
Bagi meringankan beban rakyat untuk pulang ke kampung halaman pada Aidil Fitri ini, kerajaan mengumumkan potongan tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa.
Biarpun terpaksa menanggung kerugian namun kerajaan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat terutama di bulan Syawal yang menuntut perbelanjaan lebih buat rakyat.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.69 juta.
“Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus bermula 12.01 tengah malam 28 Mac (Jumaat), dan berakhir pada 11.59 malam 29 Mac (Sabtu) ini.
“Kita beri dua hari (diskaun) supaya pengguna tidak tergesa-gesa dan boleh merancang sebaiknya perjalanan mereka,” katanya.
Nanta berkata potongan tol 50 peratus itu khusus bagi kenderaan persendirian (Kelas 1) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Beliau berkata pemberian diskaun tol itu adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang diberikan Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
“Ia adalah selaras dengan teras utama Kerajaan MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Justeru semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini,” katanya.
Sumber: BERNAMA