlaku semasa prosedur pembedahan.
“Tetapi keluarga saya memberi semangat, terutamanya isteri dan anak-anak saya yang meyakinkan saya bahawa prosedur tersebut akan berjalan lancar dan saya akan cepat sembuh.
“Saya kekal positif sepanjang proses pemulihan dan mengikuti nasihat doktor seperti berhenti merokok, jaga makan minum, serta mendapat rehat yang secukupnya.
“Kanser ini telah memberi impak yang positif kepada gaya hidup saya sekarang.
“Sebelum ini, saya terlalu fokus dengan kerjaya saya di CIMB sehingga mengabaikan kesihatan diri.
“Kini, saya lebih memandang serius tentang kesihatan saya. Saya mengambil keputusan untuk berhenti merokok dan lebih kerap bersenam.
“Saya juga meluangkan lebih banyak masa bersama mereka yang tersayang dan menyedari betapa pentingnya orang di sekeliling saya seperti keluarga dan juga kawan-kawan rapat.”
Kaedah Rawatan
“Saya melakukan ujian ‘prostate specific antigen’ ataupun ujian PSA yang boleh dilakukan dengan ujian darah. Dari ujian itu didapati bahawa tahap PSA saya tinggi dan disyorkan menjalani MRI yang kemudian mengesahkan bahawa terdapat ketumbuhan di prostat.
“Selepas itu, saya menjalani prosedur biopsi yang mengesahkan bahawa ketumbuhan tersebut sudah tahap kanser.
“Hasil biopsi tersebut menunjukkan bahawa skor Gleason saya tinggi dan saya disyorkan untuk menjalani pembedahan.
“Alhamdulillah, pembedahan tersebut berjalan dengan lancar. Oleh kerana saya melalui pemeriksaan awal, kanser tersebut masih dalam keadaan terkawal dan masih terhad pada kawasan prostat jadi barah tersebut dapat dikeluarkan. Dalam masa beberapa bulan, saya telah pulih dengan sepenuhnya.”
Lawan Kanser Dengan Gaya Hidup Sihat
“Saya cuba memakan makanan yang lebih berkhasiat dan mengurangkan makanan yang berlemak tinggi. Saya juga bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, tidak kira di rumah ataupun dengan di luar apabila bermain golf.
“Pada masa kini, tiada satu strategi yang dibuktikan berkesan untuk mengelak kanser prostat.
“Oleh itu, untuk mengurangkan risiko kanser prostat, kita perlu mengamalkan gaya hidup dan cara pemakanan yang sihat. Makanan seperti tomato, brokoli dan ikan adalah sangat penting untuk meningkatkan kesihatan prostat.”
Nasihat Dato’ Sri Nazir kepada golongan lelaki bagi mencegah kanser prostat.
1. Jangan melengahkan masa lagi. Jika anda mempunyai gejala seperti kerap membuang air kecil, sukar untuk membuang air kecil ataupun mempunyai nafsu berahi (libido) yang rendah, anda harus berjumpa dengan doktor secepat mungkin.
2. Walaupun anda tidak mengalami apa-apa gejala, anda harus menjalani pemeriksaan prostat yang berkala selepas umur 50 tahun dan ke atas.
3. Selain itu, jika anda mempunyai sejarah kanser prostat dalam keluarga terdekat, anda adalah dalam golongan yang berisiko tinggi dan wajar menjalani pemeriksaan prostat yang berkala dengan doktor anda.
4. Di Amerika Syarikat di mana ujian prostat kerap dilakukan, kemungkinan golongan lelaki mendapat kanser prostat adalah 10%. Ingat, hanya lelaki berisiko mendapat kanser prostate, dan mampu diselamatkan jika dikesan dan dirawat dengan awal.
Jangan lupa juga untuk saksikan Power Talk Fight Against Cancer pada 18 Nov 2020 secara live di fb Mingguan Wanita.